BACA

 

BAB 6 – MENCINTAI BUKU SECARA POSITIF: TRANSFORMASI BIBLIOMANIA KE BIBLIOFIL
Mimi Salleh

Pengenalan

Ahhh, bau helaian buku yang mengasyikkan!

Itu jawapan pencinta buku apabila ditanya mengenai pilihan di antara buku digital atau buku fizikal. Rata-rata mengakui kepuasan memegang buku fizikal. Malah, pencinta buku tegar mempunyai obsesi tersendiri terhadap buku. Ada yang mahu memiliki semua buku penulis yang diminati termasuklah menubuhkan kelab peminat buku. Mereka saling bertukar buku (termasuk berjual beli) dan mempromosikan buku penulis yang mereka minati. Ada yang suka buku mengikut genre tertentu seperti cerita seram, maka nama-nama penulis seperti Stephen King dan Neil Gaiman memenuhi ruang rak.

Namun ada satu obsesi mengenai buku yang memberi kesan mudarat pada diri dan orang sekeliling. Bibliomania adalah gangguan obsesif-kompulsif (OCD) yang melibatkan tabiat mengumpul buku-buku secara kompulsif. Salah satu daripada beberapa tingkah laku luar biasa bibliomania adalah pembelian beberapa salinan buku edisi yang sama, dan pengumpulan buku yang melebihi kemampuan kewangan seseorang itu. Aktiviti ini menjadi melampau sehingga memberi mudarat pada hubungan sosial dan menjejaskan kesihatan dirinya sendiri.

Thomas Hearne seorang pengumpul buku-buku langka dikatakan orang pertama menggunakan perkataan bibliomania di dalam salah satu komentarnya mengenai isu harga manuskrip. Istilah bibliomania pertama kali dikarang oleh Dr. John Ferriar (1761-1815), seorang doktor dan penyair, apabila dia telah mendedikasikan sebuah puisi kepada seorang bibliomania bernama Richard Heber, pada tahun 1809. Seterusnya pada tahun 1842, sebuah buku telah ditulis oleh Thomas Frognall Dibdin berjudul Bibliomania: or Book-Madness, a Bibliographical Romance.

Bagaimanakah untuk membezakan di antara bibliomania dan bibliofil? Kedua-duanya adalah kecintaan pada buku dengan beberapa persamaan. Individu bibliofil suka membaca, mengagumi dan mengumpulkan buku yang disukainya. Obsesi bibliofil merupakan kecintaan pada buku yang berasas dan tidak dianggap sebagai gangguan psikologi. Bibliofil tidak taksub dengan fizikal buku sebaliknya hanya cinta akan isi kandungan buku tersebut. Malah, pencinta buku ini bersedia untuk meminjam atau fotokopi sahaja buku jika kekurangan bajet untuk membeli.

Sebaliknya bibliomania dianggap sebagai gangguan psikologi yang melibatkan obsesi mengumpul buku yang tidak berguna atau tidak ada nilai di mata pengumpul biasa. Misalnya, salah satu simptom umum bibliomania ialah mereka yang membeli pelbagai salinan buku yang sama dan mengumpul buku tanpa hasrat mahu membacanya. Lebih pelik apabila wujud tingkah laku abnormal yang melibatkan buku seperti memakan buku, pencurian buku yang kompulsif, mengubur, membakar dan pelbagai lagi tindakan kompulsif.

Kes Melibatkan Bibliomania

Kes 1:

Richard Heber (1773 – 1833) anak seorang paderi yang dilahirkan dalam satu keluarga kaya. Semenjak awal remaja, Heber sudah mempunyai hobi mengumpul buku. Minatnya ini, walaupun mendapat tentangan daripada keluarga, tetapi dia tidak ambil peduli. Dia sanggup menjelajah ke seluruh pelosok negeri mencari buku dan dikatakan membeli beribu-ribu buah buku dalam satu pembelian. Akibat obsesi ini Heber jatuh muflis dengan rumahnya dipenuhi buku langka pelbagai siri.

 

Heber meninggal dunia pada tahun 1833. Sebaik mendengar berita kematian Heber, seorang pengkaji bibliomania bernama Thomas Frognall Dibdin bergegas mahu melihat rumah Heber. Kata Dibdin, “Tidak pernah aku melihat bilik, almari, koridor dan laluan yang padat, sesak dan lemas ditenggelami buku sehingga ke siling.”

Buku-buku yang Heber tinggalkan memenuhi lapan buah rumah miliknya di seluruh Eropah dengan jumlah yang tidak terkira.

Kes 2:

James Richard Shinn (1936 – 2005) dikenali sebagai pencuri buku perpustakaan yang tersohor. Usianya antara 30-an dan 40-an, kehidupannya berputar sekitar aktiviti rompakan demi rompakan. Walaupun dia telah ditangkap beberapa kali namun Shinn tidak pernah serik malah menjadi obses dengan jual beli buku-buku langka. Dia akan menyamar sebagai profesor dan mencuri buku- buku yang bernilai tinggi dari perpustakaan. Shinn berusaha membuang tanda nama perpustakaan yang ada pada buku-buku yang dicurinya.

Hasil penyiasatan menunjukkan lokasi buku-buku yang dicuri termasuklah dari universiti elit seperti UCLA, Princeton, University of Michigan, Stanford, Lehigh, Carnegie-Mellon, Haverford, Bryn Mawr dan Johns Hopkins. Nilai buku yang dicurinya mencecah AS$500,000. Pada tahun 1982 Shinn telah disabit dua kesalahan jenayah yang bukan berkaitan buku.

Rentetan daripada kes Shinn, Persatuan Perpustakaan Amerika (American Library Association) telah memperketat sistem pinjaman bagi mengelakkan kecurian buku-buku di perpustakaan. Malah, pada 27 April, 1982, Dick Thornburgh, Govenor Pennsylvania telah menandatangani The Archives, Library, and Museum Protection Act.

Kes 3:

Stephen Blumberg (1948 – ) lahir di Saint Paul Minnesota. Pada tahun 1990, dia ditangkap kerana mencuri lebih daripada 23,600 buah buku bernilai AS$5.3 juta dari 327 universiti dan muzium di 45 negeri di Amerika Syarikat. Semenjak itu, dia dikenali sebagai Book Bandit dan diakui sebagai pencuri buku tersohor abad ke-20 dalam sejarah Amerika Syarikat. Koleksinya juga disebut sebagai Koleksi Blumberg.

Objek berharga yang dicuri oleh Blumberg termasuklah salinan edisi pertama Harriet Beecher Stowe’s Uncle Toms Cabin, 25 buah kotak bahan langka yang menggariskan sejarah awal Oregon, dan Bible jilid abad ke-16. Blumberg mendakwa dia mengumpulkan 100 incunabula termasuk Nuremberg Chronicle yang diperbuat daripada kulit lembu. Dia juga mengumpul Zamorano iaitu buku-buku langka yang dikumpulkan oleh sekumpulan pengumpul pada tahun 1945.

Transformasi Bibliomania ke Bibliofil

Melihat pada tingkah laku obsesif bibliomania, persoalan timbul: Bolehkah penghidapnya ini diubati? Individu yang menghidap bibliomania selalunya tidak menyedari kemudaratan yang disebabkan oleh tingkah lakunya itu. Kebiasaan yang berlaku, kes mereka dirujuk oleh ahli keluarga atau rakan taulan. Justeru, bagi memahami tahap kesihatan mental bibliomania, kes ini perlulah dikendalikan oleh ahli terapi terlatih.

Walaupun begitu, ada kajian menunjukkan penyebab bibliomania berkait rapat dengan kehidupan masa kecil si pesakit. Kemungkinan timbulnya tabiat kebergantungan mereka terhadap buku adalah cetusan daripada keraguan atau ketakutan yang dialaminya. Perkara ini boleh difahami dengan lebih jelas melalui sesi terapi.

 

Sehubungan ini, masa kecil dilihat memainkan peranan yang penting dalam pembentukan identiti diri dan jati diri seseorang. Walaupun ini bukanlah jawapan yang tepat namun kita boleh mengambil iktibar kes-kes berkaitan bibliomania untuk membentuk generasi muda yang bibliofil. Marilah kita pupuk minat positif terhadap buku dan aktiviti membaca, seterusnya berikan motivasi kepada generasi muda ini untuk mengekalkan momentum pembacaan. Antara cara yang kita boleh laksanakan termasuklah:

  1. Mulakan dengan buku yang menarik minat. Buku yang apabila kita menutup mata, masih boleh digambarkan plot ceritanya dan membawa kita masuk ke dalam dunia imaginasi yang menyeronokkan.
  2. Apabila sudah habis membaca sebuah buku, bacalah genre buku lain. Cara ini boleh membuka perspektif baharu pada topik-topik lain seperti pengurusan, ekonomi, kewangan, sastera dan sebagainya.
  3. Menambah perbendaharaan kata. Sepanjang pembacaan pasti ada perkataan yang menonjol dan frasa yang tidak difahami. Di sini satu lagi aktiviti menarik iaitu penggunaan kamus.
  4. Cari rakan atau komuniti buku yang boleh diajak berbual dan berbincang. Pergi ke perpustakaan berhampiran dan tanyakan aktiviti-aktiviti perbukuan yang ditawarkan. Berkawanlah dengan orang buku seperti pustakawan, penulis, penerbit dan kumpulan pembaca yang lain.
  5. Membaca dalam pelbagai pilihan format buku seperti buku fizikal, digital dan audio. Cara ini memberi rasa bebas untuk membuat pilihan dan sekali gus meningkatkan minat membaca.

Mengemas Buku Cara Konmari

Menurut guru minimalis terkenal iaitu Marie Kondo, buku adalah antara tiga perkara yang sukar dilepaskan. Ramai menghadapi masalah untuk berpisah dengan koleksi dan longgokan buku kerana pada diri sesetengah pencinta buku, buku bukan hanya buku. Buku seumpama kawan baik yang memberi kita harapan, menjadi pemangkin dan peneman pada kala kesunyian. Namun, akan sampai ketika kita terpaksa mengaku kepada diri, ‘banyak sangat buku yang aku ada sehingga tak muat rak.’

Marie Kondo memperkenalkan teknik KonMari yang menekankan konsep memberi keceriaan pada hidup (spark joy). Falsafah di sebalik teknik KonMari ini memberi peluang kepada diri untuk bertanya, ‘adakah barang ini menceriakan hidup aku?’ Pertanyaan tersebut akan memberi laluan kepada makna kepuasan hidup yang sebenar.

Ada lima langkah untuk menyisihkan buku cara KonMari:

Langkah 1: Sediakan Kotak Berlabel

Bagi memastikan kita menyisih buku secara efektif, carilah empat kotak dan letakkan label simpan (keep), jual (sell), beri (donate) dan kitar semula (recycle) pada setiap satu kotak tersebut.

Langkah 2: Longgok Buku Setempat

Marie Kondo menegaskan semua buku perlu dilonggokkan setempat di atas lantai. Menurutnya, dengan cara ini, buku- buku yang selama ini dorman di atas rak akan mula ‘hidup’ dan bersedia untuk diberi perhatian. Jika terlalu banyak buku yang berlonggok, bolehlah asingkannya mengikut kategori seperti buku umum (untuk bacaan santai), buku rujukan, buku bergambar dan majalah.

Langkah 3: Pegang dan Rasai Keceriaan

Ambil satu per satu buku dan ambil masa untuk merasainya. Jika buku itu menimbulkan rasa keceriaan di hati maka buku ini juga ada ruang di atas rak. Jika tiada percikan rasa maka sudah sampai masa untuk ucapkan selamat tinggal pada buku tersebut. Marie Kondo mengingatkan dalam proses menyisih ini elakkan diri daripada menyelak lebaran buku dan membacanya kerana itu akan mengganggu proses membuat keputusan.

 

Langkah 4: Semua Buku, Tiada Terkecuali

Proses menyisih ini melibatkan semua jenis buku termasuklah buku yang belum dibaca. Persoalan penting yang harus ditanya secara jujur: Sudah berapa lama buku ini terbiar tanpa dibaca? Lebih baik buku-buku ini diberi kepada mereka yang boleh menghargainya daripada diletakkan di rak dan dipenuhi dengan debu.

Langkah 5: Sisih dan Susun

Apabila sudah berjaya menyisih buku-buku yang tidak memberi keceriaan, maka sudah sampai masanya untuk menyusun buku yang ada di atas rak. Susun dengan teratur.

Usah rasa sedih atau ralat ketika menyisih buku-buku. Percayalah, buku-buku tersebut ada tempat yang istimewa di hati kita. Kini, sudah sampai masanya untuk buku-buku itu memberi keceriaan kepada orang lain.

Penutup

Menjadi pencinta buku seharusnya memberi makanan kepada minda, rohani dan jasmani. Namun, apabila cinta menjadi obsesi dan kompulsif maka tabiat ini akan bertukar menjadi racun pada kesihatan mental dan akan memudaratkan diri. Inilah yang dialami oleh para bibliomania.

Bagi mengubati kecelaruan ini, penghidap memerlukan nasihat dan bantuan pakar. Sehubungan itu, sukar untuk kita mengubah seorang bibliomania kepada seorang bibliofil.

Namun, kita mampu menggarap satu perspektif positif makna buku kepada generasi muda. Mereka harus didedahkan dengan motivasi membaca dan pada masa yang sama diberi teknik untuk mengawal dorongan membeli buku secara melampau.

Keseimbangan antara kehendak membeli buku dan keperluan membaca merupakan kematangan seorang pencinta buku yang sebenar. Marilah kita sama-sama sematkan kecintaan buku melalui amalan membaca dan kemampuan untuk menzahirkan ilmu tersebut bagi manfaat ramai.