PENCIPTA JALUR GEMILANG

Lahirnya Bendera Persekutuan Tanah Melayu

 

Bendera Persekutuan Tanah Melayu mula digunakan secara rasmi pada 26 Mei 1950. Bendera ini diilhamkan melalui satu pertandingan khas mencipta Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang telah diiklankan di suratkhabar tempatan, antaranya The Malay Mail bertarikh 10 Ogos 1949. Sebanyak 373 ciptaan telah diterima oleh pihak penganjur. Bagi mengelolakan pertandingan dan memilih rekabentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu ini, satu jawatan kuasa khas telah ditubuhkan pada bulan Mei 1948.

Laporan Jawatankuasa ini telah dikemukakan kepada Majlis Perundangan Persekutuan pada 15 November 1949. 3 Ciptaan telah disenarai pendek. Ciptaan tersebut bersama 6 corak yang disediakan berasingan telah dipersembahkan kepada Raja-Raja untuk pemilihan. Pada 19 April 1950, atas nasihat Majlis Perundangan Persekutuan dan atas persetujuan Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu, bendera Malaysia yang ada sekarang telah dipilih sebagai bendera rasmi Persekutuan Tanah Melayu.

Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera itu telah dikibarkan di Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur. Majlis pengibaran bendera tersebut telah dihadiri oleh para pembesar negeri iaitu Sultan Selangor serta wakil-wakil Sultan iaitu Haji Abd. Wahab Abd. Aziz (Menteri Besar Perak). Dato’ Mahmud Mat (Menteri Besar Pahang), Dato’ Onn bin Jaafar (Menteri Besar Johor), En. Kamarudddin (Menteri Besar Terengganu) Nik Ahmad Kamil Hj Mahmud (Menteri Besar Kelantan), Raja Hj. Ahmad Raja Endut (Menteri Besar Perlis), Tunku Ismail Tunku Yahya (Menteri Besar Kedah)
dan Dato’ Abd. Malek Yusuf (Menteri Besar Negeri Sembilan). Tepat jam 9.38 pagi. Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Henry Gurney telah menaikkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak pembesar-pembesar negeri. Bermula dari saat yang bersejarah itulah, Persekutuan tanah Melayu mempunyai benderanya sendiri yang menjadi lambang kemegahan serta simbol sebuahnegara yang mempunyai rakyat yang bersatu padu.

Setelah berkibar megah sejak 50 tahun lalu, Bendera Malaysia telah mencatat sejarah apabila diberi nama khas, Jalur Gemilang. Pengisytiharan nama Bendera Malaysia Jalur Gemilang telah diadakan pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 malam oleh Y.A.B Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia ke-4 di Dataran Merdeka.

Mohamed bin Hamzah, Pencipta Jalur Gemilang

 

Dalam penyelidikan yang dijalankan, Arkib Negara telah menemui dokumen yang ditandatangani oleh seorang yang bernama Encik Mohamed bin Hamzah, yang dihantar kepada ‘Clerk of Councils’, The Council Chamber, Kuala Lumpur, memajukan cadangan rekabentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu. Salinan lakaran bendera Persekutuan Tanah Melayu juga telah diperolehi dari Koleksifail Kabatan Kerja Raya Johor yang ditandatangani oleh Allahyarham Mohamed bin Hamzah. Tandatangan yang terdapat di dalam surat di atas dan tandatangan pada lakaran bendera adalah sama. Berdasarkan pada penemuan ini, pencipta bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah Allahyarham Mohamed bin Hamzah.

Allahyarham Mohamed bin Hamzah merupakan anak kedua dari sepuluh adik beradik dan telah menamatkan persekolahannya di English College (Maktab Sultan Abu Bakar). Mohamed Hamzah bekerja sebagai seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor Bahru. Anak kelahiran Johor ini sememangnya seorang yang kreatif dan amat meminati seni lukisan. Beliau telah meninggal dunia pada 19 Februari 1993 iaitu 14 hari sebelum genap usianya 75 tahun di rumah keluarganya di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor.