Program Read & Relax diteruskan lagi dengan siri yang ke 15 di Perpustakaan Sultanah Zanariah. Sesi Read & Relax Siri 15/2019 (PSZJB) telah dijalankan pada 29 Ogos 2019 (Khamis) pada jam 11.45 pagi. Pada sesi kali ini, pengulas yang terlibat adalah staf dari Bahagian Galerium, Perpustakaan UTM.

En. Mohd. Fuad Mohamed Yusuf mengulas buku bertajuk Corat-coret UTM

Pengulas pertama iaitu, En. Mohd. Fuad Bin Mohamed Yusuf telah berkongsi cerita tentang buku yang bertajuk Corat-coret UTM karya oleh Mohd. Nor Khalid (Datuk Lat), Ahmad Hilmy Abdullah (Mie) dan Amir Astar Lukman. Buku terbitan UTM ini telah dirasmikan di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mengisahkan pengalaman suka duka, pahit manis para penulis sepanjang pengajian di UTM yang diterjemahkan melalui lukisan kartun. Pengulas mendapati masej yang digarap oleh setiap kartunis tersebut merupakan sesuatu yang amat berharga. Di universitilah tempat kita belajar erti kedewasaan, semangat berpasukan setia kawan serta menjadikan kita seorang manusia yang berguna serta menjunjung tinggi nilai keilmuan. Penulisan disampaikan dengan gaya bahasa yang santai dan sangat mudah difahami. Dalam masa yang sama ia sarat dengan mesej dan diselang selikan dengan jenaka yang menghiburkan. Lukisan kartun melalui watak-watak manusia di universiti pasti membuatkan para pembaca tidak kering gusi membacanya.

En. Mohd. Zaidi Othman mengulas buku bertajuk Keluar dari Tempurung: Pembentukan Diri ke arah Kecemerlangan

Seterusnya, ulasan buku oleh En. Mohd. Zaidi Bin Othman berkaitan dengan buku yang bertajuk Keluar dari Tempurung: Pembentukan Diri ke Arah Kecemerlangan. Buku ini adalah hasil karangan penulis Ahmad Faizal Mohamed Yusup. Buku genre motivasi ini mengisahkan tentang bagaimana setiap individu perlu bersedia keluar dari tempurung yang membelenggu diri. Nilai yang perlu menjadi keutamaan dalam proses perubahan ini adalah  pendidikan, masa dan kurniaan pancaindera. Ketiga-tiga nilai ini sentiasa dipandang enteng sehingga tidak menyedari bahawa ianya mampu membawa kesan kepada kehidupan kita di masa akan datang. Buku ini sesuai dibaca oleh pelajar sekolah, remaja dan juga ibubapa. Pengulas memberi kesedaran kepada ibu bapa generasi kini yang tanpa disedari telah mengabaikan pendidikan anak-anak dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah kerana terlalu sibuk bekerja. Ibu bapa perlu bersama-sama dengan para guru di dalam mencorak masa depan anak-anak dengan menerapkan peribadi yang sopan dan positif. Nilai sahsiah yang ditonjolkan oleh anak-anak adalah merupakan cerminan didikan ibubapa dan guru-guru yang disemai sejak dari kecil lagi. Pengulas turut menyentuh tentang nikmat pancaindera yang merupakan anugerah yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. Justeru, ia perlu digunakan sebaik-baiknya sebagai menjalankan amanah daripada Allah s.w.t..

Cik Haslina Othman mengulas artikel bertajuk ‘Psychological and social aspects of menopause’

Manakala pengulas ke tiga iaitu Cik Haslina Othman berkongsi sebuah artikel bertajuk ‘Psychological and social aspects of menopause’ yang sarat dengan fakta hasil penyeldikan. Artikel ini adalah hasil kajian Iqbal Afridi yang  membicarakan tentang persediaan kaum hawa di dalam mendepani menopause dari sudut psikologi dan sosial. Setiap wanita perlu sentiasa bersedia di dalam memahami keadaan yang bakal dihadapi apabila berdepan dengan gejala ini. Dalam masa yang sama pasangan mereka juga perlu lebih prihatin dan peka tentang kesan dan akibat yang akan dihadapi oleh pasangannya. Persekitaran sosial dan psikologi yang baik akan membantu setiap wanita mengimbangi kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. Selain itu, faktor penjagaan kesihatan melalui pemakanan seimbang akan membekalkan nutirisi yang cukup kepada badan.  Komunikasi yang berkesan juga perlu diterapkan kepada pasangan dan masyarakat. Gejala menopause ini bukanlai suatu perkara yang sukar untuk dibincangkan dan seharusnya seluruh masyarakat bersikap terbuka dan memberikan sokongan kepada pasangan masing-masing.

Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberikan manfaat kepada pendengar. Sesi Read & Relax akan diteruskan pada minggu seterusnya. Nantikan!

Artikel disediakan oleh Puan Norashikin Johari

Share this :