Kolam Teduh Biru
KATA PENGANTAR
Membaca sambil meneliti dengan halus bait-bait puisi dalam Kumpulan Sajak Kolam Teduh Biru, memang terkesan dengan keindahan 51 buah puisi karya Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail. Daya cipta yang membentuk sajak-sajak dalam kumpulan sajak ini meneguhkan lagi kedudukan Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara, khususnya sebagai penyair profilik tanah air. Sajak-sajak beliau dalam kumpulan sajak ini adalah sebahagian daripada khazanah persuratan dan kesusasteraan Melayu bukan hanya di Malaysia tetapi rantau Nusantara.
Kumpulan sajak ini memperlihatkan proses timbal balik antara Siti Zainon Ismail dengan persekitaran fizikal dan sosial yang sangat luas. Interaksi ini merangsang gerak kerja kreatif beliau yang memerihalkan episod pengalaman kehidupan kesan daripada kepekaan dan kasih sayang Siti Zainon Ismail terhadap kehidupan yang beliau tempuhi.
Sajak “Kolam Teduh Biru” dan “Perempuan dan Bunga Air” diperihalkan melalui kepelbagaian ragam citra dan metafora yang mendasari maksud sajak dan kreativiti penyairnya. Ragam citra dan metafora dalam sajak Siti Zainon Ismail salah satunya berpunca daripada pengalaman kembara di dalam dan luar negara khususnya di alam Nusantara. Di samping itu, penguasaan Siti Zainon juga yang luas dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu serta bahasa dan pelbagai dialek Nusantara, yang disusun atur sehingga tercipta langgam sajak.
Sajak hasil karya Siti Zainon Ismail ialah bayangan minda beliau yang begitu peribadi sifatnya tetapi “terhidang” sebagai wacana kreatif kesusasteraan Melayu moden. Apa yang ketara melalui sajak “Kolam Teduh Biru” dan “Perempuan dan Bunga Air” ialah puisi itu menyuguhkan pelbagai tema kreatif yang memerihalkan kepekaan dirinya terhadap persekitaran fizikal dan sosial yang luas dalam ruang kehidupan masa lalu, masa kini dan masa hadapan. Apa yang dapat dikesan melalui 51 buah sajak ini ialah pemerian tentang cara dan gaya kehidupan bangsa Melayu di alam Nusantara dari segi sejarah, kebudayaan dan kesenian alam Nusantara yang lebih luas.
“Kolam Teduh Biru” adalah reaksi Siti Zainon Ismail yang sangat merasai kehilangan simbol-simbol dalam persekitaran fizikal dan sosial daripada kehidupan masa silam di Gombak tempat beliau dilahirkan dan dibesarkan. Daerah Gombak 50 tahun yang lalu merupakan perkampungan Melayu yang mengamalkan aktiviti tradisi Melayu dengan menanam padi, berkebun, berdusun, menjala ikan dan menoreh getah. Di sekitar daerah Gombak terdapat banyak perkampungan Melayu lama seperti di Kampung Puah, Kampung Sungai Mulia, Sungai Cincin, Lembah Batu 4 1/2, Gombak Batu 6 dan Gombak Setia dengan mengalirnya air jernih Sungai Gombak.
Kumpulan Sajak Kolam Teduh Biru antara “puisi memori” yang mempunyai cetusan nada terkilan. Apa yang dinikmati oleh beliau pada lima dekad lalu, kini tekah tiada dan daerah Gombak telah berubah sama sekali. Sajak “Keladi Birah dari Lembah”, “Setelah Hutan Terbakar”, “Sebelukar Janji”, “Belukar Zaman”, “Haruman Rimba”, “Tunggul Akhir” dan “Kampung Batu Jalan Ipoh 1970-an” ialah sajak memori kesan daripada pengalaman masa silam. Terdapat juga sajak bertemakan sejarah bangsa Melayu seperti “Di Balik Bias Kaca”, “Di Laman Kawan Langkasuka”, “Bayang di Rumah Merah” dan “Sisa Kebun Kami”. Sajak bertemakan sejarah yang berkaitan dengan kesan penjajahan British di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia turut menjadi tumpuan.
Kepekaan Siti Zainon Ismail terhadap apa yang ada dan apa yang telah berlaku dalam persekitarannya sememangnya tidak dapat disangkal lagi menjadi inspirasi kepada Siti Zainon Ismail. Dalam sajak “Kolam Teduh Biru, “Di Lubuk Pasu”, “Taman Harum Sedap Malam”, “Kolam Budi Teratai”,”Awan Hikmah” dan “Kejadian Alam” terkesan keseronokan Siti Zainol Ismail dalam menghadapi persekitaran kehidupan menerusi kata-kata bahasa puisi.
Sajak “Perempuan dan Bunga Air” dijalinkan tema sejarah bangsa Melayu, kesedaran tentang asal usul bangsa dan ketidakpekaan terhadap perlembagaan negara yang kurang diberikan perhatian oleh sekelompok bangsa Melayu. Keadaan ini memberikan kesan kepada jati diri dan maruah bangsa Melayu-Islam sebagai tuan tanah Tanah Melayu serta episod kesedihan akibat perpisahan Singapura dari Malaysia.
Satu lagi yang menarik mengenai kumpulan sajak “Perempuan dan Bunga Air” ialah peranan wanita pada masa silam. Sajak “Cik Bidah Bidan Simpang Tiga”, “Kak Leha Juru Andam”, “Maksom Juru Hidangan Pengantin”, “Satidah Petani Dusun”, “Tudung Duang Kuala Abai” dan “Bia Perempuan Dusun Ranau” mengisahkan peranan jantina dan juga peranan gender perempuan Melayu zaman dahulu.
Sajak tersebut mengingatkan kembali bagaimana dalam kehidupan wanita Melayu dengan profesion tradisional seperti bidan, juruhidang pengantin, petani, peniaga serta mengagungkan peranan jantina dan peranan gender wanita Melayu sebagai ibu seperti dalam sajak “Kasih lbu”. Sajak tersebut menyatakan dengan jelas peranan wanita Melayu tradisional sejak dahulu hingga kini, yang masih relevan dan diperlukan.
“Perempuan dan Bunga Air” turut mengetengahkan isu kehidupan masyarakat peribumi, khususnya Orang Asli yang setahu saya “tidak pernah” digarap oleh mana-mana penyair Malaysia dalam bentuk puisi. Sajak “Orang dalam Gombak”, “Mah Meri Orang Kita” dan “Rimba Asal” memerihalkan kehidupan kelompok marginal Orang Asli yang bertaburan di kawasan pedalaman semenanjung Tanah Melayu. Menerusi imej dan simbol budaya penduduk peribumi Orang Asli meletakkan penduduk Orang Asli sebagai sebahagian daripada kelompok kita dan bukannya orang asing yang perlu diketepikan atau diasingkan dalam kehidupan sosial bangsa Melayu.
Sajak “Sireh dan Gobek”, “Jeruk Bambangan”, “Ikan Salai Tawau”, “Teringat Cerita Ah Yin”, “Sangsi Madu Tiga”, “Banjir” dan “Si Rumpai Laut Pulau Bum Bum” ialah sajak-sajak hiasan yang memeriahkan lagi ragam seni puisi “Perempuan dan Bunga Air”.
Kesemua sajak dalam kumpulan sajak ini secara nyata dan benar menyatakan bahawa menghasilkan puisi kreatif merupakan suatu tindakan yang serius yang ada elemen kebermaknaan. Kebermaknaan ini sebagai motivasi yang mendorong Siti Zainon Ismail untuk terus berkarya sehingga terbitnya kumpulan puisi pertama beliau berjudul Nyanyian Malam pada tahun 1976 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Atas nama kebermaknaan ini, munculnya 30 kumpulan puisi yang diterbitkan sejak 45 tahun lalu termasuk kumpulan sajak mutakhir Kolam Teduh Biru. Berdasarkan fakta ini ternyata menghasilkan puisi merupakan suatu kaedah untuk mempersembahkan hasrat, membentangkan idaman dan mengolah alunan rasa Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail.
Prof. Madya Mohd Makzan Musa
Universiti Utara Malaysia