Program khidmat masyarakat bersama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth, Johor Bahru diteruskan pada tahun ini dengan penglibatan sejumlah 86 sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar UTM. Pada tahun lepas, sebanyak 108 naskhah bahan bacaan dalam format braille telah berjaya dihasilkan berdasarkan penterjemahan bahan bercetak menggunakan aplikasi Duxbury Braille Translator (DBT). Pada tahun ini, Perpustakaan UTM telah mensasarkan penterjemahan kepada 500 naskhah bahan bacaan bagi memenuhi keperluan pelajar sekolah terhadap aktiviti pengkayaan ilmu menerusi pembacaan. Kesemua sukarelawan telah dijemput untuk menghadiri sesi taklimat yang telah diadakan pada 17 Februari 2019, Ahad pada jam 2.30 petang bertempat di Bilik Seminar 3, Aras 4, PSZ JB.

Selain itu juga, program ini ditambah baik dengan pembangunan special learning kit. Sebelum ini, bahan bacaan yang dihasilkan lebih tertumpu kepada buku cerita. Maka pembangunan special learning kit ini melibatkan bahan-bahan bacaan dalam bentuk pengetahuan am yang merujuk kepada poster, risalah serta bahan bacaan umum yang lain. Diharap agar ianya dapat menyalurkan maklumat pengetahuan am kepada pelajar berkeperluan khas masalah penglihatan.

Seterusnya taklimat diteruskan dengan penerangan mengenai gerak kerja kedua-dua projek ini. Sebanyak 14 kumpulan yang diketuai oleh seorang fasilitator telah dilantik untuk menyelaras dan memantau tugasan yang diberikan mengikut template yang telah ditetapkan. Setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan pada atau sebelum 3 Mac 2019 (Ahad). Seterusnya adalah proses semakan, menukar format dan mencetak kepada bentuk Braille yang akan dilaksanakan oleh jawatankuasa program.

Disediakan oleh Pn Liza Porijo

Share this :