BACA

BAB 1 – PERPUSTAKAAN DI MALAYSIA
Siti Sumaizan Ramli dan Ali Rashid

Pengenalan

Pernahkah anda mendengar istilah kutubkhanah atau pustaka?

Nama kutubkhanah asalnya dikenali dalam bahasa Urdu yang bermaksud perpustakaan atau sebuah ruang yang menempatkan koleksi buku untuk membaca, membuat rujukan dan pinjaman kepada masyarakat. Pustaka pula ditafsirkan sebagai satu lambang puncak keilmuan untuk masyarakat dan negara bagi mengkaji dan meneroka sumber maklumat dan ilmu dalam pelbagai bidang perkara.

Salah satu kutubkhanah terawal di Tanah Melayu adalah di Melaka dan dikenali sebagai Kutubkhanah Melaka. Tempat ini dibangunkan di Stadthuys sekitar tahun 1881. Selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Kutubkhanah Melaka dipindahkan ke Dewan Hang Tuah pada tahun 1966. Pada tahun 1975, nama Kutubkhanah ini dikenali sebagai Perpustakaan Awam Melaka.

Sesebuah perpustakaan perlu mempunyai martabat dan konsepnya tersendiri. Nama pustaka itu cukup gah dari segi terminologi dengan kedudukannya sebagai sumber ilmu. Pelbagai faktor yang boleh menarik masyarakat untuk berkunjung ke perpustakaan, antaranya ialah lokasi perpustakaan, keunikan seni bina bangunan dan landskap taman yang menarik, serta kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengunjungnya. Selain faktor-faktor ini, keperluan mendapatkan bahan bacaan dan maklumat adalah faktor utama yang menarik masyarakat untuk mengunjungi perpustakaan.

Perpustakaan dan Program Galakan Membaca

Peranan perpustakaan dalam program membaca dan meningkatkan ilmu pengetahuan menjadi penting bermula daripada peringkat prasekolah, sekolah, universiti dan sepanjang hayat manusia. Perpustakaan berperanan menerapkan budaya membaca sebagai gaya hidup untuk melahirkan masyarakat berilmu, mempunyai hikmah serta minda kelas pertama.

Dasar Galakan Membaca Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) digubal bagi memastikan program galakan membaca yang terancang dan berterusan dilaksanakan di seluruh negara. Program ini juga bertujuan memupuk minat membaca serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat ke arah mewujudkan masyarakat berbudaya membaca dan mencintai ilmu. Selain itu, Dasar Galakan Membaca ini juga memenuhi tujuan penubuhan Perpustakaan Negara iaitu ‘menggalakkan dan memudahkan penanaman sifat gemar membaca’ serta selaras dengan strategi Dasar Negara bagi Perpustakaan dan Pusat Maklumat perkara 4.7.5 iaitu ‘untuk menanam dan menggalakkan minat membaca’.

Dasar ini juga menyokong Dasar Buku Negara perkara 3 iaitu ‘memastikan rakyat Malaysia mempunyai minat membaca yang tinggi dan menggunakan bahan bacaan yang berkualiti’.

Jenis-jenis Perpustakaan di Malaysia

Perpustakaan di Malaysia terdiri daripada pelbagai jenis mengikut fungsi dan objektif penubuhan perpustakaan. Kategori perpustakaan adalah seperti berikut:

  1. Perpustakaan Negara
  2. Perpustakaan Awam
  3. Perpustakaan Akademik
  4. Perpustakaan Khusus
  5. Pusat Sumber Sekolah
  1. Perpustakaan Negara
    Sejarah penubuhan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bermula pada tahun 1966 dengan pewujudan Unit Bibliografi Kebangsaan di Arkib Negara Malaysia yang bertanggungjawab dalam melaksanakanAkta Pemeliharaan Buku 1966. Unit ini dinaiktarafkan kepada Bahagian Perpustakaan Negara yang menjadi sekretariat kepada sebuah Jawatankuasa untuk merancang penubuhan Perpustakaan Negara.

PNM melalui Akta Perpustakaan Negara 1972 (Akta 80) ditubuhkan dengan maksud dan tujuan seperti yang berikut:

  1. Menyediakan bagi penggunaan generasi masa kini dan masa depan suatu koleksi sumber perpustakaan di peringkat kebangsaan;
  2. Memudahkan capaian seluruh negara sumber perpustakaan yang terdapat di dalam dan di luar negeri; dan
  3. Mengadakan kepemimpinan dalam perkara yang berkaitan dengan perpustakaan.                                                                                                         
  1. Perpustakaan Awam

Institusi yang menyediakan perkhidmatan perpustakaan awam kepada masyarakat di setiap negeri melalui perpustakaan seperti perpustakaan awam negeri, wilayah, cawangan, pekan, desa dan bergerak. Perpustakaan ini ditubuhkan dan dibiayai secara keseluruhan atau sebahagiannya oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

Di Malaysia, salah satu contoh perpustakaan negeri ini ialah Pustaka Negeri Sarawak yang mula beroperasi pada tahun 2000. Penempatan lokasinya yang strategik di dalam kawasan yang luas dan dikelilingi taman hijau serta tasik yang mendamaikan, Pustaka Negeri Sarawak menjadi antara destinasi riadah paling popular dalam kalangan penduduk sekitar Bandaraya Kuching.

Keunikan seni bina dan kemudahan moden dan kondusif, Pustaka Negeri Sarawak bukan sekadar menawarkan perkhidmatan rujukan maklumat semata-mata, tetapi turut menjadi destinasi pilihan untuk penganjuran persidangan, seminar, bengkel serta aktiviti sosial yang lain.

i. Perpustakaan Awam Wilayah

Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan perpustakaan di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk di antara 100,000 – 200,000 orang. Perpustakaan awam wilayah yang terdapat di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

ii. Perpustakaan Awam Metropolitan

Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan perpustakaan di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk di antara 200,000 – 400,000 orang. Perpustakaan ini kini dikategorikan sebagai perpustakaan awam cawangan.

iii. Perpustakaan Awam Cawangan/Daerah

Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan perpustakaan kepada penduduk setempat seperti di bandar, daerah dan mukim.

iv. Perpustakaan Awam Pekan/Komuniti

Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan perpustakaan kepada penduduk setempat seperti di pekan dan kawasan sekitar serta dalam pusat membeli belah.

v. Perpustakaan Desa

Perpustakaan yang menyediakan perkhidmatan perpustakaan di kawasan kampung atau luar bandar yang terletak jauh daripada perkhidmatan perpustakaan pekan dan cawangan.

iv. Perpustakaan Bergerak

Perpustakaan yang bergerak dari  satu  tempat ke satu tempat untuk memberikan perkhidmatan ke kawasan-kawasan yang terpencil secara berjadual dengan menggunakan kenderaan yang dikhaskan seperti bas atau van.

  1. Perpustakaan Akademik

Perpustakaan Akademik merupakan perpustakaan di mana struktur organisasinya di bawah pentadbiran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia.

i. Perpustakaan Universiti Awam (UA)

Perpustakaan yang ditubuhkan di 20 universiti awam di seluruh negara yang sumber kewangannya disalurkan oleh KPT. Perkhidmatannya khusus kepada kakitangan terutama pensyarah dan pelajar yang menuntut di universiti tersebut dan UA lain. Namun keahlian perpustakaan UA dibuka kepada masyarakat dengan mengadakan pelbagai program di dalam dan di luar perpustakaan.

ii. Perpustakaan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)

Perpustakaan yang ditubuhkan IPTS iaitu di universiti, kolej dan institut. Perkhidmatannya khusus kepada kakitangan dan pelajar yang menuntut di IPTS tersebut. Perpustakaan akademik memainkan peranan aktif untuk menyokong  dan memperkasa pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan universiti. Fokus utama perpustakaan akademik adalah untuk menyediakan koleksi bahan rujukan serta memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada pengguna perpustakaan.

Dari segi akses kepada sumber maklumat dan ilmu, kebanyakan perpustakaan akademik hanya terbuka kepada pengguna institusi berkenaan dan ditutup kepada masyarakat luar secara menyeluruh. Bagaimanapun kini terdapat arah aliran untuk perpustakaan dibuka kepada masyarakat selain daripada pengguna perpustakaan tersebut.

Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia atau USIM telah membuka dan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat di samping pelajar dan pensyarah untuk masuk ke perpustakaan dan menggunakan ruang bacaan secara percuma. Inisiatif ini dapat menggalakkan masyarakat membaca dan membuat rujukan dalam keadaan yang kondusif dan selesa. Selain pembacaan, ruang perpustakaan menjadi tempat pertemuan dan perbincangan di antara masyarakat dan warga universiti.

  1. Perpustakaan Khusus

Perpustakaan yang ditubuhkan dalam sesebuah organisasi kerajaan seperti di kementerian, jabatan, badan berkanun dan agensi; firma swasta; dan pertubuhan yang mempunyai koleksi rujukan yang berfokus dan spesifik pada bidang tertentu bagi memenuhi keperluan pengguna perpustakaan dalam organisasi/institusi tersebut atau penyelidik luar yang datang ke perpustakaan secara fizikal atau maya untuk mengakses sumber rujukan.

i. Perpustakaan Khusus Gunasama (Organisasi Kerajaan)

Perpustakaan di bawah Perkhidmatan Gunasama Perpustakaan menjadikan Perpustakaan Negara Malaysia sebagai Ketua Perkhidmatan yang bertempat di Kementerian dan Jabatan Kerajaan Persekutuan di seluruh Malaysia.

ii. Perpustakaan Khusus Badan Berkanun, Agensi dan Swasta

Perpustakaan di luar perkhidmatan Gunasama Perpustakaan bertempat di badan berkanun, agensi, pertubuhan dan syarikat swasta.

  1. Pusat Sumber Sekolah

Pusat Sumber Sekolah ialah sebuah tempat yang menyediakan kemudahan satu koleksi bahan pengajaran dan pembelajaran yang diurus secara sistematik. Pusat ini menyediakan maklumat, perkhidmatan dan peluang bagi pengajaran dan pembelajaran untuk penguasaan kemahiran serta kemahiran pendidikan ke arah pembentukan masyarakat berbudaya ilmu, gemar membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.

Pelajar digalakkan meminjam buku dan membaca buku- buku berkaitan subjek yang dipelajari di sekolah sebagai rujukan. Pusat sumber juga menyediakan buku cerita dan buku-buku lain sebagai aktiviti menarik untuk belajar tentang kehidupan di peringkat permulaan pelajar.

Perpustakaan Digital @ Virtual Library

Seiring dengan perubahan teknologi dan komunikasi (ICT) serta penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia, semua perpustakaan menyediakan perkhidmatan dalam talian untuk kemudahan pengguna yang boleh diakses di mana jua dan pada bila-bila masa. Perpustakaan Digital Universiti Pendidikan Sultan Idris atau UPSI Digital Library merupakan perpustakaan akademik yang menyediakan sumber digital sepenuhnya seperti buku dan jurnal elektronik, pangkalan data dalam talian serta sumber akses terbuka untuk kelangsungan rujukan dan pembacaan pengguna perpustakaan terutama pelajar dan pensyarah universiti.

Senario penyampaian perkhidmatan perpustakaan secara fizikal kini berkembang kepada perpustakaan maya atau virtual library yang membolehkan masyarakat mengakses kepada sumber maklumat dan ilmu melalui interactive touch panel di pelbagai lokasi. Kemudahan ini membolehkan rakyat Malaysia mendapat sumber ilmu hanya di hujung jari melalui akses yang lebih luas dan efisien.

Penutup

Semua jenis perpustakaan di Malaysia menjadi tunjang kepada aktiviti dan program membaca untuk pengguna perpustakaan dan masyarakat. Perpustakaan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan untuk mengakses maklumat dan ilmu dalam pelbagai format. Perpustakaan juga menjadi tempat tumpuan untuk berhubung dan berbincang dengan peranan terkini perpustakaan sebagai library as a place. Pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia menyebabkan pengguna lebih memberi fokus kepada perkhidmatan digital sebagai norma baharu dalam pencarian maklumat dan ilmu.

Pusat Repositori terutama di perpustakaan akademik berupaya menyediakan maklumat digital yang pelbagai kepada pengguna. Perpustakaan menjadi lebih kreatif untuk menganjurkan wacana ilmu, pameran dan kuiz secara dalam talian bagi memastikan pengguna terus dekat dengan perpustakaan melalui aktiviti dalam talian. Peranan ‘reference chat’ dan media sosial menjadi lebih penting untuk berhubung dengan pengguna dan mempromosi perkhidmatan dan koleksi terkini kepada pengguna perpustakaan.