BACA

 

BAB 5 – BIBLIOTERAPI BUAT SAYA BAHAGIA
Rafidah Abdul Aziz

Pengenalan

Mark Haddon seorang novelis Inggeris, pernah mengungkapkan kata-kata ini, “Reading is a conversation, all books talk, but a good book listens a well”. Kata-kata ini menunjukkan bahawa sekiranya kita membaca buku yang bagus, kita seolah-olah berkomunikasi dengan buku tersebut.

Setiap daripada kita pasti mempunyai cerita  yang  tidak mampu untuk diluahkan kepada sesiapa pun kerana bermungkinan terlalu peribadi, memalukan atau menyedihkan. Kita beranggapan bahawa sekiranya cerita itu tertanam jauh di lubuk hati kita, maka cerita ini tidak akan mendatangkan sebarang masalah di kemudian hari. Tetapi, tanpa kita sedari, anggapan ini seolah-olah menjadi seperti duri dalam daging, kita merasa gelisah dan tidak selesa selagi perkara ini masih berada dalam hati kita. Adakah kita akan terus-menerus membiarkan perasaan ini menguasai diri kita sehingga memusnahkan diri sendiri? Ataupun kita hendak meneruskan hidup dan mencari kebahagiaan yang kita kehendaki tanpa memikirkan perkara-perkara negatif yang mengganggu hidup.

Ketika kita melalui norma baharu ini, ramai rakyat Malaysia turut terkesan dengan pandemik yang melanda dunia. Sama ada kita sedar atau tidak, Covid-19 turut memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan mental, sama ada dalam jangka masa pendek mahupun panjang. Kehilangan pekerjaan, kehilangan ahli keluarga, masalah kewangan, penderaan mental dan fizikal dan masalah kemurungan, didapati semakin meningkat semasa pandemik Covid-19 melanda Malaysia.

Berdasarkan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, terdapat hampir setengah juta rakyat Malaysia mengalami simptom tekanan atau kemurungan. “Separuh daripada masalah gangguan mental mula dikesan pada usia 14 tahun dan tiga per empat daripadanya pada pertengahan usia 20-an”. Peningkatan drastik dalam masalah seperti stres, kebimbangan melampau (anxiety), kemurungan, kesunyian, kemarahan dan bunuh diri serta mencederakan diri sendiri dapat dilihat dengan jelas sepanjang tempoh pandemik ini. Usaha segera perlu diambil untuk menangani kesan pandemik terhadap kesihatan mental masyarakat.

Sejarah Biblioterapi

Biblioterapi merupakan satu bentuk terapi yang menggunakan buku atau bahan bacaan untuk membantu individu yang mengalami masalah berkaitan jiwa. Istilah biblioterapi ini berasal daripada perkataan Yunani iaitu “biblion”, yang bermaksud buku dan “therapeia”, yang bermaksud penyembuhan atau rawatan. Oleh itu, makna biblioterapi dalam konteks paling mudah adalah “penyembuhan dengan buku.”

Biblioterapi pertama kali diungkapkan Samuel McChord Crothers pada 1916 dalam artikel dari jurnal Atlantic Monthly, dan sejak itu istilah ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan para ahli teori dan ahli psikologi. Pada tahun 1966, istilah “bibliotherapy” telah diterima pakai secara rasmi oleh ALA dan istilah ini diterbitkan dalam Websters Third New International Dictionary.

Dikenali juga sebagai terapi sokongan dan merupakan satu kaedah terapi yang memiliki sejarah yang terpanjang dalam dunia terapi. Penggunaan buku dengan tujuan merawat jiwa telah bermula sejak beratus tahun dahulu. Sama ada Shakespeare, Aristotle, King Ramses II, sejarah telah membuktikan biblioterapi telah diamalkan sejak zaman dahulu lagi.

Namun begitu, dari sudut agama Islam, biblioterapi sebenarnya telah bermula daripada Surah al-Iqra: 1-5. Iqra’ bukan sekadar perintah membaca malahan Allah menyuruh manusia memahami, berfikir, mengamalkannya dan menyebarkan maklumat kepada masyarakat. Al-Quran itu sendiri adalah syifa kepada manusia yang membaca dan memahami terjemahannya.

Pada tahun 1272, Hospital Al-Mansur di Kaherah memperdengarkan bacaan Al-Quran kepada pesakit sebagai sebahagian daripada rawatan, dan sejak itu biblioterapi telah menjadi sebahagian daripada rawatan kesihatan mental secara tidak formal. Hasilnya menunjukkan pesakit sembuh dengan lebih cepat. Keadaan ini berterusan sehingga awal abad ke-20 iaitu semasa Perang Dunia Pertama, buku merupakan salah satu terapi yang digunakan untuk merawat tentera yang menghadapi “trauma” pasca peperangan. Perpustakaan perubatan dan hospital telah bekerjasama dalam menyediakan bahan bacaan yang diberikan kepada pesakit. Melalui amalan membaca, pesakit berasa lebih tenang dan stabil malah dapat mengatasi rasa sakit pada waktu itu. Hal ini membuktikan bahawa biblioterapi bukanlah satu perkara asing dalam bidang perpustakaan, dan kini kembali hangat diperkatakan.

Konsep membaca sebagai satu kaedah penyembuhan jiwa merupakan salah satu terapi yang banyak diamalkan di luar negara. Antara negara yang telah mempraktikkan biblioterapi ialah seperti United Kingdom, Amerika Utara, Amerika Selatan, Australia dan Indonesia.

Inisiatif Biblioterapi di Malaysia

Pelbagai kaedah rawatan dan terapi diperkenalkan dan kempen mengenainya dijalankan secara besar-besaran agar masyarakat sedar bahawa bantuan dan bimbingan bagi mereka yang mempunyai masalah berkaitan mental dan jiwa ini ada di negara kita. Terdapat juga pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Biblioterapi Malaysia (PERBIMA), Persatuan Kesedaran & Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Perkhidmatan Kesihatan Mental (BEFRIENDERS) dan rakan pembimbing seperti Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) khusus untuk kakitangan perkhidmatan awam yang turut memberi bantuan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan.

PERBIMA telah melaksanakan banyak kempen untuk memberi kesedaran mengenai manfaat membaca kepada rakyat Malaysia. PERBIMA telah ditubuhkan pada 31 Oktober 2017 dengan tujuan utamanya untuk memberi kesedaran dan seterusnya memperkenalkan kaedah biblioterapi sebagai salah satu terapi sokongan untuk menyelesaikan masalah dan kesukaran dalam menangani gangguan tingkah laku dan minda dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa. Ia menggunakan bahan-bahan kesusasteraan yang sesuai yang terdapat di rumah, kedai buku, perpustakaan dan dari dalam talian.

Objektif  PERBIMA  ialah:

  1. Memupuk kesedaran pentingnya membantu melahirkan masyarakat yang mempunyai minda yang sihat dan positif melalui pembacaan.
  2. Mengenal pasti bahan-bahan bacaan yang mempunyai unsur-unsur biblioterapi bagi kegunaan pengguna yang mempunyai masalah.
  3. Mengesyorkan bahan bacaan yang kandungannya menyamai masalah yang sedang hadapi oleh pembaca dan seterusnya membantu pembaca menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
  4. Memberi kesedaran kepada  para  kaunselor dan guru di Malaysia untuk menyedari bahawa perpustakaan berperanan untuk membantu dalam menyediakan/mengesyorkan bahan-bahan yang boleh digunakan semasa sesi kaunseling dan pembelajaran bagi mengenal pasti golongan yang bermasalah ini.
  5. Menggalakkan individu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi secara realistik dan rasional melalui terapi buku.
  6. Membantu menurunkan peratusan kanak-kanak dan remaja yang terlibat dengan masalah sosial.
  7. Menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat secara berterusan sama ada secara membaca sendiri, berkumpulan mahupun bercerita.
  8. Menggalakkan perpustakaan sebagai platform yang menyediakan persekitaran yang kondusif serta mampu menyediakan bahan bacaan yang sesuai dalam menyokong terapi ini.

    PERBIMA diterajui oleh seorang presiden, dua orang penasihat yang pakar dalam bidang psikiatri dan kesusasteraan kanak-kanak, serta ahli jawatankuasa yang bertindak dalam menganjurkan program dan aktiviti khusus untuk masyarakat. Ahli Jawatankuasa PERBIMA terdiri daripada ahli akademik, pustakawan, kakitangan awam, kaunselor, pelajar IPT dan lain- lain lagi. PERBIMA juga menganjurkan siri ceramah, bual bicara dan perbincangan bersama pakar dan panel yang berkaitan. Bengkel biblioterapi asas dan lanjutan turut ditawarkan bagi melatih individu yang berminat untuk mendalami mengenai biblioterapi dan sijil akan diberikan oleh PERBIMA dan Institut Dzikra (Biblioterapi Indonesia). Kempen yang dilaksanakan oleh PERBIMA adalah secara berterusan agar masyarakat lebih peka dan cakna dengan kewujudan terapi sokongan ini dalam membantu mewujudkan masyarakat yang sihat mindanya dan sentiasa berfikiran positif.

    Seminar Biblioterapi Malaysia 2021 telah berjaya dianjurkan buat julung kalinya pada 12 April 2021 secara dalam talian dan berjaya mengumpulkan pengamal biblioterapi. Perbincangan meliputi hubungan biblioterapi dengan emosi kanak-kanak, empati, aspek psikologi, perpustakaan, kategori golongan tertentu, pendidikan, Al-Quran, sesi bercertia, penulisan dan kesusasteraan. Bertemakan #MembacaTerapiJiwa, penganjuran seminar ini disokong oleh Sekretariat KLWBC 2020 dan merupakan penglibatan PERBIMA dalam penganjuran Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020. Seminar ini dianjurkan dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM Kampus Puncak Perdana, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dan The Malaysian Board on Books for Young People (MBBY).

    PERBIMA juga berkolaborasi dalam Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dengan pengajuran program kesedaran dan latihan mengenai biblioterapi dan juga aktiviti galakan kepada pelbagai jenis perpustakaan di Malaysia untuk mengadakan sudut/bilik dan aktiviti berkaitan dengan biblioterapi. Perpustakaan seharusnya memainkan peranan utama sebagai pengawal maklumat dan perlu meningkatkan kemahiran dalam pemilihan koleksi yang mempunyai elemen biblioterapi, kaedah dan aktiviti berkaitan biblioterapi. Sudah banyak perpustakaan yang menunjukkan minat dan menyedari kepentingan biblioterapi dan telah memulakan inisiatif ini terutamanya dalam keadaan negara dan dunia yang dilanda pandemik Covid-19 pada masa kini.

    Mengapa Biblioterapi?

    Biblioterapi ialah salah satu terapi sokongan yang menggunakan bahan pustaka, gambar, lirik lagu, filem dan sebagainya untuk membantu individu yang berdepan dengan isu psikologi, sosial dan emosi. Kamus Webster mendefinisikan biblioterapi sebagai pedoman dalam penyelesaian masalah peribadi melalui pembacaan.

    Menurut Bijal, 2020, biblioterapi ialah, “A form of art therapy that focuses on leveraging the power of stories to heal. Its power lies in the relationship that is formed between the reader and the writing and the reflection of the thoughts, feelings, observations, and lessons that the writing provokes, through a daily journaling practice or a counselling session with a mental health professional or a bibliotherapist/librarian”.

    Biblioterapi dikenali sebagai kaedah terapi yang mampu merawat isu berkaitan gangguan mental seperti kemurungan tahap awal, stres, kesedihan, kesunyian, rasa rendah diri melampau, kebimbangan, tekanan dan sebagainya. Kaedah ini juga sesuai diamalkan untuk diri sendiri dengan tujuan memotivasikan diri, medapatkan kebahagiaan, melegakan emosi serta membangunkan diri (Bijal, 2020).

    Kaedah biblioterapi amat sinonim dengan masalah berkaitan jiwa kerana terapi ini paling murah dan mudah untuk diperolehi. Bahan bacaan boleh didapati dengan mudah di perpustakaan, kedai buku, melalui koleksi peribadi dan juga pembelian dalam talian. Melalui pembacaan, si pembaca akan menjiwai watak/karakter dalam buku tersebut dan mengaitkan dirinya dengan masalah yang hampir sama yang dilalui oleh watak dalam cerita tersebut. Lantas, melalui pembacaan tersebut katarsis dapat diluahkan dan secara perlahan-lahan, si pembaca memahami bahawa setiap masalah pasti akan ada jalan penyelesaiannya.

    Masyarakat seharusnya peka bahawa dalam menangani masalah kesihatan mental, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dicuba, dan salah satunya ialah biblioterapi. Penggunaan bahan bacaan mempunyai pengaruh yang kuat dalam diri seseorang individu sekiranya beliau membaca buku yang betul dan pada masa yang betul.

    Kelebihan biblioterapi adalah jenis ini boleh diamalkan di mana-mana sahaja, tidak memerlukan sebarang janji temu dan tidak perlu sebarang pengambilan ubat-ubatan. Kaedah ini sesuai untuk diaplikasikan oleh semua golongan dan peringkat umur.

    Terdapat dua pendekatan biblioterapi iaitu:

    1. Biblioterapi klinikal

    Biblioterapi kategori ini hanya boleh dilakukan oleh pakar seperti kaunselor, pakar psikologi, psikiatri dan pakar biblioterapi (bibliotherapist). Kadangkala psikiatri akan menggunakan ubat- ubatan untuk mengawal pesakit mereka sebelum melaksanakan biblioterapi.

    1. Biblioterapi pembangunan

    Biblioterapi kategori ini boleh dilakukan oleh pustakawan, guru, ibu bapa dan rakan pembimbing. Mereka akan mencadangkan bahan yang sesuai kepada klien mengikut kategori umur dan minat seseorang terhadap genre bacaan.

    Seseorang individu boleh merasakan bahawa mereka telah berjaya mengaplikasikan biblioterapi ke atas dirinya sekiranya dia telah mencapai tiga fasa ini iaitu:

    1. Identifikasi

    Mengenal pasti masalah dan bahan yang sesuai

    1. Katarsis

    Kelegaan emosi atau perasaan

    1. Wawasan

    Memahami sesuatu yang berlaku itu secara mendalam

    Manfaat Biblioterapi

    Manfaat biblioterapi bukan hanya tertumpu kepada diri sendiri, malahan juga kepada masyarakat. Terdapat pelbagai cara untuk seseorang itu mendapat manfaat daripada kaedah biblioterapi. Melaluinya, seseorang individu mampu mengenali diri sendiri dan lebih menghargai diri. Jika selama ini kita melihat diri kita melalui lensa orang lain, tetapi kini dengan biblioterapi, kita boleh melihat refleksi diri kita sendiri.

    Melalui biblioterapi juga, kita boleh meningkatkan empati diri terhadap orang lain, lebih memahami budaya dan adat masyarakat lain. Antara manfaat lain ialah supaya seseorang individu itu lebih mendekatkan diri mereka dengan Tuhan, memotivasikan diri untuk membaca supaya sentiasa melangkah ke hadapan, mampu menyelesaikan masalah, mampu membuat keputusan dan boleh meluahkan emosi yang terpendam melalui perbincangan dengan pakar dalam bidang kesihatan mental. Apabila kita boleh melepaskan katarsis (emosi yang terpendam) dalam diri, maka kita boleh berfikir secara rasional, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan fikiran yang positif.

    Biblioterapi juga amat berkesan ke atas golongan kanak-kanak. Mengikut laporan Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2019, terdapat sekitar 424,000 orang kanak-kanak yang menghidapi masalah berkaitan mental. Keadaan ini amat membimbangkan dan keupayaan kaunselor, pakar psikologi dan psikiatri juga amatlah terhad. Sekiranya dibiarkan, emosi dan tingkah laku kanak-kanak ini akan semakin sukar dikawal. Justeru itu, biblioterapi mampu merawat emosi dan pemikiran kanak- kanak iaitu melalui pembacaan buku cerita yang mempunyai elemen biblioterapi, iaitu jalan cerita, tema, watak, ilustrasi yang mampu mempengaruhi pemikiran dan emosi mereka. Melalui watak, kanak-kanak yang sedang berjuang dengan emosi yang begitu menghimpit jiwa mampu mengaitkan dirinya dengan pengalaman yang dilalui oleh watak dalam cerita tersebut dan seterusnya membantu kanak-kanak tersebut untuk mendapat kekuatan dan motivasi serta mampu melalui keperitan yang dihadapinya. Membaca buku secara bersendirian atau dibantu oleh pustakawan, guru atau kaunselor atau juga melalui sesi bercerita memberikan penyembuhan kepada jiwa kanak-kanak ini.

    Pemilihan Bahan Biblioterapi

    Pemilihan buku yang mempunyai elemen biblioterapi perlu diberi perhatian kerana tidak semua buku sesuai untuk dijadikan bahan biblioterapi. Kriteria buku biblioterapi yang bagus harus mempunyai elemen seperti:

    1. Merasa selamat

    Pembaca mesti menaruh kepercayaan kepada penulisan dan merasa selamat untuk meneroka perasaan melalui pembacaan atau pemerhatian yang diprovokasikan oleh bahan tersebut.

    1. Perkaitan

    Pembaca perlu merasa diri mereka dihargai, diiktiraf dan diterima melalui penulisan tersebut.  Hal  ini seterusnya akan membantu melepaskan katarsis dalam diri pembaca.

    1. Tindakan

    Bersedia untuk berubah dan melangkah ke hadapan.

    Membaca bukan sekadar hiburan tetapi melalui biblioterapi mampu mengeluarkan katarsis dalam diri seseorang individu. Bahan biblioterapi tidak hanya menggunakan bahan bacaan seperti fiksyen dan bukan fiksyen malahan juga puisi, sajak, lirik lagu, filem, gambar, kitab suci, kata-kata motivasi sama ada dari bahan bercetak mahupun elektronik.

    Puan Norsa’adah, iaitu penulis dan penerbit buku daripada penerbit Dua Penulis PLT turut mengulas mengenai pengalamannya berkarya dalam menghasilkan dan menerbitkan bahan-bahan bacaan yang mempunyai unsur biblioterapi, berdasarkan isu berkaitan minat manusia melalui situasi yang berlaku pada masa kini dalam kalangan masyarakat. Beliau juga bersetuju bahawa hasil pengalaman seseorang, ketika melalui sesuatu episod yang memberi kesan mendalam dalam hidup, sebaiknya diluahkan dalam bentuk penulisan supaya dapat berkongsi dengan masyarakat bagaimana mereka melalui episod pedih tersebut serta menjadi penawar kepada pembaca yang lain. Penulisan mampu mengeluarkan katarsis dalam diri seseorang dan mampu menghasilkan tingkahlaku yang positif kerana karya penulisan adalah seperti satu cerminan atau refleksi diri seseorang.

    Manakala dari sudut kaunseling dan psikologi, Dr Sharifah Muzliah Syed Mustafa, yang juga merupakan pensyarah kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), menyatakan bahawa karakter di dalam buku mempunyai pengaruh yang kuat dalam melahirkan empati dalam diri seseorang supaya mereka dapat menjadi seorang yang lebih positif. Tambah beliau lagi, membaca mampu menenangkan jiwa, dan dapat mengurangkan stres dan secara psikologi membantu pembaca untuk lebih menghargai diri.

    Encik Ramlan Ramli iaitu seorang Penolong Pegawai Psikologi dari Penjara Sungai Buloh pula menyarankan bahawa apabila kita berhajat untuk menggunakan bahan bacaan sebagai medium penyembuhan ke atas diri sendiri, kita harus memilih bahan bacaan yang kita nikmati dan menjadikannya sebagai satu terapi kepada diri sendiri. Menurut pengalaman beliau, penghuni tirai besi juga berjaya berkomunikasi menggunakan teknik biblioterapi. Membaca bukan sekadar menghafal tetapi membaca mampu masuk ke dalam minda bawah sedar dan hasilnya akan melahirkan seseorang yang baik akhlaknya.

    Teknik Biblioterapi

    Terdapat tiga kaedah pelaksanaan biblioterapi:

    1. Usaha kendiri

    Si pembaca akan mencari bahan fiksyen atau bukan fiksyen untuk merawat diri sendiri bagi masalah berkaitan jiwa. Kebiasaannya teknik ini boleh dilakukan dengan ahli terapi atau tidak. Buku tersebut boleh didapati di perpustakaan, kedai buku, koleksi peribadi atau dalam talian.

    1. Buku yang dipreskripsi

    Si pembaca mendapat cadangan bahan bacaan daripada kaunselor, psikiatri, pakar psikologi dan ahli terapi. Pustakawan akan membantu menyediakan bahan yang berkaitan mengikut permasalahan.

    1. Biblioterapi kreatif

    Teknik ini menggunakan bahan berbentuk imaginasi seperti sajak, puisi, fiksyen, novel, drama atau biografi.

    Penutup

    Biblioterapi tidak menjanjikan sebarang polisi “wang anda dikembalikan” atau anda pasti boleh sembuh. Segalanya bergantung kepada seseorang individu sama ada mereka bersedia untuk menggunakan buku sebagai terapi penyembuhan. Biblioterapi juga tidak akan berjaya diaplikasikan sekiranya seseorang itu tidak minat membaca dan tidak percaya pada sebarang terapi sokongan.

    Buku yang sesuai dan pada masa yang sesuai mampu memberi kesan dalam kehidupan. Terapi ini juga hanya sesuai untuk individu yang mempunyai kemurungan peringkat awal, seperti stres dan tidak sesuai untuk individu yang mempunyai penyakit mental yang kronik seperti Gangguan Kemurungan Utama (major depressive disorder – MOD), kebimbangan melampau, skizofrenia, bipolar dan sebagainya.

    Diharapkan semoga topik biblioterapi ini memberikan kesedaran betapa pentingnya kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia. Kolaborasi dengan pelbagai pihak dan individu dapat memberikan bantuan dan sokongan kepada mereka yang memerlukan. Semoga melalui biblioterapi, lebih ramai masyarakat Malaysia akan mendapat manfaat dan melahirkan lebih ramai masyarakat yang sihat mindanya.