BACA

BAB 2 – MENGAPA MEMBACA?
Siti Salbiah Raduan

Pengenalan

Membaca sudah menjadi sebahagian daripada budaya hidup sejak manusia bertamadun mencipta tulisan sebagai cara menyampaikan maklumat dan pengetahuan. Kemajuan teknologi dengan terciptanya kertas, dakwat, mesin cetak, Internet dan kandungan digital, membuatkan maklumat dan pengetahuan tersebar dengan meluas. Sejak itulah manusia celik huruf, membaca dan terus membaca.

Aktiviti membaca boleh menjadi hobi yang menyeronokkan bagi memenuhi masa lapang dan menjadi aktiviti rekreasi yang murah dan fleksibel. Buku ialah barangan yang mampu milik dan mudah disimpan. Buku juga boleh diperoleh di perpustakaan secara fizikal dan digital. Oleh sebab itu, membaca menjadi riadah terbaik pada waktu sibuk dan boleh menjadi sebagai suatu pelarian bagi seseorang, selain sebagai memberi tenaga segar dengan memanfaatkan masa sebaik-baiknya.

Tabiat membaca juga merupakan kelebihan kepada seseorang, iaitu pertama ialah kelebihan yang boleh dipupuk semenjak kecil lagi. Kedua ialah kelebihan persekitaran keluarga yang membaca. Budaya membaca yang dipupuk dalam kalangan keluarga boleh mempengaruhi seseorang untuk minat membaca.

Sebagai seorang Islam, membaca adalah perkataan pertama sewaktu Rasulullah s.a.w. menerima wahyu yang pertama daripada malaikat Jibril, iaitu Surah Al-Alaq di Gua Hira’ pada 17 Ramadhan atau pada 6 Ogos 610 Masehi. IQRA’ “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-Quran 96:1, Surah Al-Alaq: 1-5).

 

Faedah Membaca

Banyak faedah yang diperoleh hasil daripada kegiatan membaca yang mempengaruhi kesihatan fizikal, mental dan sosial seperti berikut:

  1. Menambah ilmu pengetahuan

Buku sebagai sumber maklumat yang dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan ekonomi, sosial, budaya, politik dan aspek-aspek kehidupan secara amnya di dalam dan di luar negara, kerana amalannya boleh mengubah masa hadapan kita.

  1. Memperbaiki penguasaan bahasa

Orang yang banyak membaca memperoleh banyak istilah, kosa kata dan ungkapan-ungkapan. Hal ini akan membantu untuk kelancaran dalam bertutur dengan lebih baik. Amalan ini merupakan soft skill yang menjadi nilai tambah dalam pekerjaan dan pembinaan karier. Bagi pembelajaran bahasa-bahasa asing, membaca juga meningkatkan penguasaan bahasa yang dipelajari. Terutamanya jika pelajar tiada lawan untuk bertutur, maka membaca dapat membantu mereka menguasai bahasa asing dengan lebih cepat.

  1. Meningkatkan kemahiran menulis

Seseorang yang mempunyai banyak kosa kata hasil pembacaan, maka keupayaan dan kemahiran menulis dapat dipertingkatkan dan hasil penulisan juga lebih berkualiti.

  1. Membantu proses mematangkan fikiran

Membaca melatih keterampilan berfikir dan menganalisis. Aktiviti membaca merangsang minda mencerna tentang sebab dan akibat, melatih fikiran memikir secara rasional (menganalisis) tentang hal baik-buruk kesan daripada sesuatu kejadian atau tindakan yang dikemukakan dalam bahan bacaannya. Membaca melatih otak berfikir kritis dan kreatif. Orang yang gemar membaca sentiasa mengisi otak dengan informasi dan pengetahuan baharu untuk kegunaan masa hadapan. Maklumat positif yang masuk ke dalam minda membuat pembaca bersedia menghadapi perubahan dan cabaran hidup. Tabiat membaca membentuk dan mengembangkan karakter menjadi lebih baik dan berguna ketika membuat keputusan-keputusan dalam hidup. Ilmunya semakin bertambah dan hidupnya berwawasan.

  1. Meningkatkan daya tumpuan (konsentrasi / fokus)

Orang yang suka membaca lebih mudah untuk fokus atau memberikan tumpuan kepada sesuatu aktiviti, tugas atau kerja. Mengapa? Ketika membaca otak dilatih untuk fokus kepada apa yang mata lihat, apa ayat-ayat yang menerangkan sesuatu, apa peristiwa atau perkara yang terjadi dalam buku yang dibaca. Orang yang suka membaca cenderung lebih teratur dan teliti dalam menyusun serta melaksanakan aktiviti harian mereka.

  1. Meningkatkan motivasi diri

Pembacaan buku-buku bersifat “usaha kendiri”, buku- buku motivasi yang ditulis berdasarkan pengalaman, penyelidikan dan pemerhatian memberikan kesan positif kepada pembacanya. Secara tidak langsung menjadikan pembaca belajar daripada pengalaman orang lain. Banyak pengalaman hidup seseorang yang dituliskan dalam buku begitu mengaspirasikan orang lain yang membaca. Pengalaman-pengalaman pencipta (inventors), peneraju industri, pengamal perubatan, ahli sukan, pengembara, pendaki dan sebagainya sesuatu yang mahal dan mendorong orang lain untuk mengambil pengajaran.

  1. Meningkatkan hubungan sosial

Bagaimanakah membaca boleh meningkatkan hubungan sosial? Kegemaran membaca tentang budaya dan cara hidup masyarakat lain atau penduduk negara lain memberikan pembaca pemahaman. Memahami agama, budaya, kebiasaan dan tatasusila masyarakat lain  memudahkan perhubungan, terutamanya jika pembaca pergi ke negara asing. Sebelum berkunjung ke sesebuah negara lain kita perlu memahami kehidupan sosial, karakter,  adat resam dan pantang larang masyarakat di situ. Mengapa? Itu memudahkan kita untuk berinteraksi dan menyesuaikan diri.

  1. Meningkatkan kebolehan empati (memahami orang lain)

Penyelidikan telah membuktikan bahawa orang yang membaca karya fiksyen, terutamanya kisah-kisah yang menerokai jiwa watak-watak dalam kisahnya, menunjukkan kemampuan yang lebih tinggi untuk memahami perasaan dan kepercayaan orang lain. Kemampuan ini dipanggil penyelidik sebagai “the theory of mind” iaitu satu set kemahiran asas dalam membina, melayari dan memelihara perhubungan sesama insan.

  1. Menguatkan fungsi otak

Mendapat manfaat aktiviti membaca dari segi kesihatan minda dibuktikan oleh penyelidik dengan menggunakan imbasan MRI. Penyelidik mengesahkan bahawa aktiviti membaca melibatkan satu rangkaian litar otak dan signal-signal yang kompleks. Dalam kajian di tahun 2013 itu, penyelidik menggunakan fungsi imbasan MRI untuk mengukur kesan pembacaan novel Pompeii kepada sekumpulan pembaca dalam satu jangka masa. Apabila pembaca mencapai ke bab yang menimbulkan tekanan / keterujaan dalam cerita, lebih banyak signal-signal dari rangkaian sel-sel otak terbit dapat dikesan.

  1. Merangsang mental

Otak merupakan salah satu organ tubuh yang memerlukan latihan agar tetap sihat dan segar. Beberapa penelitian dan kajian menunjukkan bahawa dengan membaca dapat mencegah nyanyuk (Alzheimers), membantutkan penyakit mental (skizofrenia) dan mengurangkan risiko menjadi pelupa (demensia) pada usia tua.

  1. Mengurangkan stres

Setelah penat bekerja seharian dengan pelbagai aktiviti dan komitmen harian, pasti kita akan berasa penat dan boleh menyebabkan tekanan perasaan (stress). Dengan membaca beberapa minit dapat membantu menghalang perkembangan hormon stres seperti hormon kortison. Membaca juga dapat membuat fikiran lebih santai sehingga dapat membantu menurunkan kadar stres sehingga 67%.

Dalam tahun 2009 satu kajian dijalankan mengenai kesan yoga, humor dan membaca terhadap mahasiswa program Pengajian Sains Kesihatan yang begitu mencabar di seluruh Amerika Syarikat. Hasil kajian mendapati bahawa membaca selama 30 minit mampu menurunkan tekanan darah dan kadar degup jantung serta menurunkan rasa stres. Cara ini sama keberkesanannya seperti aktiviti yoga dan humor yang mengurangkan tekanan. Kekangan masa merupakan sebab paling utama menimbulkan tekanan kepada responden. Penyelidik menyimpulkan bahawa 30 minit untuk ketiga-tiga aktiviti tersebut sangat mudah untuk dimasukkan dalam sela-sela jadual mereka yang padat tanpa mengalihkan penumpuan dan mengambil masa yang banyak.

Pengurangan stres ini juga dapat membantu mendapat tidur yang nyenyak dan nyaman. Oleh yang demikian seseorang akan dapat menjalani kehidupan pada keesokan harinya dengan lebih berkualiti. Ada yang beranggapan bahawa membaca buku akan membuat otak terus bekerja dan menimbulkan stres, sedangkan faedah membaca buku adalah dapat mengurangkan stres.

  1. Mengurangkan simptom depresi

Membaca  dapat  mengurangkan  simptom  depresi  dan mengelakkan rasa cemas (anxiety) kerana otak berhubung dengan emosi. Membaca mengubah fokus daripada masalah kepada konsep dan idea baharu. Dengan membaca buku yang betul juga boleh mendapat ketenangan.

  1. Meneroka perkara baharu

Membaca buku secara keseluruhannya mungkin tidak mampu mengubah kita dapat memberi perubahan kepada minda untuk meneroka perkara baru. Tentu sekali apabila kita banyak membaca terutama dalam bidang yang diminati, kita akan mendapat ilmu baharu untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.

  1. Meningkatkan imaginasi

Membaca boleh meningkatkan imaginasi dan membawa kita menerokai ke tempat yang belum pernah dilawati. Misalnya, membaca buku fiksyen membawa imaginasi ke mana sahaja. Aktiviti ini membolehkan kita menjelajah ke dunia lain, melihat budaya dan kepercayaan orang lain.

  1. Memberi ketenangan

Membaca boleh membuat seseorang berada dalam keadaan tenang apabila membaca sesuatu topik yang diminatinya. Buku tersebut juga mungkin berkaitan dengan hobi seseorang. Ilmu, kemahiran dan tip yang diperoleh daripada bacaan tersebut juga boleh memberi hasil yang lebih baik terhadap minat atau hobi seseorang. Membaca juga terbukti berjaya membantu orang yang menderita gangguan mood tertentu dan penyakit mental yang ringan.

Penutup

Memandangkan banyak faedah didapati daripada aktiviti membaca, maka adalah wajar jika semua pihak baik pihak kerajaan, badan-badan sukarela, orang perseorangan termasuk ibu bapa turut menyokong dan menggalakkan aktiviti pembacaan serta menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat. Faedah yang diperoleh dengan membaca juga sebagai penggalak kepada seseorang untuk membaca melalui pelbagai format. Perpustakaan juga boleh mempromosi faedah ini bagi menggalakkan lebih ramai pengguna berkunjung ke perpustakaan.