TEMPAT BERSEJARAH NEGERI JOHOR
MAKAM SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG
Makam Sultan Mahmud terletak di Kampung Makam kira-kira 3 km dari bandar Kota Tinggi bersebelahan dengan Masjid Kampung Makam dan berhampiran dengan Sungai Kota Tinggi. Makam ini juga dikenali sebagai Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
Menurut sejarah, baginda Sultan Mahmud diputerakan pada 1675. Baginda mangkat pada hari Jumaat, Ogos 1699 dibunuh oleh Megat Seri Rama yang juga dikenali sebagai Laksamana Bentan. Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah dan cucu kepada Sultan Alaudin Riayat Shah II iaitu raja pertama yang membuka Johor Lama pada 1530.
Menurut sejarah, Sultan Mahmud ditikam oleh Megat Seri Rama kerana membalas dendam terhadap kematian isterinya, Dang Anum yang telah dibunuh oleh Sultan. Dang Anum yang sedang sarat mengandung mengidam memakan buah nangka dari pokok nangka di kebun Sultan. Perbuatan menebuk nangka itu telah menyebabkan kemurkaan Sultan dan baginda telah memerintahkan supaya perut Dang Anum dibelah. Apabila melihat nangka tersebut berada di mulut bayi tersebut, baginda merasa menyesal atas perbuatannya itu tetapi telah terlambat.
Megat Seri Rama telah menikam baginda Sultan ketika baginda berangkat ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Tikaman tersebut tepat mengenai Sultan. Baginda rebah dan sempat disambut oleh pengiringnya lalu dijulang. Sebelum baginda menghembuskan nafas terakhirnya, baginda sempat melontarkan kerisnya ke arah Laksamana Bentan dan mengenai kakinya lalu meninggal dunia. Baginda Sultan Mahmud Shah II merupakan keturunan Sultan Melaka yang terakhir.
KOTA MAKAM TAUHID
Kota Makam Tauhid bukanlah sebuah makam tetapi adalah nama ibu negeri kerajaan Johor satu ketika dulu. Kota Makam Tauhid merupakan ibu negeri Johor yang kelapan dan terletak di Kampung Makam berdekatan Sungai Pemandi yang mengalir ke Sungai Kota Tinggi kira-kira 2 km dari Bandar Kota Tinggi.
Menurut rekod sejarah, Kota Makam Tauhid dijadikan ibu negeri Johor buat pertama kali pada tahun 1637 semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III.
Dengan wujudnya hubungan baik antara Johor dan Belanda pada masa itu, baginda telah membina istana dengan menggunakan bahan binaan Belanda tetapi terpaksa meninggalkan Kota Makam Tauhid pada tahun 1642 kerana kota tersebut diserang penyakit dan berpindah ke Pasir Raja.
Kota Makam Tauhid menjadi pusat pemerintahan kerajaan Johor dari masa ke semasa di zaman pemerintahan Bendahara Sultan Abdul Jalil Riayat Shah (1699-1718) sebelum baginda menetapkan Panchor sebagai ibu negeri Johor.
MAKAM LAKSAMANA BENTAN
Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan berhampiran tebing Sungai Kemang di Daerah Kota Tinggi.
Nama sebenar Laksamana Bentan ialah Megat Seri Rama. Beliau berasal dari Bentan Sumatera dan bertugas sebagai panglima angkatan laut Sultan Mahmud Shah II. Beliau ditugaskan menumpaskan lanun-lanun yang bermaharajalela di Kuala Sungai Johor.
Peristiwa isterinya, Dang Anum dan anaknya telah dibunuh oleh baginda Sultan Mahmud hanya berpunca dari seulas nangka menyebabkan Laksamana Bentan menikam baginda sultan ketika baginda berangkat ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat. Sebelum baginda menghembuskan nafas yang terakhir, baginda sempat melafazkan sumpahan iaitu; ‘Orang-orang yang berdarah Bentan ketika melalui Kuala Sungai Johor akan memuntahkan darah sehingga sampai tujuh keturunan’ lalu melontarkan kerisnya ke arah Laksamana Bentan dan mengenai kakinya menyebabkan Laksamana Bentan terus meninggal dunia.
Mayat Laksamana Bentan disemadikan berhampiran pusara isteri dan anaknya di Kampung Laksamana atau disebut juga Kampung Kelantan.