Kolam Teduh Biru

 

PRAKATA

Kumpulan Sajak Kolam Teduh Biru merupakan himpunan sajak pilihan yang terbit secara eceran dalam ruangan puisi Dewan Sastera sejak tahun 2006 hingga 2019. Sebagai penyair, saya terlibat mencatat puisi bebas sebagai catatan dalam “diari rahsia” sejak berusia 15 tahun. Tentulah ayat-ayat pendek diulang melalui pantun, syair dan gurindam dalam kelas bahasa, memberanikan saya untuk menulis di luar karya tradisi. Antaranya judul sajak remaja yang sederhana telah diterbitkan dalam ruangan pelajar Berita Harian dan majalah Sekolah Aminuddin Baki (1964-1968). Hinggalah di tingkatan enam saya mengenali makna puisi atau sajak moden apabila membaca karya Latiff Mohidin dan W.S, Rendra. Malah saat melanjutkan pengajian tinggi di Jogjakarta juga telah mendedahkan saya dengan kebebasan mengekspresikan puisi. 

Pengalaman menulis untuk terbitan setiap bulan dalam Dewan Sastera juga dilalui dengan penuh cabaran. Masih “ragu”, … apa kata penyair lain? Saya juga mempunyai halaman khas dalam Dewan Sastera sebelum bergelar Sasterawan Negara (SN) ke-14 pada tahun 2019. Sejak tahun 2004, editor pertama telah menyampaikan pesan bahawa Dewan Sastera akan memuatkan puisi dan lakaran saya pada setiap bulan. Dengan perassan gembira saya bersetuju dan menganggap tugasan ini harus dimanfaatkan, khasnya untuk memaparkan puisi dan lakaran sebagai gaya saya mengangkat dua gaya seni dalam perjuangan seni budaya. Umumnya tema puisi juga cuba menggali unsur akar warisan untuk menyedarkan khalayak betapa kayanya sejarah warisan yang kian pupus. Amanat kajian budaya warisan menjadi sumber utama. Minda dan jiwa semakin gelora oleh sebab diri ini yang semakin merasakan kehilangan citra tempatan. Perabung Rumah Melayu semakin lenyap. Kampung Batu Jalan Ipoh – waris kehilangan kebun di pinggir landasan kereta api. Pokok Melaka yang dilupakan, rumah pusaka pejuang tanah air, ditinggalkan dan dibiarkan di ceruk rantau. Buku-buku lusuh dijual secara lambak di pasar. Ya, saya mengutip data jalanan, ke lembah, ke sungai, ke pulau menemukan data sejarah, tokoh dengan pandangan masa depan yang semakin lunyai diasak ghairah pemaju kota. “Sisa Kebun Kami”, “Setelah Hutan Terbakar”, berganti kondo mewah. Tetapi hati bergelora bertanya, inilah hasilnya pembangunan kota hingga cucu-cicit lupa, Nenda mendulang bijih dari sungai ke sungai di sekitar Kuala Lumpur lama? Mencatat “sejarah budaya tempatan” itulah yang mengetar sukma. Saya terpanggil mencari sahabat Nenda di Kebun “Orang dalam Gombak”. Alhamdulillah sudah ada yang menjadi jururawat dan doktor. Di Sabah masih tersisa kerja kepintaran perempuan menganyam “Tudung Duang Kuala Abai” dan “Si Rumpai Laut Pulau Bum Bum” mengalahkan resepi makanan Jepun di kota raya. Lalu tercatatlah “Setelah Hutan Terbakar” kerap terpapar ada yang hilang, ada yang datang.

Sebagai insan yang tumbuh sejak kecil di kampung dan kampung pun berubah dalam kota raya, rasa rindu pada masa lalu merupakan roh yang menggoda penyair sehingga “mengahwinkan” peristiwa lama dengan semasa. Tok Batin kerap bertempur apabila sejarah penting dihilangkan.

Alhamdulillah, ini wajah Kolam Teduh Biru walaupun sudah berganti musim tetapi masih mengimbau indahnya Allah SWT meramahkan hati kemanusiaan kita. Insya-Allah, saya serahkan karya sajak ini kepada pembaca budiman secebis “warisan” mengobarkan minda dan jiwa kita bersama.

Bagai “Harum Sedap Malam” gugur bertaburan, harum semerbak bertebaran rindu. Menunggu musim berbunga lagi … bertasbihlah hujan menyubur malam atau wangi setanggi setia menanti. Penyair tidak perlu memendam duka kerana sahabatnya “Orang dalam Gombak” bersuara.

Mak Batin yang bijak
bangga mengenal diri
saya Orang Dalam bestari

Alhamdulillah

Siti Zainon Ismail
Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur
28 Oktober 2020