Sesi Read & Relax diteruskan bagi menyemarakkan inisiatif Read@UTM dengan menampilkan dua orang pengulas dengan judul yang menarik. Sesi ini telah diadakan pada 11 April 2019.

 

Encik Noor Effendy Hamzah mengulas buku bertajuk Selera Masakan Kampung

Ringkasan : Pengulas merupakan seorang yang minat memasak. Hal ini diakui sendiri oleh Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat, Penyelidikan dan Sirkulasi (BPMPS), Puan Noraini Yahya yang mengatakan pernah merasa masakan En. Noor Effendy dan ternyata sedap. Pengarang bagi buku ini adalah Osman Mohd Rahim yang merupakan juara Chef Cilik bersama anaknya. Apa yang menariknya, pengarang buku ini memberikan nama masakan dengan panggilan yang unik. Sebagai contoh; Kupang Tergenang, Cencaru Sumbat, Daging Asam Meraung, Dodol Goreng Abah, Nasi Air, Mi Siput Masak Bening dan banyak lagi. Terdapat 72 resepi yang boleh dipelajari di dalam buku ini. Antara impak dan manfaat daripada buku ini adalah khasiat bahan utama yang secara tidak langsung melazatkan resepi masakan kampung. Contohnya cekur, cekur dapat merawat sakit kerongkong dan juga sangat bagus untuk ibu yang baru melahirkan anak. Selain itu, daun pegaga dikatakan dapat menghilangkan bintat hitam pada badan, dan dapat mengecutkan rahim bagi ibu selepas bersalin. Akhir sekali, daun kesum yang sinonim dengan masakan laksa dan asam pedas, dikatakan dapat merawat penyakit batuk.

Encik Mohd Subha Salleh mengulas buku bertajuk “Who Moved My Cheese”.

Ringkasan : Buku yang yang dikarang oleh Dr. Spencer Johnson ini dibeli oleh En. Mohd Subha dua tahun lepas di kedai buku. Buku yang diulas ini adalah terjemahan ke dalam Bahasa Malaysia, dan terdapat banyak terjemahan ke dalam bahasa lain di seluruh dunia. Malah, buku ini mencatatkan penjualan yang sangat tinggi di pasaran Malaysia dan antarabangsa. Buku ini mengisahkan tentang dua ekor tikus yang bernama Sniff dan Scurry; dan dua orang kerdil bernama Hem dan Haw. Mereka tinggal di perkampungan Maze. Kesemua mereka ini merupakan pencari keju untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Sniff dan Scurry sangat rajin. Mereka sanggup keluar seawal pagi untuk mencari keju, walaupun persekitaran ‘maze’ sangat mengelirukan dan menyukarkan pencarian keju mereka. Setelah menjumpai satu tempat yang penuh dengan keju, mereka akan tetap keluar seawal pagi berikutnya, untuk mendapatkan keju tersebut. Berbeza dengan 2 orang kerdil iaitu Hem dan Haw; setelah menjumpai satu stesen keju, mereka membuat keputusan untuk terus tinggal berhampiran dengan stesen keju tersebut. Suatu hari, Hem dan Haw mendapati keju mereka sudah habis. “Who moved my cheese?”, kata Hem. Sebenarnya, Hem dan Haw tidak tahu bahawa mereka berkongsi keju dengan Sniff dan Scurry. Keju-keju mereka habis begitu cepat. Sniff yang keluar seawal pagi untuk mendapatkan keju, telah pun menyedari keju tersebut telah pun habis. Dia yang cepat peka pada perubahan, bertindak mengajak rakannya Scurry untuk mencari keju di tempat lain. Menyedari keadaan ini, Haw cuba untuk berubah. Dia mengajak Hem untuk mencari keju di tempat lain. Hem menolak, mengatakan mereka sudah tua. Mungkin mereka tidak akan menjumpai keju langsung dan mungkin akan mati di tengah perjalanan. Haw meninggalkan Hem dan meneruskan pencarian keju. Perjalanan Haw sangat sukar, dia hampir berputus asa. Akan tetapi setiap kali pencarian menjadi sukar, dia akan membayangkan dirinya menjumpai keju yang sangat banyak. Akhirnya, Haw menjumpai satu stesen keju yang sangat besar, yang telah pun dijumpai oleh Sniff dan Scurry terlebih dahulu. Mereka pun berkongsi keju yang banyak itu bersama-sama. Pengajaran yang boleh didapati daripada buku ini adalah, jangan pernah takut akan perubahan. Perubahan mungkin akan terlihat sukar, tetapi perubahan itulah yang akan memberikan kesenangan untuk kita kelak.

Share this :