SEJARAH KESULTANAN JOHOR

TEMENGGONG DAENG IBRAHIM IBNI TEMENGGONG ABDUL RAHMAN

Almarhum Baginda Yang Amat Mulia Tengku Daeng Ibrahim yang dikenali juga sebagai Daeng Ronggek, Daeng Kechil dan Tengku Chik adalah anak kedua Temenggung Abdul Rahman.

Baginda telah dilantik secara rasmi oleh Bendahara Tun Ali dari Pahang sebagai Dato’ Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja Johor pada 19 Ogos 1841.

Melalui Persetiaan 10 Mac 1855 dengan Tengku Ali, baginda telah mendapat kuasa mutlak sebagai pemerintah de facto dan de jure. Mulai dari tarikh inilah sejarah pengasasan Johor Moden bermula dalam bidang-bidang pentadbiran, politik, ekonomi dan sosial serta membentuk dinasti baru Kesultanan Johor.

Temenggung Ibrahim mangkat pada 31 Januari 1862 dan baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Teluk Belanga, Singapura.

SULTAN ABU BAKAR IBNI TEMENGGONG DAENG IBRAHIM

Sultan Abu Bakar diputerakan pada 3 Februari 1833 adalah putera Temengung Seri Maharaja Johor Daeng Ibrahim. Baginda telah memakai gelaran Maharaja pada tahun 1868. Baginda dianggap sebagai pelopor permodenan Johor.

Semasa pemerintahan baginda, sistem pentadbiran Johor telah dimajukan dan Tanjung Puteri sebagai pusat pentadbiran telah diubah namanya kepada Johor Bahru pada 1 Januari 1866.

Baginda telah menjadikan negeri Johor terus maju dan berkembang dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Baginda mangkat di England pada 10 Mei 1895. Jenazahnya telah dibawa pulang ke Johor dan dimakamkan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru pada 7 September 1895.

SULTAN IBRAHIM IBNI SULTAN ABU BAKAR

Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar telah diputerakan pada 17 September 1873 di Bukit Bidadari, Serangoon, Singapura. Baginda berpendidikan Inggeris dan semenjak kecil lagi diberi penuh perhatian sebagai bakal sultan.

Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan tengku Maimunah Binti Ungku Abdul Majid pada 5 Oktober 1892 ketika berumur 20 tahun. Baginda telah ditabalkan menjadi Sultan bergelar Sultan Sir Ibrahim pada 7 September 1895 di Balai Zaharah, Johor Bahru.

Dalam masa 40 tahun baginda memerintah Johor, banyak perubahan dan pembangunan yang berlaku di Johor dan negeri Johor juga dikenali di serata dunia. 

Baginda mangkat di London pada hari Jumaat, 8 Mei 1959 dan dimakamkan di Makam Mahmoodiah Johor Bahru pada 6 Julai 1959.

SULTAN ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM

Sultan Ismail Ibni Sultan Ibrahim diputerakan pada 28 Oktober 1894 di Istana Semayam, Johor Bahru. Baginda adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Sir Ibrahim dan Almarhumah Ungku Maimunah Binti Ungku Abdul Majid.

Baginda telah berkahwin dengan Ungku Aminah Binti Ungku Ahmad pada 30 Ogos 1920.

Baginda telah dilantik menjadi Sultan pada 8 Mei 1959 dan ditabalkan di Istana Besar, Johor Bahru pada 10 Februari 1960. Baginda sangat mengambil berat hal-hal kebajikan rakyat dan langkah-langkah bagi memperbaiki serta meninggikan lagi taraf hidup rakyat negeri Johor. Baginda juga menyokong pelbagai kegiatan dan usaha yang dapat memajukan negeri Johor.

Dalam bulan April 1981, baginda mula gering dan baginda mangkat di Hospital Besar, Johor Bahru pada 10 Mei 1981. Jenazah Almarhum telah dimakamkan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru.