BACA
BAB 4 – KELUARGA MEMBACA
A’dillah Mustafa
Pengenalan
Bab ini memberi pengenalan kepada asas perpustakaan keluarga, kepentingan, dan kaedah pembinaan perpustakaan keluarga. Lebih tepat lagi, bab ini memberi panduan ringkas kaedah perpustakaan keluarga boleh diwujudkan di setiap kediaman rakyat Malaysia. Panduan ringkas ini merangkumi aspek pengurusan bahan iaitu pemilihan, penyusunan, pengelasan dan penjagaan. Turut diketengahkan juga aspek tata hias perpustakaan seperti mereka bentuk ruang dan pemilihan konsep yang bersesuaian dengan jenis kediaman dan cita rasa sesebuah keluarga. Selain bahan dan konsep perpustakaan, bab ini juga membincangkan aspek kos atau kewangan yang boleh dijadikan panduan untuk memulakan sudut bacaan keluarga mahupun sebuah perpustakaan di kediaman.
Definisi dan Konsep
Menurut Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), perpustakaan keluarga ialah bilik, ruang ataupun sudut di rumah anda yang telah dipilih khas untuk menempatkan bahan-bahan bacaan seperti buku, majalah, akhbar, pita kaset ataupun pita video. Bahan-bahan bacaan tersebut disusun dengan rapi di rak buku yang dipilih mengikut kesesuaian keluarga. Walaupun begitu bab ini akan mengetengahkan konsep perpustakaan keluarga sebagai memperkenalkan buku atau sebarang jenis bahan bacaan yang tersedia di rumah dalam bentuk yang lebih menarik.
Pengurusan Perpustakaan Keluarga
Pengurusan perpustakaan keluarga boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pengurusan bahan dan penjagaan bahan. Pengurusan bahan amat penting kepada perpustakaan tanpa mengira saiz koleksi, manakala penjagaan bahan merupakan amalan baik yang perlu sentiasa diamalkan bagi memastikan ketahanan koleksi. Pengurusan perpustakaan keluarga perlu mengambil kira konsep asas perpustakaan yang telah digariskan di bahagian yang terdahulu dalam bab ini iaitu memperkenalkan buku atau sebarang bahan bacaan yang tersedia di rumah dalam bentuk yang lebih menarik. Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam proses pengurusan berkenaan, antaranya adalah masa yang boleh diluangkan, pengetahuan asas tentang bahan serta koleksi dan penglibatan ahli keluarga.
Pengurusan Bahan
Pengurusan bahan perpustakaan keluarga boleh dibahagikan kepada tiga proses utama iaitu pemilihan bahan, kaedah penyusunan dan pengkatalogan serta pengelasan bahan. Walau bagaimanapun proses pengkatalogan dan pengelasan ini lebih bersifat pilihan berbanding dua kaedah sebelumnya.
- Pemilihan bahan
Proses pemilihan bahan ialah proses yang paling asas dan penting untuk membina sebuah perpustakaan yang menarik dan bermanfaat. Proses ini bermula dengan aktiviti pengumpulan semua bahan bacaan yang terdapat di dalam rumah dan ditempatkan di sudut yang bersesuaian. Pemilihan bahan dibuat untuk mengenal pasti bahan yang perlu disimpan atau dibuang. Pemilihan boleh dibuat berdasarkan beberapa kriteria panduan seperti jadual di bawah:
Kriteria pemilihan bahan
Simpan |
Buang |
Sesuai dengan koleksi |
Buku lama |
Buku baharu (belum dibaca) |
Baca sekali / jarang baca |
Penulis kegemaran |
Rosak |
Sukar dijumpai |
Buku klasik / bukan kegemaran |
Edisi pengumpul |
Kandungan buku terkebelakang |
Ada ruang |
Tiada ruang |
|
Naskhah salinan pendua (duplicate copy) |
Walau bagaimanapun, kriteria ini boleh diubahsuai mengikut keperluan sesebuah keluarga.
Aktiviti kedua ialah mengenal pasti kondisi bahan dalam membuat pertimbangan berkaitan bahan. Penulisan terdahulu mencadangkan enam kondisi yang boleh digunakan iaitu sempurna, hampir sempurna, sangat baik, baik, hampir rosak dan rosak. Kondisi ini berpandukan kepada faktor usia dan keadaan fizikal bahan.
Aktiviti terakhir ialah membuat keputusan berkenaan jumlah koleksi yang boleh dipamerkan di dalam perpustakaan keluarga berkenaan dan ramalan berapa cepat koleksi perpustakaan boleh berkembang. Meramal kadar perkembangan koleksi sangat berkait rapat dengan aktiviti perolehan bahan dan membantu dalam proses penentuan ruang dan saiz perpustakaan.
- Kaedah penyusunan
Penyusunan bahan sangat penting dalam memastikan wujudnya daya tarikan terhadap perpustakaan. Penyusunan bahan perlu memberi tumpuan kepada tiga perkara asas iaitu keselamatan, tarikan dan praktikal. Terdapat empat cara atau kaedah penyusunan iaitu:
i. Susunan abjad
Kaedah ini paling sesuai untuk perpustakaan yang kecil kerana memudahkan pencarian dan mendapatkan semula bahan. Susunan mengikut abjad ini boleh dibuat berdasarkan judul atau nama pengarang bahan.
ii. Susunan subjek/genre
Kaedah ini adalah yang paling popular sama seperti penyusunan bahan di kedai-kedai buku. Tetapi kaedah ini memerlukan sedikit pengetahuan asas dalam mengenal pasti subjek bahan. Secara umumnya pembahagian boleh dimulakan dengan dua perkara utama iaitu bahan fiksyen dan bukan fiksyen. Subjek bahan bergantung kepada pembacaan keluarga. Cadangan subjek untuk bahan bukan fiksyen berdasarkan bahan paling popular di rumah seperti agama, masakan, kraf, sejarah, hobi, biografi, kembara, DIY dan lain- lain. Manakala untuk bahan fiksyen adalah seperti cinta, sejarah, seram, jenayah, fantasi dan inspirasi. Susunan ini kemudian diikuti oleh kaedah abjad (kaedah pertama) mengikut judul atau nama pengarang.
iii. Susunan saiz
Kaedah ini adalah yang paling mudah dan memberi kesan yang sangat artistik di samping penjimatan ruang. Penyusunan ini mengikut kepada saiz bahan yang terdapat dalam perpustakaan. Kaedah ini mengguna pakai dua prinsip asas iaitu: i) besar dan berat di bawah, dan ii) kecil dan ringan di tengah dan atas. Kaedah ini adalah lebih selamat berbanding dua kaedah sebelum ini. Contoh penyusunan seperti gambar di bawah.
iv. Susunan warna
Kaedah ini mempunyai nilai estetika yang tinggi tetapi kurang praktikal. Dikenali juga sebagai penyusunan “pelangi” dan kaedah ini sesuai untuk koleksi yang besar.
- Pengkatalogan dan pengelasan bahan
Proses terakhir dalam pengurusan bahan adalah pengkatalogan dan pengelasan. Proses ini sangat praktikal untuk perpustakaan yang besar bagi membina kaedah penyusunan dan dapatan semula yang sistematik. Pengetahuan asas dalam pengkatalogan dan pengelasan diperlukan untuk melaksanakan kaedah ini. Kaedah ini boleh dibuat untuk perpustakaan yang lebih kecil dengan menggunakan kaedah kod warna mengikut subjek bahan. Manakala untuk perpustakaan yang lebih besar sistem pengelasan yang dicadangkan adalah Dewey Decimal Classification (DDC). Pengkelasan DDC ini membahagikan bahan kepada 10 kelas utama. Rujuk jadual di bawah untuk panduan pengelasan.
No. Kelas Class No. |
Tajuk Perkara Subject Heading |
000-099 |
Sains Komputer, Maklumat & Karya Am Computer Science, Information & General Works |
100-199 |
Falsafah dan Psikologi Philosophy & psychology |
200-299 |
Agama Religion |
300-399 |
Sains Kemasyarakatan Social Sciences |
400-499 |
Bahasa Language |
500-599 |
Sains Science |
600-699 |
Teknologi Technology |
700-799 |
Kesenian & Rekreasi Arts & Recreation |
800-899 |
Kesusasteraan Literature |
900-999 |
Sejarah & Geografi History & Geography |
Penjagaan Bahan
Bahagian kedua dalam pengurusan bahan perpustakaan keluarga adalah penjagaan bahan. Aspek penjagaan bahan sangat penting bagi mengelakkan bahan daripada cepat rosak dan menjaga kelestarian sesebuah perpustakaan keluarga. Penjagaan bahan boleh difahami sebagai memelihara bahan dari aspek kemanusiaan (sikap dan tabiat pengguna), persekitaran (kelembapan dan suhu), dan makhluk perosak (gegat, anai-anai, lipas dan lain-lain). Penjagaan bahan dalam perpustakaan keluarga tertumpu kepada dua koleksi berikut:
- Bahan lama dan rosak
Bahan lama dan bahan yang telah rosak boleh difahami sebagai bahan yang telah hilang muka surat, bertukar warna kepada kekuningan, mereput, tertanggal jahitan dan gam serta tertanggal kulit luar. Sekiranya bahan ini mempunyai nilai sejarah atau sentimental kepada keluarga dan perlu dikekalkan maka bahan ini perlu disimpan di dalam fail kotak atau box file dan dipertimbangkan untuk proses pemuliharaan.
- Koleksi kanak-kanak
Koleksi kanak-kanak adalah antara koleksi yang paling lazim dalam kebanyakan perpustakaan keluarga. Koleksi ini terdapat dalam bentuk fabrik dan kertas keras untuk usia di antara satu (1) hingga tiga (3) tahun. Buku Bergambar, Cerita Rakyat dan Fantasi, Cerita Dongeng, Buku Interaktif, Buku Puisi, Buku Abjad, Buku Mengira dan Buku Berirama. Ciri-ciri umum buku ini adalah berwarna terang dan saiz cetakan yang agak besar. Bahan-bahan ini boleh disusun di rak atau dimasukkan dalam kotak buku mengikut saiz.
Etika Pengendalian Buku (Book Handling Etiquette)
Proses pengurusan bahan perpustakaan keluarga tidak akan berjalan dengan lancar tanpa amalan etika pengendalian buku. Etika ini perlu diperkenalkan kepada semua ahli keluarga terutamanya kepada kanak-kanak dan remaja. Etika ini mengandungi empat (4) praktik asas iaitu: i) kenali buku (kulit depan, kulit belakang, tulang buku, pengarang dan ilustrasi), ii) cara mengambil buku dari rak (tarik tulang buku dengan perlahan sebelum memegang bahagian tengah buku), iii) cara membuka muka surat buku (selak helaian dengan cermat dan perlahan) dan iv) cara meletakkan kembali buku di rak (dengan cara menolak tulang buku ke dalam susunan tanpa perlu sampai ke bahagian dasar rak). Daya tahan dan kelestarian perpustakaan keluarga amat berkait rapat dengan etika pengendalian buku ini untuk memastikan koleksi lebih tahan lama dan kekemasan aturan akan terpelihara. Cubalah anda pasti tidak menyesal!
Konsep Perpustakaan Keluarga
Pemilihan konsep menimbulkan keterujaan kepada ahli keluarga. Walau bagaimanapun keterujaan ini mestilah bersandarkan kepada beberapa asas seperti ruang, kewangan dan koleksi. Fokus perlu diberikan kepada asas pembinaan perpustakaan keluarga itu sendiri iaitu penyediaan satu ruang atau bilik yang boleh menempatkan koleksi bahan serta mewujudkan persekitaran membaca yang kondusif untuk seluruh ahli keluarga. Bagi memenuhi asas berkenaan, aspek mereka bentuk ruang dan pemilihan konsep yang tepat amat penting.
- Mereka bentuk ruang
Mereka bentuk ruang bermula dengan pemilihan lokasi yang bersesuaian di dalam bahagian rumah. Pemilihan ruang mestilah berdasarkan keselesaan dan keselamatan ahli keluarga. Banyak ruang yang boleh dimanfaatkan seperti ruang tamu, tepi atau bawah tangga, dapur dan loteng. Ruang mestilah mempunyai aliran udara yang baik (bertingkap) dan arah cahaya yang betul. Ruang juga perlu mempunyai pengudaraan dan pencahayaan yang betul bagi memastikan edaran oksigen yang secukupnya dan cahaya yang sesuai untuk membaca. Di samping itu, cahaya, suhu dan kelembapan juga penting untuk penjagaan bahan. Ruang asal boleh terus digunakan atau sedikit pengubahsuaian untuk membentuk ruang baharu. Elemen “Fengshui” juga boleh dititikberatkan bagi mencapai keharmonian keluarga.
- Pemilihan konsep
Daya tarikan kepada sesebuah perpustakaan adalah konsep yang diguna pakai dan perpustakaan keluarga tidak terkecuali. Pemilihan konsep yang realistik perlu mengikut pertimbangan-pertimbangan seperti berikut: i) jenis kediaman, ii) jumlah ahli keluarga, iii) umur ahli keluarga, iv) jumlah dan jenis bahan dan v) peruntukan kewangan. Pelbagai konsep yang boleh dipilih seperti Moden, Klasik, Kontemporari, Zen dan “English Shabby Chic” atau “Country”. Pemilihan konsep juga berkaitan dengan dekorasi iaitu pemilihan perabot (rak buku, almari buku, kerusi membaca, sofa dan meja kopi) dan aksesori (lampu, penahan buku, gambar dan bingkai gambar, permaidani, langsir, dan lain-lain).
Kos/Kewangan
Pembinaan perpustakaan keluarga bergantung kepada kemampuan kewangan sesebuah keluarga. Sungguhpun begitu, kemampuan kewangan tidak sepatutnya mematahkan semangat dan kesungguhan sesebuah keluarga untuk memiliki perpustakaan sendiri. Permulaan yang minimum daripada sumber kewangan simpanan, ahli keluarga, tabungan peribadi ketua keluarga dan juga hasil daripada jualan buku terpakai (yang sudah ditentukan di awal proses pemilihan bahan). Bagi menambah koleksi bahan, beberapa petua seperti berikut boleh diikuti iaitu : i) mencari pihak yang menyumbang buku kepada umum (perpustakaan dan penerbit buku), ii) institusi yang mewakafkan buku untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (penerbit dan penjual buku), dan iii) menyertai pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh perpustakaan dan syarikat bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan membaca.
Penutup
Perpustakaan keluarga dan pembentukan jati diri serta identiti membaca anak-anak adalah amat signifikan. Kajian saintifik telah melaporkan kepentingan pembacaan di rumah bersama-sama keluarga dalam pembangunan kognitif seterusnya pencapaian akademik kanak-kanak. Justeru itu diharapkan panduan ringkas ini dapat membantu para ibu bapa untuk mencipta suasana keluarga membaca yang ceria dan santai sesuai dengan kediaman masing-masing. Semoga dapat direalisasikan 1 rumah 1 perpustakaan di kediaman untuk menjadikan membaca sebagai budaya dalam kehidupan masyarakat Malaysia.