BACA

 

SEKAPUR SIREH

Datuk Seri Hj. Mahadi bin Che Ngah
Datuk Bandar Kuala Lumpur

Salam Sejahtera Pembaca Budiman,

Kita bertuah kerana kota Kuala Lumpur yang kita sayangi telah diangkat menjadi Ibu Kota Buku Dunia tahun 2020. Pengiktirafan dari badan dunia, UNESCO ini patut kita banggakan dan menyambutnya dengan membuktikan bahawa membaca telah menjadi budaya masyarakat kita. Pihak Dewan Bandaraya telah menyediakan pelbagai prasarana untuk pembangunan literasi warganya. Selain perpustakaan, kami menyediakan kios-kios, sudut bacaan, pustaka kecil percuma dan bahan-bahan bacaan percuma di merata tempat terutamanya tempat tumpuan awam. Pun begitu, segala kemudahan itu tidak akan memberi makna apa-apa jika kita tidak menyuburkan dan meneguhkan budaya membaca di kalangan masyarakat.

Menyedari kepentingan membaca maka Jawatankuasa Kuala Lumpur World Book Capital 2020 atau KLWBC 2020 dengan tema KL Baca: Caring Through Reading bekerjasama dengan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku berjudul ‘Baca’. Ini merupakan antara langkah promosi menggalakkan tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia khususnya warga Kuala Lumpur. Kandungan buku ini biarpun ringkas namun ia mencakupi pelbagai aspek berkaitan dengan aktiviti membaca, pembacaan dan dunia perbukuan. Buku ini adalah buku umum sesuai untuk bacaan masyarakat pelbagai peringkat umur dari pelajar sekolah, siswa dan ibu bapa.

Sebagai tanda sokongan kami untuk kelestarian alam, buku ini dicetak dalam bilangan yang terhad. Namun begitu, naskhah versi PDF juga disediakan untuk orang awam. Kami percaya versi PDF mudah disebarkan dan menjadi kesukaan generasi muda.

Kami berharap agar buku ‘Baca’ ini memberi banyak manfaat dalam usaha menggalakkan tabiat membaca di kalangan masyarakat bagi semua peringkat umur.

Semoga seluruh rakyat Malaysia, amnya dan warga kota Kuala Lumpur, khususnya merupakan warga bestari yang menjadikan membaca satu budaya seumur hidup.

Selamat Membaca!

—————————————

Seulas Pinang

YBhg. Datu Dr. Hajah Rashidah Bolhassan
Presiden                         
Persatuan Pustakawan Malaysia 2020/2022

Syukur Alhamdulillah dengan izin-Nya, buku berjudul ‘Baca’ ini telah berjaya diterbitkan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM).

Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) adalah satu- satunya badan bukan kerajaan dalam bidang kepustakawanan dan pengurusan ilmu. PPM mendapat sokongan padu dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan semua jenis perpustakaan di Malaysia, dengan berkolaborasi dengan industri perbukuan dan organisasi-organisasi lain dalam menjayakan pelbagai program galakan membaca.

PPM telah ditubuhkan dengan misi mewujudkan masyarakat madani berasaskan pengetahuan melalui promosi ekuiti maklumat; pembelajaran sepanjang hayat dan kendiri; dan penambahbaikan profesional dalam bidang kepustakawanan dan pengurusan maklumat. Keprofesionalan dalam bidang ini menjadikan PPM sebagai penggerak utama bagi perkongsian ilmu dengan penganjuran persidangan, bengkel dan pelbagai aktiviti berkaitan di peringkat negara dan antarabangsa.

Selepas 60 tahun, kredibiliti PPM sebagai peneraju dan pengurus acara berkualiti dan berimpak tinggi diakui ramai demi pembangunan perpustakaan, masyarakat dan negara. Antaranya, setiap tahun PPM menganjurkan Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia (PTPM) yang mengumpulkan ahli think tank dari warga kerja pengurusan maklumat dan industri yang berkaitan, untuk membentang kertas kerja, dan bertukar idea dan pemikiran demi transformasi bidang kepustakawanan. Kejayaan yang paling besar di peringkat antarabangsa ialah menjadi tuan rumah kepada penganjuran International Federation of Library Associations and Institutions, World Library and Information Congress atau IFLA WLIC 2018 di Kuala Lumpur Convention Centre yang menjadi antara penganjuran terbaik dunia dengan kehadiran seramai 3,500 peserta dari 112 negara.

Cabaran pandemik Covid-19 yang kita lalui sekarang ini tidak menghalang Persatuan Pustakawan Malaysia untuk menerbitkan buku yang judulnya sangat dekat di hati PPM iaitu berkaitan galakan membaca.

Penerbitan buku ‘Baca’ ini adalah kolaborasi PPM dan Sekretariat KLWBC 2020, sempena Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) 2020. Buku yang bersifat umum dan santai namun tetap berinformasi ini diharap dapat dimanfaatkan serta diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira usia, lokasi geografi dan latar belakang pelajaran. Pengisian buku ini ditambah nilai dengan personaliti yang banyak menyumbang dan berjaya dalam bidang kepustakawanan dan pengurusan maklumat dengan berkongsi inspirasi mereka melalui ruangan Anekdot.

Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Jawatankuasa Penerbitan dan penulis buku ‘Baca’ yang amat komited untuk menjayakan penerbitan buku ini. Saya yakin pengisiannya dapat mencetus dan melestarikan budaya membaca rakyat Malaysia sebagai amalan yang menyumbang kepada kecemerlangan diri serta minda dan seterusnya kejayaan pemikiran rakyat dan negara.

Selamat memBACA!

—————————————

Pengenalan

Puan Hajah Siti  Sumaizan Ramli
Pengerusi Penerbitan Buku ‘Baca’ merangkap Naib Presiden 1
Persatuan Pustakawan Malaysia 2020/2022

Apabila Kuala Lumpur diumumkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 atau Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC) 2020, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) merupakan antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang tampil menawarkan aktiviti dan program menarik bagi meraikan sambutan KLWBC ini. Namun, tiada siapa dapat menjangka pandemik Covid-19 akan berlaku dan melanda seluruh dunia. Ini membawa kepada perubahan perancangan asal PPM untuk mengadakan acara secara bersemuka di lokasi sekitar Kuala Lumpur dengan mengambil inisiatif yang inovatif untuk menjadikan program secara dalam talian.

Ternyata langkah ini tepat apabila sebanyak 13 Siri Program Galakan Membaca Heritage Trail 2 secara dalam talian telah dilaksanakan dengan pelbagai tajuk yang menarik minat ramai dalam bidang kepustakawan dan maklumat serta masyarakat luar. Pada Disember 2020, berlokasi di FB PPM, KLWBC dan FB hos atau penganjur, siaran yang diadakan secara langsung telah berjaya meraih lebih 20,000 tontonan maya. Program lain yang dianjurkan oleh PPM sempena KLWBC pada tahun 2020 ialah Bookwalk & Bookhunt @ Bunus River dan Read in the Park (RITP). Pada awal tahun 2021 pula Webinar KLWBC 2.0: The Finale telah berjaya diadakan sepenuhnya secara dalam talian melibatkan kolaborasi pelbagai perpustakaan dari dalam dan luar negara.

PPM memang aktif menerbitkan buletin, jurnal serta buku dan mengorak langkah lebih dinamik pada tahun 2021 dengan mencadangkan penerbitan buku BACA kepada Sekretariat KLWBC 2020. Saranan asal penerbitan buku berkaitan membaca oleh PPM untuk dihadiahkan kepada masyarakat secara percuma adalah cetusan ilham daripada Tuan Syed Salim Agha iaitu mantan Presiden PPM dan mantan Ketua Pustakawan UPM dan UIA. Perbincangan awal bagi penerbitan buku ini telah diadakan pada 1 Januari 2021 dan diikuti dengan perbincangan hala tuju editorial, penerbitan serta pasca terbitan yang dilakukan secara fizikal dan dalam talian. Setelah mendapat sokongan dan inspirasi daripada Dr. Hajah Rashidah Bolhassan selaku Presiden PPM dan kelulusan daripada Ahli Majlis PPM, kertas cadangan berkaitan penerbitan buku telah dihantar kepada Sekretariat KLWBC 2020 dan mendapat kelulusan dana pada Mac 2021.

Penulisan buku ini menyentuh semua aspek perbukuan yang mana objektif penerbitan buku ‘Baca’ ini adalah untuk memantapkan lagi peranan PPM dalam menggalakkan aktiviti pembacaan dan celik ilmu dengan menghayati manfaat membaca untuk mendapat tambahan ilmu pengetahuan, meneliti komponen yang terlibat dengan pembacaan dan penghasilan pemikiran minda yang positif dan terbuka. Di samping itu juga ia dapat menunjukkan perkaitan kukuh aktiviti membaca yang seiring dengan bidang kepustakawanan dan maklumat. Pada masa yang sama, PPM berperanan dalam library and community engagement yang beriltizam untuk melihat pengaruh perpustakaan dan keseimbangan dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Justeru, matlamat penerbitan ini turut mengambil kira simbiosis aspek budaya membaca sebagai amalan, aktiviti berkaitan membaca, isu berkaitan dan pastinya kesedaran terhadap peranan perpustakaan.

Bagi mencapai misi serta objektif penerbitan ini, setiap bab di dalam buku ‘Baca’ disusun secara inklusif yang merangkumi latar belakang perpustakaan di Malaysia, manfaat membaca, tips membaca, pengurusan perpustakaan keluarga, berkaitan biblioterapi, isu kompulsif berkaitan buku dan impak positif pembacaan. Julung-julung kali, buku ‘Baca’ turut memuatkan kata-kata hikmah daripada personaliti yang masih dan pernah berkhidmat di perpustakaan negara, akademik, awam, khusus serta pusat sumber sekolah dan fakulti berkaitan pengurusan maklumat. Mereka berkongsi pengalaman peribadi serta impak membaca yang membentuk jati diri mereka sebagai pemimpin organisasi, anggota dalam masyarakat dan ahli dalam institusi keluarga.

Ahli Jawatankuasa Penerbitan dan penulis buku ‘Baca’ terdiri daripada pengamal industri termasuk pustakawan, penulis buku dan penerbit yang masih berkhidmat dan telah bersara. Jawatankuasa juga menyediakan kandungan buku dan proses awalan editorial selain daripada menulis bab buku. Usaha mempromosikan buku ‘Baca’ juga telah diatur yang melibatkan aktiviti pembacaan secara jerayawara sambil mengedarkan buku serta poster mengenai manfaat membaca kepada masyarakat, perpustakaan dan pusat sumber terpilih. Malah, promosi dalam talian juga akan diadakan bagi memperluaskan objektif penerbitan buku untuk dibaca oleh khalayak.

Menurut Zaini Ujang dalam bukunya Membaca: Motivasi dan Kaedah (2019), “Sesungguhnya, membaca boleh memberi ketenangan kepada jiwa dan fikiran. Membaca memantapkan aspirasi dan cita-cita. Membaca menanamkan semangat dan pada masa yang sama, mengentalkan azam. Membaca juga membimbing anda untuk melangkah menjejak kehidupan lebih sempurna. Membaca menemankan anda kala sunyi, dan menghiburkan ketika sepi. Membaca meluaskan ufuk pemikiran. Sesungguhnya membaca menyuluh kehidupan!”.

Maka tepatlah inisiatif PPM untuk menerbitkan buku mengenai membaca ini untuk disebar luas kepada masyarakat dalam usaha memupuk lagi minat membaca terutama di musim pandemik Covid-19, agar masyarakat lebih tenang, memahami dan menjiwai bahan bacaan yang dibaca tanpa mengira bacaan berbentuk cetak atau buku dan sumber elektronik lain. Membaca memenuhi ruang jiwa yang sesak dengan situasi pandemik yang diharapkan akan berakhir sepenuhnya.

Walaupun KLWBC 2020 telah sampai ke penghujungnya pada 22 April 2021 yang lalu, PPM mengharapkan kesan positif daripada aktiviti perbukuan dan pembacaan sepanjang program tersebut akan berakar umbi dan sebati dalam jiwa para pencinta buku. Semoga melalui penerbitan buku ‘Baca’ ini rasa cinta terhadap buku terus mekar mewangi dan sumbangan kecil PPM ini dapat memberi impak positif kepada aktiviti pembacaan dan kemajuan perkembangan pemikiran masyarakat.

Penghargaan

Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Penerbitan buku ‘Baca’ dan mereka yang menyumbang secara tidak langsung terhadap penerbitan buku ini:

 

  • Sekretariat KLWBC 2020 atas pembiayaan penerbitan buku
  • Semua penulis bab
  • Semua penyumbang Anekdot Personaliti Bidang Kepustakawanan
  • Jawatankuasa Kecil Anekdot – Puan Shamsiah Abu Bakar dan Puan Zurina Abd Aziz
  • Jawatankuasa Kecil Semakan – Puan Siti Sumaizan Ramli, Puan Hasnita Ibrahim dan Cik Mimi Salleh
  • Jawatankuasa Kecil Penyelidikan – Datin Che Normadiah Che Abbas, Dr. Zuridah Hanim Md Akhir, Cik Rohaya Umar, Puan Samsul Khamariah Hamzah dan Puan Chin Loy Jyoon
  • Jawatankuasa Kecil Infografik dan Buku Digital – Cik Mimi Salleh
  • Jawatankuasa Kecil Promosi Buku – Tuan Ts Amirul Firdaus Zilah, Puan Nurfarawahidah Badruesham, Encik Mohd Tazman Utuh Tang dan Cik Farah Syazwani Baharuddin.