Read & Relax Siri 19/ 2019 bagi bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah diteruskan lagi pada 31 Oktober, Khamis jam 12.00 hingga 1.00 petang, di Ruang Terbuka, Aras 1, PRZS. Moderator untuk Sesi Read & Relax pada kali ini ialah En. Abas Bin Rahmat manakala Pn. Narimah Binti Nawil sebagai pelapor.

Pengulas pertama, Puan Junaidah mengulas buku bertajuk Lautan Kehidupan. Buku dari kategori bacaan umum yang diterbitkan pada tahun 2018 ini dihadiahkan kepada pengulas oleh salah seorang daripada penulis buku ini. Anekdot Lautan Kehidupan menghimpunkan karya 20 penulis menerusi projek penulisan anekdot dan sketsa kehidupan yang mengandungi lebih daripada 50 cerita pendek.

Dari Kiri En Mohd Fazli Masari, Pn Junaidah Abdullah dan Cik Nor Hasidah Zakaria

Di antara penulis yang menyumbang hasil penulisan mereka di dalam buku ini ialah Dr. Nur Fasihah iaitu salah seorang daripada Pensyarah UTM yang terlibat dalam penulisan kreatif. Manakala, editor bagi buku Lautan Kehidupan ini pula ialah Munshi Mohd. Amin. Pengulas juga menceritakan pengalaman masa kecil beliau bersama kereta Mercedes milik ayahnya dan juga bagaimana dia belajar melalui TV Pendidikan ketika zaman persekolahannya.

Buku ini berkisar tentang pengalaman penulis daripada latar yang berbeza. Para pembaca akan dibuai kenangan silam dan pelbagai kenangan lain apabila membaca aneka coretan pengalaman daripada pelbagai latar kerjaya hakiki penulis.

Manakala pengulas kedua, Encik Mohd. Fazli mengulas artikel bertajuk Tips Mendapatkan Anak. Artikel ini adalah salah satu artikel yang terdapat di dalam Majalah Al-Islam terbitan 2012. Artikel ini ditulis oleh Wan Ramizah Hassan, Pensyarah Jabatan Al-Quran & As-Sunnah, Kolej Universiti Islam Selangor. Artikel menceritakan secara ringkas tentang tips mendapatkan anak secara rohani;

  1. Doa
  2. Istighfar
  3. Ikhlaskan hati
  4. Jaga pemakanan (elak dari makan makanan yang syubhah / tak halal)
  5. Banyakkan bersedekah

Pengulas juga menerangkan dan menyarankan bahawa selain daripada saintifik, kaedah rohani / keagamaan juga harus diambil perhatian bagi pasangan yang ingin mendapatkan zuriat.

Pengulas terakhir, Cik Siti Nor Hashidah mengulas buku bertajuk Hijabsista Hijrahsista: Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung. Buku di bawah kategori bacaan umum ini menceritakan pengalaman empat (4) selebriti tempatan tentang bagaimana mereka mula berhijab.

Selebriti ini adalah Irma Hasmie, Heliza Helmy, Diana Amir dan Felixia Yeap. Buku ini memberikan kesedaran dan semangat supaya pembaca terus istiqamah untuk menjadi muslimah yang lebih baik.

Antara faktor yang menyumbang pengulas untuk membaca buku ini kerana kandungan buku yang menarik, banyak grafik serta berwarna-warni menarik minat unuk dibaca. Gaya penceritaan dan bahasa yang digunakan juga santai dan tidak membosankan.

Artikel disediakan oleh Pn Narimah Nawil

Share this :