Sesi Read & relax diteruskan bagi menyemarakkan inisiatif Read@UTM dengan menampilkan 3 (tiga) orang pengulas dengan tajuk yang menarik. Read & Relax Siri 6/2019 telah diadakan pada 21 Mac 2019.

En. Khalid Jaafar mengulas buku bertajuk Reflexology

Ringkasan : Pengulas merupakan seorang yang minat membaca buku, mengamalkan serta mengikuti kursus refleksologi. Pengulas menasihatkan kita supaya menjaga kesihatan dan yakin dengan perubatan tradisional seperti refleksologi Di Malaysia perubatan reflexology telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

En. Salihuddin Bakhri mengulas buku bertajuk Ainuddin Pejuang ‘Degil’ Melayu

Ringkasan : Buku biografi ini menyingkap sejarah penubuhan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rintis yang telah dilakukan oleh Tan Sri Ainuddin Wahid. Dengan semangat kegigihan luar biasa dan dorongan kuat dari keluarga dan rakan karibnya Aminuddin Baki, Ainuddin memajukan diri dalam bidang pendidikan. Sementara rakan-rakannya yang lain memilih bidang pendidikan dan pentadbiran, Ainuddin memilih bidang kejuruteraan. Atas semangatnya yang kental, beliau berjaya memperoleh ijazah kejuruteraan awam dari Universiti Bristol, England. Sekembalinya ke tanah air, beliau telah memulakan tugas sebagai jurutera di Kuantan, Pahang Darul Makmur. Kegigihan, kerajinan serta nilai integriti yang dipegang menyebabkan nama beliau semakin dikenali di peringkat nasional.

En. Akmal Alif Amran mengulas buku bertajuk Karya Nan Indah

Ringkasan : Buku ini menjawab banyak persoalan mengenai cara menulis, memahami bahkan membaca sesebuah karya sastera yang dianggap kompleks. Penghasilan sebuah karya perlu menitikberatkan setiap perkara bermula daripada mendapatkan idea, menimbulkan rasa, menerapkan falsafah dan fikrah, menghidupkan cerita, mencipta watak, gaya bahasa yang harus digunakan dan pantang larangnya. Perkara-perkara ini disebut dengan jelas dalam bahasa yang mudah difahami melalui buku ini.

Disediakan oleh: Pn Norashikin Johari

Share this :