BACA

BAB 3 – PANDUAN MEMBACA
Dr. Zahrah Yunos

Pengenalan

Tahukah anda bahawa aktiviti membaca merupakan aktiviti yang paling mudah untuk dilakukan? Jika mahu memasak, kita perlukan dapur dan bahan-bahan masakan. Jika mahu bersukan, walau sukan paling ringkas seperti berlari sekalipun kita tetap perlukan trek larian dan pakaian yang sesuai. Sedangkan untuk membaca, kita cuma perlukan sebuah buku sahaja untuk memulakannya.

Walau bagaimanapun, bukan bermakna hal ini mudah untuk semua orang. Buktinya, masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat yang tidak suka membaca buku. Boleh jadi golongan ini bukanlah malas sebaliknya dibelenggu persoalan-persoalan seperti bagaimana hendak mula membaca? Buku apakah yang sesuai untuk dibaca? Bilakah waktu yang sesuai untuk membaca? Atau bagi yang sudah lama meninggalkan aktiviti membaca, adakah masih belum terlambat untuk memupuk tabiat ini semula? Teruskan membaca bab ini kerana anda mungkin akan menemui tip yang praktikal dan sesuai dengan keadaan diri masing-masing.

Panduan Memilih Buku untuk Dibaca

Seperti memilih makanan di restoran atau pakaian di butik, memilih buku juga boleh menjadi sebuah proses yang agak mencabar. Bersyukur sekiranya masih dapat membuat pilihan yang sesuai dan baik. Tetapi, sekiranya tersalah pilih, kerugian bukan dari segi masa sahaja, malah dikhuatiri juga akan ‘membunuh’ rasa teruja untuk membaca. Sebelum risiko itu berlaku, marilah mencuba beberapa panduan memilih buku untuk dibaca.

  1. Ulasan Buku

Apabila seseorang beria-ia mencadangkan sebuah buku kepada kita, jangan terus membelinya kecuali diketahui si pencadang mempunyai cita rasa yang sama seperti kita. Bertenang dan ingat, kegemaran setiap orang berbeza. Ada baiknya kita membuat penilaian sendiri dahulu.

Baca dahulu ulasan buku di laman web seperti Goodreads dan Amazon, tidak mengira sama ada ulasan positif atau negatif. Dari situ, kita dapat menilik sama ada buku itu sesuai dengan cita rasa kita ataupun tidak.

  1. Pendahuluan & Bab 1

Sebaiknya baca dahulu pendahuluan dan bab pertama buku bagi menilai ‘keserasian’ antara kita dengan buku yang ingin dibeli. Perkara ini dibenarkan di kebanyakan kedai buku besar. Sekiranya buku masih berbalut dengan plastik, jangan malu-malu untuk meminta bantuan pembantu kedai membukakan pembalutnya.

Kemudian, bacalah buku itu dengan cermat seperti kita sedang memegang gelas kristal di kedai pinggan mangkuk kerana tidak mahu barang ini pecah dan perlu membayar ganti rugi. Jika membeli melalui dalam talian, baca dahulu bahagian awalnya melalui aplikasi Google Play Books.

  1. Tiru Tokoh & Usahawan

Kebanyakan tokoh dan usahawan yang berjaya di dunia ini adalah pembaca. Oleh sebab masa lapang mereka amat terhad dan berharga, mereka hanya akan memilih buku yang betul-betul bagus dan membina untuk dibaca. Senarai siapa yang boleh dirujuk? Lihat senarai buku menarik yang dicadangkan oleh nama-nama besar seperti Oprah Winfrey, Mark Zuckerberg, Bill Gates, dan Elon Musk.

  1. Buku Malar Segar

Cubalah amalkan membaca buku-buku malar segar, tidak kira dari dalam atau luar negara. Sesetengah buku ditulis di kulit depannya sebagai calon atau pemenang anugerah buku. Buku-buku seperti ini menarik untuk dicuba kerana pasti ada sebab tertentu karya ini diberi penghargaan.

  1. Adaptasi Filem

Jika kita seorang peminat filem, drama atau rancangan televisyen, cubalah membaca buku yang berkaitan dengan cerita yang ditonton. Boleh jadi buku itu menjadi sumber adaptasi sesebuah rancangan atau dibaca oleh watak kegemaran dalam rancangan tersebut.

Membaca buku cerita-cerita yang sudah ditonton di layar perak atau kaca televisyen juga boleh mendatangkan keseronokan yang tersendiri. Terutamanya apabila sampai babak tertentu yang membuat kita tersenyum dan berkata, “Oh, inilah babak dalam cerita itu!”

  1. Relevan dengan Tujuan

Tanya pada diri sendiri, “Apakah aktiviti yang ingin dibuat dalam masa terdekat? Tempat mana yang ingin dilawati?” atau, “Apakah masalah yang ingin diselesaikan pada waktu ini?”

Daripada soalan-soalan ini, pilihlah buku yang relevan dengan keadaan itu supaya kita ada tujuan membaca sesebuah buku. Pilihan yang tepat sekali gus menjadikan kita lebih bersemangat untuk menghabiskannya.

Waktu Membaca

Kesibukan dengan pelbagai aktiviti harian menyebabkan kita mengalami keletihan fizikal dan mental. Hal ini boleh menjadi penghalang untuk membaca buku. Setiap kali membaca, tidak dapat menghadamkan ayat yang dibaca dan mata menjadi semakin berat. Perkara ini terjadi kerana kita telah memilih genre buku yang tidak sesuai untuk dibaca pada waktu tersebut.

Untuk membaca dengan lebih efektif, kita boleh mengatur untuk membaca buku berlainan genre mengikut kesesuaian waktu masing-masing.

  1. Waktu pagi

Sebuah kajian oleh Institut Neurologikal Montreal pada tahun 2015 mendapati bahawa saiz otak manusia adalah lebih besar pada waktu pagi berbanding tengah hari. Hal ini terjadi disebabkan pengedaran air dalam badan pada waktu malam dan nyahhidrasi pada waktu siang.

Maka pada waktu pagi otak kita sepatutnya lebih aktif, segar dan berada dalam mod bekerja. Genre berat seperti akademik, falsafah, sains, dan sejarah amat sesuai dibaca pada waktu ini.

Dr. Jason Liauw, pakar bedah otak di Pusat Perubatan Memorial Saddleback, California berkata, “Membaca pada permulaan hari bukan sahaja menenangkan, malah membantu kita menyusun keutamaan pada hari tersebut dan memisahkan kita daripada kerisauan semalam.”

  1. Waktu tengah hari

Seperti yang dikatakan sebelum ini, saiz otak manusia semakin mengecil pada waktu tengah hari kerana faktor hidrasi. Pada waktu ini juga kita mahukan sesuatu yang lebih santai setelah separuh hari melalui waktu bekerja. Dalam masa yang sama, kita juga perlu bersedia untuk separuh hari yang kedua pula. Buku motivasi adalah bacaan yang sesuai pada waktu perantaraan ini. Tajuk ini juga boleh membantu menaikkan semula semangat pada hari tersebut.

Panduan: Tinggalkan sebuah buku motivasi di meja pejabat untuk dibaca pada waktu rehat. Sasarkan untuk membaca sekurang-kurangnya satu bab atau beberapa helai  muka surat sehari. Amalan ini juga berguna pada saat- saat kita memerlukan motivasi di tempat kerja, seperti selepas dimarahi bos atau berhadapan dengan klien yang cerewet.

  1. Waktu malam

Malam adalah masa berehat dan meringankan diri daripada segala bebanan stres pada waktu siang. Pada waktu ini, buku-buku bergenre ringan dan mudah dihadam seperti fiksyen adalah pilihan yang sesuai. Walau bagaimanapun, pastikan kita meletakkan had waktu atau muka surat yang ingin dibaca. Dikhuatiri membaca itu pula menjadi sebab kita lambat melelapkan mata. Membaca buku yang sesuai juga dapat membantu mengurangkan stres dan mendapatkan tidur yang lena.

Dengan mengamalkan cara membaca begini, kita  dapat membaca tiga buah buku dalam masa satu hari. Walau bagaimanapun, tidak salah jika mahu fokus pada sebuah buku sahaja sehingga habis dibaca. Terpulang pada pilihan dan kesesuaian masing-masing.

Panduan Menangani Rintangan Pembaca

Terdapat satu keadaan yang dipanggil rintangan pembaca atau reader’s block. Setiap kali mengalami rintangan ini, seorang pembaca seolah-olah kehilangan fokus untuk membaca.

Bagaimana mahu keluar daripada situasi ini? Ada beberapa tip yang boleh dicuba, tidak kira sama ada rintangan pembaca anda masih baru atau sudah bertahun-tahun terjadi.

  1. Buku ini rasa macam tak menariklah!

Ada kalanya bukan faktor buku pun, tetapi keadaan sekatan pembaca telah menyebabkan kita melihat semua buku tak menarik. Apabila hal ini berlaku atau pembacaan menjadi sangat perlahan, segeralah bertukar kepada buku yang lain. Jika tidak, dikhuatiri kita akan berputus asa sekali lagi untuk membaca

  1. Pilih buku yang nipis dan mudah dibaca

Buku yang nipis boleh meningkatkan keyakinan kita untuk menghabiskan bacaan. Jika anda sukakan fiksyen, bacalah koleksi cerpen dahulu. Buku-buku indie juga boleh dijadikan pilihan kerana tulisannya lebih santai dan mudah dihadam.

  1. Baca buku penulis atau genre kegemaran

Membaca sesuatu yang kita suka dan biasa boleh menaikkan semula minat membaca yang sudah merudum. Membaca buku ini ibarat bercakap dengan orang juga. Apabila kita bercakap dengan orang yang kita cinta, kita pasti akan gembira. Oleh itu, mulakanlah dengan membaca buku yang kita suka.

  1. Mari ke kedai buku!

Berada di kedai buku dan dikelilingi oleh pencinta buku lain boleh membuatkan kita berasa teruja semula dengan buku. Beleklah buku yang kita suka satu persatu. Jika kewangan mengizinkan, belilah senaskhah dua buku atau lebih. Bagi yang tinggal jauh dari kedai buku, melawat kedai buku secara dalam talian pun boleh tetapi cara ini mungkin kurang berkesan sebab tak ada tarikan bau buku. Tiada duit untuk buku? Jangan risau, perpustakaan kan ada?

  1. Sertai kumpulan buku

Kumpulan buku ini macam kumpulan belajar juga. Melalui kumpulan ini, para pencinta buku saling berkongsi dan menyokong antara satu sama lain. Perbincangan boleh dilakukan secara berdepan atau melalui laman sosial. Aktiviti sosial yang sihat ini boleh membuatkan ulat buku yang setengah mati bertukar menjadi ‘rama-rama buku’ pula.

  1. Biarkan saja sehingga berlalu pergi

Boleh jadi sekatan pembaca yang dialami adalah disebabkan beberapa urusan kehidupan yang belum selesai. Jika  ini sebabnya, selesaikanlah dahulu urusan-urusan tertangguh sehingga kita tenang dan bersedia untuk membaca semula. Hanya, jangan jadikan alasan ini untuk terus tidak mahu membaca. Mulakan dulu dengan panduan-panduan di atas. Mana tahu apabila kita mula membaca, urusan lain pun ikut teratur? Hati pun bertambah tenang.

Penutup

Ada banyak lagi panduan-panduan lain yang boleh membantu kita supaya membaca semula. Teruskan mencuba dan jangan berputus asa untuk mencari cara yang sesuai dengan diri anda. Selamat membaca dan mencintai buku!