BACA

 

BAB 7 – GAHNYA KLWBC 2020
Ishak Hamzah, Zaiton Abu Samah, Sheikh Faisal Sheikh Mansor, Hasnita Ibrahim, Dr. Mohd Faizal Hamzah

Pengenalan

Kuala Lumpur adalah bandaraya ke-20 yang telah dinobatkan sebagai World Book Capital (WBC) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO). Kemenangan Kuala Lumpur adalah berdasarkan kertas pembidaan yang telah dikemukakan kepada UNESCO. Kertas pembidaan ini telah dinilai oleh UNESCO sendiri, bersama-sama panel-panel penasihat dari International Publishers Association (IPA) dan International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA).

Sebagai WBC 2020, Kuala Lumpur perlu menjalankan program-program perbukuan, pembacaan dan kebudayaan berunsur sastera sepanjang tahun penobatan, mulai 23 April 2020 sehingga 22 April 2021, sebelum menyerahkan trofi WBC kepada bandar raya Tbili, Georgia, WBC 2021. Tarikh 23 April adalah tarikh keramat bagi dunia perbukuan kerana pada tarikh itu juga ialah Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia atau World Book and Copyright Day yang diraikan setiap tahun.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai bandaraya hos telah menyediakan bajet pengurusan, promosi, prasarana serta aktiviti-aktiviti oleh mereka sendiri dan juga buat badan-badan bukan kerajaan (NGO) terpilih. Dibantu oleh pasukan Sekretariat KLWBC 2020 yang dianggotai oleh DBKL, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), KLWBC 2020 telah dilaksanakan dengan jayanya, dengan lebih daripada 650 acara telah dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan, persatuan- persatuan dan NGO, sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

Pembidaan

Kuala Lumpur pernah bercadang membida untuk menjadi WBC atau Ibu Kota Buku Dunia UNESCO lebih kurang sepuluh tahun dahulu, tetapi hasrat itu tidak direalisasikan. Hasrat untuk memulakan semula langkah pembidaan WBC diperbincangkan dalam kalangan industri buku pada awal tahun 2016. Sebagai langkah permulaan, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) telah membawa usul tersebut semula dalam mesyuarat Ahli Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada 15 Mac 2016. Cadangannya adalah supaya Malaysia mengambil inisiatif untuk pembidaan Kuala Lumpur sebagai World Book Capital 2019 ataupun 2020. Cadangan ini adalah supaya ada suatu gerakan yang akan dapat mencetuskan gelombang baharu terhadap industri buku dan penyuburan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mesyuarat pada prinsipnya bersetuju dengan syor tersebut. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diwakili oleh Ketua Pengarahnya Dato Abdul Adzis bin Abas telah bersetuju untuk membuat kertas cadangan lanjut untuk pertimbangan Ahli Mesyuarat Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Akhirnya, setelah beberapa mesyuarat diadakan dengan Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan beberapa pihak lain, persetujuan telah dicapai untuk Kuala Lumpur membida sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020.

Beberapa bengkel yang melibatkan wakil-wakil industri, agensi-agensi perbukuan kerajaan dan beberapa NGO telah dijalankan bertujuan menghasilkan kandungan yang mantap untuk dimasukkan ke dalam dokumen pembidaan. Kerja-kerja membina jaringan di luar negara telah dilakukan oleh wakil-wakil MABOPA dan DBP untuk mempelajari dan mengenali dengan lebih dekat bandaraya-bandaraya yang pernah menjadi WBC sebelum ini, khususnya New Delhi, Bangkok dan Athens, di samping mencari peluang untuk menyatakan aspirasi dan harapan Kuala Lumpur kepada wakil-wakil UNESCO, IPA dan IFLA.

Berkat usaha, doa dan harapan rakyat Malaysia, khususnya penggiat-penggiat buku negara, berserta kandungan pembidaan yang mantap, Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh Director-General UNESCO, Audrey Azoulay pada 18 September 2018.

Aktiviti Persatuan Pustakawan Malaysia

Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), di bawah kepimpinan Dato’ Nafisah Ahmad sebagai Presiden pada ketika itu, telah mengambil inisiatif untuk bersama-sama memeriahkan lagi sambutan dengan menganjurkan beberapa program bersempena dengan Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020). Sebanyak lima (5) program anjuran PPM telah berjaya dijalankan sepanjang KLWBC 2020, di bawah pembiayaan dana Sekretariat KLWBC 2020.

Objektif penganjuran program KLWBC 2020 oleh PPM adalah untuk mempromosi budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Penglibatan yang menyeluruh daripada pelbagai kategori Pustakawan, Perpustakaan dan Pusat Sumber berjaya menjadikan program anjuran PPM bersifat inklusif.

Program KLWBC 2020 anjuran PPM telah dijalankan secara dua siri iaitu KLWBC 2020 dan KLWBC 2.0 (2021).Bagi siri pertama KLWBC 2020 PPM telah menganjurkan program Galakan Membaca Heritage Trail 2 dan Bookwalk & Bookhunt @ Bunus River yang telah diselaraskan oleh Puan Hasnita Ibrahim. Selain itu, PPM turut menganjurkan program yang diselaraskan oleh Dr. Ghazali Mohamed Fadhil iaitu Read in the Park (RITP). Dua (2) program lain telah dilaksanakan sepanjang KLWBC 2.0 yang dipengerusikan oleh Dr. Mohd Faizal Hamzah. Satu daripadanya ialah Webinar KLWBC 2.0: The Finale yang berjaya dijalankan sepenuhnya secara maya. Program terakhir PPM bagi memeriahkan KLWBC 2020 ini adalah penerbitan buku ‘Baca’ yang dipengerusikan oleh Puan Siti Sumaizan Ramli dan diselaraskan oleh Puan Hasnita Ibrahim.

Program Galakan Membaca Heritage Trail 2 telah dijayakan dengan penglibatan perpustakaan akademik, awam, khusus, pusat sumber sekolah dan penulis-penulis buku di Malaysia. Sejumlah 13 siri program galakan membaca telah dijalankan secara dalam talian dengan menggunakan saluran Facebook rasmi PPM, Facebook rasmi KLWBC 2020 dan beberapa Facebook rasmi penganjur. Program galakan membaca ini telah dijalankan sepanjang bulan Disember 2020 (2 Disember – 30 Disember 2020). Objektif program galakan membaca ini adalah untuk mempromosi budaya membaca, meningkatkan kadar literasi maklumat dan mengetengahkan penulis-penulis negara dalam kalangan komuniti perpustakaan dan maklumat. Sambutan yang hebat diperoleh daripada kesemua program yang telah dijalankan secara dalam talian. Program Galakan Membaca Heritage Trail 2 telah berjaya meraih 20,833 jumlah tontonan di Facebook rasmi PPM, dengan 2,302 tanda suka dan 5,869 maklum balas.

Promosi Acara Penutup Program Galakan Membaca Heritage Trail 2 diadakan dengan peluang bersiaran di Radio BERNAMA pada 30 Disember 2020. Acara penutup ini telah berjaya dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerajaan di hadapan Bank Muamalat, Jalan Melaka, Kuala Lumpur pada 31 Disember 2020. Program secara langsung ini disiarkan di laman Rasmi Facebook PPM dan telah mendapat sambutan daripada penonton setia program KLWBC 2020.

Program secara langsung tersebut telah mendapat sejumlah 7,300 perhatian di Facebook PPM. Sebanyak 2,400 penonton yang menonton rancangan ini sewaktu program ini dijalankan. Program ini turut merekodkan sejumlah 212 komen dan lebih 60 tanda kongsi dalam kalangan penonton.

Program dimeriahkan lagi dengan penampilan khas oleh Encik Amin Idris iaitu motivator bebas, penulis serta pengacara televisyen dan Dr. Soo Wincci, seorang artis rakaman, pelakon dan selebriti. Juruacara program penutup ini ialah Dr. Mohd Faizal Hamzah dan Puan Nurul Diana Jasni. Acara kemuncak Program Galakan Membaca Heritage Trail 2 adalah sesi rumusan daripada kesemua 13 penganjur yang telah menjayakan program dan pengumuman Kuiz Perdana. Sebanyak 84 penyertaan diterima dalam Kuiz Perdana tersebut dan 10 pemenang bertuah mendapat hadiah yang menarik daripada pihak PPM.

PPM turut membuat penyerahan buku kepada Puan Rosidah Ismail, wakil Sekretariat KLWBC 2020 untuk diletakkan di kios buku di Heritage Trail. Dalam acara penutup ini sebanyak 72 buah buku telah disumbangkan oleh pihak PPM manakala 50 buah buku disumbangkan oleh pihak BERNAMA. Buku-buku itu telah ditempatkan di kios buku di hadapan Bank Muamalat, Jalan Melaka, Kuala Lumpur. Pemilihan judul-judul buku adalah menyeluruh termasuk bahan bacaan yang mempunyai elemen biblioterapi.

Susulan kepada acara penutup pada 5 Januari 2021, PPM dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaya dan BERNAMA telah menyumbang sebanyak 115 buah buku di dua (2) lagi kios buku iaitu di depan Taman Eko Rimba dan di stesen bas Jalan Raja Chulan, Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang turut dihadiri oleh Naib Presiden 1 PPM, Puan Siti Sumaizan Ramli. PPM dengan kerjasama pelbagai perpustakaan telah merancang untuk membuat sumbangan bahan bacaan secara mingguan ke kios terpilih daripada lebih 60 kios yang telah dibina oleh DBKL di sekitar Kuala Lumpur, untuk menyemarakkan lagi aktiviti pembacaan ini. Walaupun begitu hasrat ini terpaksa ditunda kepada situasi Pandemik Covid-19.

Program KLWBC 2020 anjuran PPM turut dimeriahkan lagi dengan program Read in The Park pada 17 Disember 2020 yang diterajui oleh Dr. Ghazali Mohamed Fadhil. Program yang dijalankan secara dalam talian ini menggunakan saluran rasmi Facebook PPM telah disertai oleh 756 penonton. Objektif program ini adalah untuk mempromosi kesedaran mengenai kepentingan membaca dan konsep membaca di persekitaran semula jadi. Proses pembacaan dalam persekitaran semula jadi ini telah terbukti memberi impak terapiutik kepada pembaca. Penganjur juga berjaya mengetengahkan faedah-faedah pembacaan di persekitaran semula jadi ini, antaranya ialah pembaca akan lebih fokus dan mudah untuk memahami bahan yang dibaca. Pelbagai maklum balas positif direkodkan sepanjang program dijalankan.

Umum menyedari kesan daripada pandemik Covid-19 telah mengubah norma kehidupan masyarakat Malaysia. Kesan ini turut dirasai oleh penganjur Bookwalk and Bookhunt @ Bunus River kerana program Bookwalk tidak dapat diteruskan secara fizikal. Walau bagaimanapun pihak penganjur telah berjaya menjalankan BookHunt @ Bunus River secara dalam talian. Program BookHunt yang julung-julung kalinya diadakan secara dalam talian ini mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima sebanyak 208 penyertaan. Seramai 120 peserta telah berjaya menyempurnakan tugasan yang diberikan.

Kemeriahan program KLWBC 2020 diteruskan dengan program Kebun Bandar PPM @ Sungai Bunus yang dijalankan pada 26 Disember 2020. Program ini telah dijalankan secara berskala kecil dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerajaan. Seramai 20 jemputan telah memeriahkan lagi program ini. Program ini turut dipancarkan secara langsung melalui laman rasmi Facebook PPM. Program ini berjaya menarik minat sebanyak 1,700 penonton di Facebook rasmi PPM, dengan rekod 1,063 tanda suka dan 149 komen. Pelancaran Kebun Bandar PPM dan Little Free Library (LFL) oleh Tuan Sheikh Faisal Sheikh Mansor, wakil Sekretariat KLWBC 2020, berjalan serentak dengan aktiviti bercucuk tanam dan Infokuiz yang diadakan secara siaran langsung.

Program ini turut menjemput Encik Khairuddin daripada Microgreen Duriopark Agro untuk berkongsi tips menanam dan memperkenalkan tanaman Microgreen. Tidak hanya setakat itu sahaja, malah penganjur turut menjemput selebriti terkenal Chef Liza untuk membuat demo memasak di kebun tersebut. Juruacara program ini adalah Encik Ali Rashid dan Puan Shamsiah Abu Bakar. Program ini mendapat liputan daripada pihak BERNAMA.

Kebun Bandar PPM dilengkapi dengan gazebo, meja batu dan pelbagai tanaman herba seperti terung, cili, misai kucing, rosella, limau nipis, bayam Brazil, bendi, daun kesum, lengkuas, serai, pokok bunga serta dedaun yang menghiasi kebun. Kejiranan dan pihak yang memakmurkan Kebun Bandar @ Sungai Bunus adalah Expressionz Professional Suits, BERNAMA, Chef Liza, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan Persatuan Patriot. Selepas pelancaran, aktiviti di Kebun Bandar Bandar PPM @ Sungai Bunus masih lagi aktif dijalankan dengan kerjasama jiran dan perpustakaan yang berminat seperti aktiviti bertanam, menyelenggara kebun, gotong-royong, ulasan buku, Perasmian Nombor Pendaftaran LFL, Program Bersama Guru Pusat Sumber, Program Conversation on Pets Role During Pandemic, Agihan Bubur Lambuk serta Berbuka Puasa di Bulan Ramadhan dan Program Memasak Bersama Chef Liza. Aktiviti di kebun bukan hanya dapat meningkatkan kesedaran manfaat berkebun, menghargai alam sekitar, menyayangi sungai, meningkat budaya membaca malah dapat meningkatkan silaturahim sesama jiran.

Pada tahun 2021, PPM sekali lagi telah berjaya mendapatkan pembiayaan dana bagi menjalankan aktiviti KLWBC 2020. Kemeriahan KLWBC 2020 diteruskan sebelum

status Ibu Kota Buku Dunia diserahkan kepada Tbilisi, Georgia 2021. Program KLWBC yang diadakan pada tahun 2021 ini dikenali sebagai KLWBC 2.0: The Finale yang diadakan secara maya sepenuhnya bagi memastikan tiada penyebaran wabak Covid-19. Program ini telah dijalankan selama dua (2) hari iaitu pada 19 dan 20 April 2021. Sebanyak enam (6) siri Webinar telah dibuat dan program yang telah dirangka lebih berfokus dan menyeluruh. Penglibatan peserta adalah lebih meluas dan penganjur telah menjemput panel yang terdiri daripada pelbagai kaum serta panel jemputan dari luar negara. Program ini turut mengetengahkan pensyarah, penyanyi nasyid, sasterawan dalam negara dan wakil rakyat sebagai panel jemputan.

KLWBC 2.0: The Finale berjaya merekodkan sejumlah 10,600 penonton sepanjang dua hari bersiaran. Program ini dijalankan secara webinar dan dipancarkan terus dari laman rasmi Facebook PPM. KLWBC 2.0: The Finale memberi impak yang besar dan berjaya menarik minat penonton untuk kekal bersama-sama menghadiri wacana ilmu secara dalam talian. Program pertama adalah A New Norm in Self-Publishing Children’s Picture Book, dengan menjemput Cikgu Dr. Shyielathy Arumugam sebagai panel jemputan dan diselaraskan oleh Puan Mimizairul Murni Mohd Salleh. Program dalam Bahasa Inggeris ini berjaya mengetengahkan kaedah dan isu terkini berkaitan penerbitan bahan bacaan kanak-kanak berkeperluan khas. Program ini berjaya menarik minat 1,300 penonton sewaktu bersiaran dan menerima lebih daripada 200 tanda suka di laman rasmi Facebook PPM.

KLWBC 2.0: The Finale turut memberi ruang kepada pustakawan akademik untuk menjadikan platform ini sebagai wadah bicara ilmu berkaitan dengan inisiatif menyokong usaha galakan membaca. Empat (4) orang Pustakawan Kanan dari Perpustakaan Universiti Teknologi MARA telah dijemput dan sesi perkongsian ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penonton seramai 1,900. Program ini memberi manfaat kepada pustakawan yang lain untuk bersama-sama berganding bahu membuat aktiviti galakan membaca. Program galakan membaca yang dirangka tidak terhad kepada pelajar di universiti sahaja, malah turut melibatkan masyarakat setempat.

KLWBC 2.0: The Finale membawa kelainan dengan menjemput panel dari luar negara untuk membincangkan tentang inisiatif galakan membaca di negara mereka, yang diselaraskan oleh Dr. Mohd Faizal Hamzah dan Puan Nurfarawahidah Badruesham. Program ini berjaya menjemput dua (2) orang panel dari Indonesia, Kanti W. Janis dan Debby Lukito, penulis buku, Encik Joseph Yap, pustakawan dari Perpustakaan Universiti Nazarbayev, Kazakhstan, dan Melba Mabuku Sitwala dari Namibia. Pelbagai topik menarik berjaya dikupas sepanjang program iaitu inisiatif galakan membaca, kesedaran budaya membaca dan perkembangan terkini berkenaan dengan dunia kepustakawanan yang turut menjadi tema topik perbincangan. Rakaman webinar secara siaran langsung ini berjaya merekodkan sebanyak 2100 orang penonton dari dalam dan luar negara serta mendapat liputan yang meluas di Linkedin.

Satu slot melibatkan pakar dalam kalangan pensyarah telah dijalankan bagi slot keempat dengan objektif budaya membaca dalam kalangan pelajar universiti. Secara am, pelajar dilihat membaca untuk menjawab soalan peperiksaan. Pelajar juga dilihat lebih gemar menghafal dari membaca menggunakan teknik membaca berkesan. Jemputan slot ini adalah seorang artis rakaman yang juga merupakan pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris dan pensyarah Universiti Teknologi MARA, Dr. Sheikh Ali Azzran Sh Said. Program ini menjadi program yang paling banyak ditonton sepanjang program KLWBC 2.0: The Finale iaitu sebanyak 2,300 penonton dan 133 komen di laman rasmi Facebook PPM. Slot keempat ini membincangkan berkenaan dengan Budaya Membaca Pemangkin Kerjaya. Panel berkongsi teknik membaca berdasarkan pengalaman peribadi berkenaan budaya membaca serta turut berkongsi teknik pengajaran di dewan kuliah dan di platform digital untuk menggalakkan pelajar membaca.

Penglibatan pakar dari Sabah turut diketengahkan pada program KLWBC 2.0 pada kali ini. Satu slot khas diadakan untuk membincangkan budaya membaca masyarakat di Sabah. Program ini telah menjemput dua (2) orang pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi MARA, Sabah. Turut bersama memeriahkan program ini adalah pustakawan kanan dari Perpustakaan Negeri Sabah. Kupasan topik berkisar dengan budaya membaca masyarakat Sabah dan bahan-bahan pembacaan berkaitan dengan negeri Sabah. Program yang mendapat tontonan sebanyak 1,000 tontonan ini berjaya membincangkan topik keperluan memperbanyakkan bahan bacaan berkaitan dengan Sabah di pasaran. Panel berpendapat bahawa terlalu banyak khazanah Sabah yang tidak direkodkan.

Program kemuncak KLWBC 2.0: The Finale bertemakan Knowledge Transfer: Membacakah Rakyat Malaysia? telah berlangsung dengan jayanya kerana berpeluang membariskan nama-nama besar dan dikenali sebagai panel jemputan. Panel-panel terdiri daripada figura dan watak penting di dalam dunia perpustakaan iaitu Dr. Nor Edzan Che Nasir, sasterawan dalam negara yang tersohor, Dr. Lim Swee Tin dan mantan Menteri Pendidikan Malaysia, yang juga merupakan Wakil Rakyat Simpang Renggam, YB Dr. Maszlee Malik. Program ini merupakan program kemuncak penutup KLWBC 2020 anjuran PPM. Dr. Mohd Faizal Hamzah dan Ts. Amirul Firdaus Zilah bertindak sebagai pengacara program. Program yang berlangsung selama hampir dua jam ini telah berjaya menarik seramai 2,000 penonton.

Perbagai topik menarik dibincangkan dan dikupas iaitu persoalan berkenaan membacakah rakyat Malaysia, kualiti bahan bacaan yang dibaca, dan juga peranan perpustakaan dalam galakan membaca. Sebanyak 67 tanda kongsi telah berjaya diperoleh untuk program ini. Webinar kemuncak ini merumuskan bahawa rakyat Malaysia memang membaca, akan tetapi perlu menambah bahan bacaan yang dibaca. Panel turut bersetuju budaya membaca perlulah mengikut perubahan zaman kerana bahan bacaan berubah dari semasa ke semasa. Masyarakat terutamanya pustakawan perlu peka dengan perkembangan ini.

Penutup

Program KLWBC 2020 anjuran PPM berjaya dijalankan dengan pembiayaan dana daripada Sekretariat KLWBC 2020 melalui kerjasama yang mantap. Pihak media pun memberi sokongan dari segi liputan yang baik untuk promosi aktiviti dan meningkatkan budaya membaca. Semua program yang telah dijalankan masih lagi boleh ditonton di laman rasmi Facebook PPM. Sewajarnya program-program seperti ini diteruskan untuk meningkatkan lagi peranan dan keterlihatan perpustakaan, serta sebagai usaha untuk memastikan rakyat Malaysia adalah rakyat yang berpengetahuan tinggi dan mempunyai minda kelas pertama.

Covid-19 yang melanda negara dan dunia juga tidak memutuskan semangat malah hikmahnya ialah medium norma baru ini berjaya menarik minat tontonan yang besar dan menyeluruh ke banyak negeri di Malaysia. Penganjuran KLWBC 2020 dan usahasama semua pihak dilihat dapat mempertingkat daya dan minat membaca serta memberi impak yang tinggi dalam aspek pembacaan dalam kalangan masyarakat Malaysia untuk melahirkan masyarakat berilmu dan berwawasan.