Alat Muzik Tradisional

Kesi merupakan alat Idiofon dari keluarga simbal yang dibentuk daripada kepingan tembaga. Berperanan sebagai alat pelengkap irama dalam ensemble paluan tradisional. Untuk menghasilkan bunyi, alat-alat tersebut dilagakan dengan menggunakan kaedah hentakan. Digunakan melalui pertunjukan wayang kulit, Mak Yong dan Menora serta ensemble paluan untuk mengiringi tarian tradisional seperti Asyik dan Wau Bulan. Suara yang dapat dihasilkan oleh alat ini
adalah gemersik dan memecah.

Gong Agung diperbuat daripada ‘perunggu’ mempunyai ukuran 90-95sm pada garisan lintang. Mampu untuk menerbitkan siri overtone yang terbanyak dan mempunyai pic suara yang terendah dalam keluarga gong. Berperanan sebagai alat kolotomik dalam genre Gamelan di Malaysia. Gong Agung sering digunakan di Johor. Diperbuat daripada besi olehtukang-tukang yang mahir dari kalangan masyarakat Melayu berketurunan Jawa dengan menggunakan teknik petri dan tempa untuk membuat gong tersebut.

Canang sejenis alat dari keluarga gong yang berukuran kecil. Dalam persembahan teater tradisional ianya disertakan secara berpasangan iaitu canang ibu dan anak bagi mengiringi tarian istana seperti Asyik. Terdapat dua jenis canang yang sering digunakan iaitu diperbuat dari besi dan gangsa.

Keromong/Bonang merupakan gong yang berukuran kecil dan diperbuat daripada perunggu. Merupakan alat
melodi utama dalam ensemble Gamelan Melayu. Alat Bonang mempunyai bentuk seperti kendi dan sifat bunyinya berprinsipkan kepada dengung. Ia menggunakan sistem notasi angka dikenali sebagai French Cheve System mengikut nama pengasasnya iaitu Dr Emile Cheve daripada Perancis.

Sumber bunyi Gambang Kayu berasaskan kepada kayu yang dilaras mengikut pic yang dikehendaki dan diatur di atas kotak kayu yang berfungsi sebagai kota gema (resonator). Kepingan kayu itu dikenali sebagai belira di negeri Kelantan. Gambang kayu yang mengandungi beberapa oktaf digunakan sebagai alat melodi. Ianya dipukul dengan sepasang kayu pemukul khas untuk menghasilkan bunyi.

Saron Demung adalah alat Idiofon yang berbentuk bilahan atau pun slab-typed yang diperbuat daripada perunggu. Saron demung berperanan sebagai alat yang membawa melodi pokok dan melodi cincang dalam persembahan Gamelan Melayu. Dalam proses penghasilan bunyi, kayu pemukul khas digunakan, lazimnya dari jenis yang lembut

Gong/Tetawak Ibu mendukung peranan sebagai alat kolotomik yang utama dalam budaya muzik masyarakat melayu tradisi di Malaysia. Ianya sering digunakan secara berpasangan dengan Tetawak Anak khususnya dalam ensemble bagi mengiringi teater tradisional seperti Mak Yong, Wayang Kulit Kelantan, Menora dan Main Petri serta tarian-tarian rakyat seperti Garong, Wau Bulan, Ulit Gambuh yang berkembang di negeri Kelantan. Tetawak juga digunakan secara berpasangan dalam persembahan Mak Yong Laut di Perlis.

Sarong Barong merupakan alat Idiofon berbentuk bilahan yang diperbuat dari perunggu. Berperanan sebagai alat yang membawa melodi pokok dan Cincang. Bilah-bilah bagi alat Sarong Barong mampu menghasilkan suara yang lebih nyaring. Alat pemukulnya berbentuk seperti pemukul diperbuat daripada jenis kayu yang lembut.

Kertuk Kayu diperbuat daripada kayu yang terpilih dari spesis nangka dan berbentuk oblong iaitu memanjang. Pada permukaannya ditebukkan lubang khas yang berfungsi sebagai lubang suara atau pun gema. Ianya dipalu dengan kayu yang diperbuat daripada kayu yang keras untuk menghasilkan bunyi. Kertuk Kayu sering kelihatan digantung pada anjung masjid atau pun surau di kampung-kampung dan dipalu menandakan masuknya waktuwaku untuk bersolat dan diikuti dengan laungan azan. Ianya merupakan alat asli bagi otang-orang Melayu di Nusantara. Di Johor, alat ini dikenali sebagai Kerantung

Gong Sukuwan merupakan alat kolotomik yang berukuran sederhana besar dalam keluarga gong. Ianya diperbuat daripada perunggu dan berukuran 65sm pada garis lintang. Sifat kolotomiknya lebih berpusat kepada ciriciri pembahagian pada keratan frasa-frasa lagu mengikut proses ‘gongan’ iaitu satu proses pembinaan lagu bagi setiap pembahagian keratannya sebelum kemasukan gong yang berkenaan

Engkeromong berbentuk seperti kendi dan diperbuat daripada perenggu. Engkeromong begitu terkenal dikalangan suku kaum Iban dan sering digunakan dalam ensemble untuk mengiringi tarian Ngajat. Ianya dipalu dengan menggunakan sepasang pemalu daripada kayu jenis lembut untuk menghasilkan pola rhythm yang dimainkan secara in step wise, menaik dan menurun.

Alu Bunyi merupakan sebuah aluanan irama muzik yang dilahirkan melalui kegiatan menumbuk padi. Permainan ini
begitu terkenal dikalangan masyarakat petani dan dikaitkan dengan pesta menuai. Dikalangan masyarakat berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan kesenian ini dikenali sebagai Tumbuk Kalang di mana beberapa pemain akan menumbuk lesong sambil menyanyi.

Cak lempong merupakan alat melodi dalam keluarga gong yang berukuran kecil. Ianya diperbuat daripada gangsa dan menggunakan teknik acuan. Mula berkembang dikalangan masyarakat Melayu berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan. Dalam permainan Cak Lempong lazimnya alat-alat seperti Seruling Buluh, salung, Rebana dan Gong disertakan bersama untuk mengiringi Penvak silat, Tari Lilin, Randai dan Tari Inai serta lagu-lagu, bunyi-bunyian dan juga nyanyian.

Rebana Besar merupakan gendang satu muka yang terbesar pernah wujud dalam budaya muzik masyarakat
Melayu. Balunya yang berbentuk seperti pasu dan diperbuat daripada kayu yang keras seperti merbau atau pun cengal. Dalam persembahan, ianya dipukul dengan tangan tanpa menggunakan alat pemukul untuk mengiringi nyanyian zikir yang bertemakan keagamaan dan juga kesedaran sosial semasa. Baji atau kayu pasak merupakan bahan ekustik utama untuk penalaan bunyi.

Kulintangan merupakan sejenis alat perkusi daripada keluarga gong berbusut yang berukuran kecil. Ianya diperbuat daripada gangsa ataupun perunggu. Dalam persembahan ianya diletakkan di atas tali yang diregangkan pada tapak kayu atau pun para dalam satu barisan yang mengandungi lapan biji kesemuanya. Dipalu dengan menggunakan sepasang kayu pemukul dari jenis lembut oleh seorang pemain untuk mengiringi tarian Sumazau, Limbai, silat serta Tingkad-tingkad.

Kempul berperanan sebagai alat kolotomik dalam rangkaian Gamelan di Malaysia. Ianya merupakan satu penambahan baru daripada yang sedia ada seperti Bonang/Keromong, Gambang Kayu, Saron Barong, Saron Demung, Kenong, sebiji Gendang Dua Muka serta Gong Agung dan Gong Sukuan.

Tar Rodat merupakan sejenis rebana yang boleh ditakrifkan sebagai The Framed Drums. Dindingnya dilengkapkan dengan tiga pasang kercing yang diperbuat daripada tembaga. Baluhnya diperbuat daripada kayu seperti sena, merbau dan nangka. Permukaanya diregangkan dengan belulang lembu. Alat tar dipalu untuk mengiringi permainan Rodat iaitu sejenis nyanyian zikir yang berunsur keagamaan di Terengganu.

Beduk adalah Gendang satu muka berbentuk memanjang. Peranannya dalam budaya masyarakat Melayu khususnya di Nusantara adalah bersifat non-musical. Digunakan di surau atau pun masjid di kampung-kampung bagi menandakan masuknya waktu untuk bersolat. Ianya dipukul dengan pemukul kayu. Belulang daripada kulit lembu digunakan sebagai bahan bunyi.

Gendang Ibu merupakan gendang dua muka yang berukuran besar dan ditakrifkan sebagai Gendang Melayu. Ianya mula berkembang di negeri Kelantan dan digunakan sebagai alat gendering dalam ensemble paluan untuk mengiringi teater tradisional serta tarian klasik istana dan rakyat. Dalam persembahan, Gendang Ibu akan disertai secara berpasangan dengan Gendang Anak.

Saron Penerus/Pekin adalah alat idiofon berbentuk bilahan yang diperbuat daripada perunggu. Merupakan alat penambahan baru bagi ensemble Gamelan Melayu. Berperanan sebagai alat melodi yang menggandakan melodi pokok. Saron Penerus mempunyai bilah-bilah yang berukuran kecil. Alat pemukul bagi Saron Penerus berbentuk penukul yang diperbuat daripada tanduk kerbau.

Angklung merupakan alat Idiofon yang digoyang. Ia diperbuat daripada tabung buluh yang terpilih. Sebuah Angklung
lazimnya terdiri dari dua hingga empat tabung yang diikat pada rumahnya yang dikenali sebagai ancak. Permainan muzik Angklung sering dipersembahkan secara berkumpulan untuk majlis keraian dan juga iringan tarian seperti Kuda Kepang dan Barungan.

Rebana Ubi mempunyai bentuk yang sama seperti Rebana Besar tetapi berukuran lebih kecil sedikit. Proses
pembuatannya sama seperti mana yang diamalkan dalam pembuatan Rebana Besar. Dalam persembahan, ianya dipalu dengan tangan atau pun pemalu kayu yang dibalut dengan bahan lembut seperti tali, getah dan sebagainya. Persembahan Rebana Ubi diadakan untuk meraikan majlis keramaian dan juga pertandingan di negeri Kelantan.

Cerek Kecerek/Centong merupakan alat Idiofon berbentuk bilahan. Lazimnya diperbuat daripada buluh dan berukuran
45sm Panjang dan 6sm lebar. Secara umum ia dikenali sebagai alat yang menggunakan prinsip tepuk untuk
menghasilkan bunyinya. Alat ini disertakan secraberpasangan, dimainkan oleh seorang pemain. Alat ini sering digunakan dalam teater tradisional seperti menorah oleh masyarakat tempatan berketurunan Thai di Kelantan, Mak yong Laut di Perlis, Jikey dan Mek Sulung di Kedah

Slenteng merupakan alat penambahan baru dalam permainan Gamelan Melayu. Ianya berperanan sebagai alat melodi yang dapat menghasilkan suara yang lembut dan mempunyai dengung yang agak panjang. Ianya dipukul dengan sebelah tangan dengan menggunakan kayu pemukul yang diperbuat dengan bahan-bahan jenis lembut seperti kain dan sebagainya.