Teater Tradisional Melayu

Dramatari ini sangat popular di kawasan utara negeri Kedah. Kisah sejarah yang dipaparkan dalam teater ini mengandungi elemen spiritual yang sangat mendalam. Setiap tarian yang dipersembahkan berbeza dari segi gerak jarinya. Tarian yang sering dipertontonkan dalam Mek Mulung ialah tarian sembah, tarian gambang, tarian puteri
mabuk, tarian menorah dan tarian sirama. Semua tarian diselang seli dengan nyanyian beramai-ramai dan alunan muzik.

Teater Nur Sakti dikatakan berasal dari ciptaan seorang saudagar kaya yang hidup kesepian dan masih dipraktikkan oleh sebahagian masyarakat di kawasan Dungun, Terengganu. Teater ini berperanan sebagai sumber hiburan di samping berupaya menjadi medium rawatan tradisonal. Corak persembahannya sangat bebas dan berbeza mengikut khalayak. Apa yang penting, lakonan dalam teater ini bermatlamat untuk menyeronokkan penonton.

Tarian Melayu yang merangkumi kombinasi tarian, muzik dan drama ini mula bertapak di Pattani dan tersebar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya Kelantan sejak 400 tahun dahulu. Dengan penggunaan kostum yang sangat menarik, tarian ini turut diserikan dengan alunan muzik seperti rebab, tawak, gendang, canang, kesi dan serunai
terutamanya ketika segmen keluar masuk pelakon.

Tarian Pulai merupakan teater Melayu yang masih wujud di Terenganu. Teater ini dipersembahkan khas untuk sumber hiburan selepas mengerjakan sawah. Hanya dilakonkan oleh wanita sahaja dengan peralatan muzik ringkas seperti beberapa batang buluh. Tarian Pulai tidak mempunyai kostum yang khusus melainkan baju kurung ataupun kain batik pasang. Selain itu, kesenian tradisonal ini turut menggunakan buah-buahan dan bunga-bungaan sebagai prop dalam persembahannya.

Wayang Kulit turut dikenali dengan nama wayang gedek, wayang melayu dan wayang purwo. Teater ini masih berpengaruh di Kelantan, Kedah, Johor dan Terengganu. Alat muzik yang mendominasikan persembahannya ialah rebab, canang, gong, gendang dan kesi. Cerita yang dipersembahkan dalam wayang kulit merupakan adaptasi cerita-cerita epik Mahabrata dan Ramayana. Perubahan zaman turut mempengaruhi jalan cerita yang disampaikan oleh dalang-dalang wayang kulit melalui dialog dan pergerakan patung. Wayang ini menggunakan patung yang diukir halus berwarna-warni

Teater yang terkenal di Kedah dan Perlis ini menjadikan gendang sebagai peralatan muzik utamanya. Watak-watak utama dalam persembahan Jikey ialah lelaki benggali, pelawak dan raja atau wira. Jikey turut dipengaruhi oleh elemen kesenian yang terdapat dalam mak yung, hadrah, bangsawan dan mek mulung. Dipersembahkan dalam bentuk usik mengusik, pelakon Jikey akan memakai topeng yang melucukan dengan kostum yang ringkas. Wajah pelakon turut diconteng supaya kelihatan unik dan tersendiri.

Kedatangan pedagang Arab ke Terengganu pada abad ke-19 telah melahirkan teater rodat. Persembahan yang dijayakan dengan nyayian syair dan sajak ini banyak berperanan membantu pembentukan sosia-budaya masyarakat. Nasihat, adat, jenaka, mesej dan pengajaran rodat disampaikan bersama paluan rebana. Rodat mendapat tempat di majlis perkahwinan, berkhatan, pesta kebudayaan dan majlis sambutan hari keputeraan.