MUZIK TRADISIONAL MELAYU

Dikir barat merupakan satu persembahan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang tukang karut dan tok juara. Tukang karut dan tok juara akan mendahului nyayian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang. Alat muzik yang biasa digunakan ialah rebana ibu dan anak tetawak.

Gendang Pahang merupakan seni tradisi yang mendapat pengaruh islam yang mendalam. Muzik ini dipercayai dibawa oleh Dato’ Purba Jelai dan penyebarannya telah dilakukan oleh tiga generasi. Gendang Pahang mempunyai lagunya yang tersendiri dikenali sebagai bujang hilir. Muzik ini dimulakan dengan rentak pembukaan dan diakhiri dengan rentak membunuh atau rentak mati di samping rentak-rentak yang lain. Gendang Pahang dimainkan ketika majlis perkahwinan dan adat istiadat istana serta untuk mengiringi persembahan silat atau tarian inai. Alat muzik yang digunakan ialah gendang anak, gendang ibu dan gong. Gendang Pahang tidak terhad kepada golongan lelaki sahaja kerana wanita juga terlibat dalam kesenian ini.

Gamelan diperkenalkan ke Pahang ketika pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah. Tengku ampuan iaitu Wan Fatimah telah meningkatkan muzik gamelan dan diakui oleh isteri kedua sultan iaitu Che Bedah. Puteri mereka iaitu Tengku Meriam telah berkahwin dengan Sultan Sulaiman dan telah membawa gamelan ke Terengganu. Muzik ini dimainkan dalam majlis formal dan tidak formal di istana dan untuk mengiringi joget Pahang. Pemuzik gamelan terdiri daripada lelaki seramai sembilan orang dan penarinya adalah wanita seramai enam orang. Alatan muzik yang digunakan ialah gong agong, gong sawakan, gendang ibu, gendang anak, saron pekin, saron baran I dan saran baron II, gambang serta kenong.

Boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara malaysia, terutamanya di Pulau Pinang. Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu lakonan (lawak jenaka) dan nyanyian. Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan boria tidaklah begitu khusus. Di antara alat muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal, gendang, akordian, harmonika dan lain-lain. Aspek yang penting ialah keupayaan para pemuzik untuk membawa irama yang dapat mengiringi nyayian tukang karang. Hubungan di antara pakaian, muzik, dialog dengan cerita yang dimainkan merupakan cerita arab, maka pakaian yang digunakan adalah ala arab. Muzik dan tarian yang dimainkan pun mirip bentuk arab. Malah bahasa yang digunakan pun telor arab.

Ghazal di peringkat permulaannya dikenali juga sebagai ‘gamat’ yang bermaksud riuh-rendah. Pada masa kini ghazal melayu lebih dikenali sebagai ghazal Johor. Irama ghazal berkembang pada asalnya di istana – istana riau-lingga. Antara alat muzik yang digunakan adalah seperti sebuah peti harmonika, satu set tabla, gambus, violin, gitar, markas dan tamborin. Pemuzik ghazal Johor biasanya seramai 7 hingga 9 orang pemuzik lelaki yang berpakaian baju melayu lengkap bersongkok dan samping.

Bongai adalah sejenis lagu rakyat tradisonal Negeri Sembilan yang dinyanyikan secara solo atau berduet atau beramai-ramai. Bongai amat popular dalam masyarakat Negeri Sembilan suatu ketika dahulu, khususnya di dalam majlis keramaian yang melibatkan perkahwinan. Bongai juga dipersembahkan dengan tujuan-tujuan tertentu, khasnya ‘hiburan’ pada waktu malam iaitu setelah penat bekerja di siang hari. Alat muzik yang biasa digunakan di dalam sesuatu persembahan adalan violin, rebana, gong, gendang, salung, dan tumbuk kallang. Alat-alat muzik lain boleh juga digunakan sebagai tambahan kepada alat muzik sedia ada seperti caklempong, bangsi, accordian dan lain-lain lagi. Antara irama yang sering dinyanyikan ialah seperti irama anak bocek, irama petasih, irama budu landai, irama cantik manih, irama comporai dan sebagainya.

Dondang sayang merupakan nyanyian perantaraan, di mana persembahannya diiringi oleh pemainan alat-alat muzik melayu asli dan moden. Dondang sayang dipercayai muncul di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15 masihi. Perkataan nyanyi dalam lagu dondang sayang adalah bermaksud pantun. Nyanyiannya akan didengar orang dengan penuh minat terletak pada kebolehan dan kecekapan para penyanyinya bersoal jawab atau berjual beli pantun. Alat-alat muzik yang mengiringi nyanyian dondang sayang adalah terdiri daripada sebuah biola, sebuah gong dan dua atau tiga buah rebana iaitu rebana kompang atau rebana keras. Irama gesekan biola dapat dianggap sebagai pembuka dan pengiring utama kepada nyayian. Sementara tingkah pukulan rebana yang diselangi dengan paluan gong merupakan pelengkap lagu.

Dikir rebana memang ada sejak dahulu dan tiada rekaan baru setakat ini. Rebana diperbuat daripada kulit kambing serta kayu tualang dan biasanya bersaiz 24 inci atau 2 kaki. Pemain akan duduk bersila dan rebana diletakkan di atas telapak kaki. Pada masa dahulu, dikir rebana dimainkan ketika sultan hendak tidur atau ketika hendak mengerjakan solat. Kini muzik ini dimainkan dalam majlis perkahwinan. Dikir rebana terbahagi kepada dua iaitu dikir maulad dan dikir berdah. Kitab saraful anam digunakan untuk berzanji dan berdikir. Terdapat banyak lagu dalam dikir rebana dan dimainkan oleh sebuah kumpulan yang mengandungi lima hingga tujuh orang.