SENI BINA BANGUNAN BERSEJARAH JOHOR

BANGUNAN PEJABAT KEBUN BUNGA, JOHOR BAHRU

Bangunan Kebun Bunga merupakan bangunan pejabat perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan kebun bunga Johor. Bangunan ini terletak di Jalan Gertak Merah dan dijadikan tempat untuk tanaman bunga dan pohon-pohon bagi kegunaan istana.

Bangunan ini dianggarkan dibina pada tahun 1864. Konsep reka bentuk bangunan ini adalah mirip Sino-Malay-Palladian. Ianya merupakan reka bentuk yang popular di kurun ke 19.

Bangunan ini dipercayai direka dan dibina oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor.

BANGUNAN MASJID SULTAN ABU BAKAR, JOHOR BAHRU

Bangunan Masjid Sultan Abu Bakar merupakan masjid besar Johor. Masjid ini terletak di atas bukit di tepi Selat Tebrau, Jalan Skudai.

Masjid ini dibina pada tahun 1892 dengan arahan Almarhum Sultan Abu Bakar dan mengambil masa selama lapan tahun untuk disiapkan. Masjid ini mempunyai seni bina yang unik dan menarik. Masjid ini direka bentuk oleh Tuan Haji Mohd. Arif Bin Punak manakala jurutera pembinaannya ialah Datuk Yahya Bin Awaluddin.

Pada hari Jumaat 2 Februari 1900, masjid ini telah dirasmikan oleh Almarhum Sultan Ibrahim. Masjid ini dapat menampung kira-kira 3000 orang Jemaah.

BANGUNAN PEJABAT KERAJAAN, BATU PAHAT

Bangunan Pejabat Kerajaan Batu Pahat ini terletak di Jalan Bakar Condong. Bangunan ini pada suatu ketika dahulu merupakan bangunan yang penting di dalam pentadbiran dan hal ehwal bandar Batu Pahat. Kebanyakan pejabat rasmi kerajaan telah ditempatkan di bangunan ini. Bangunan ini masih lagi digunakan sebagai bangunan Pejabat Daerah Batu Pahat Barat hingga ke hari ini.

Bangunan ini dianggarkan dibina pada tahun 1920an. Bangunan ini merupakan sebuah bangunan setingkat yang memanjang dengan reka bentuk Anglo-Indian. Ia merupakan pengubahsuaian dari motif dan reka bentuk Palladian semasa zaman pemerintahan British di India pada kurun ke 17 dan 18.

Pembinaan bangunan ini telah dijalankan di bawah pengawasan pihak Jabatan Kerja Raya di zaman pemerintahan British.

BANGUNAN PEJABAT KERAJAAN, MUAR

Bangunan Pejabat Kerajaan Muar terletak di Jalan Petri di tebing Sungai Muar. Bangunan ini merupakan pusat pentadbiran, pembangunan, perundangan dan keselamatan penduduk.

Bangunan ini mengambil masa 6 tahun untuk disiapkan iaitu bermula dari 1915 hingga 1921. Pembinaan ini mengambil masa yang panjang disebabkan gangguan Perang Dunia Pertama yang meletus dari tahun 1915 hingga 1918.

Konsep reka bentuk bangunan ini adalah gabungan reka bentuk seni bina neoclassical dan Georgian. Pembinaannya dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya ketika zaman pemerintahan British.

BANGUNAN MASJID PASIR PELANGI, JOHOR BAHRU

Masjid Pasir Pelangi terletak di Jalan Pasir Pelangi berdekatan dengan Istana Pasir Pelangi. Secara umumnya, reka bentuk masjid ini dipengaruhi oleh seni bina neoclassical. Pembinaan bangunan ini disiapkan dalam tahun 1911.

Pembinaan masjid ini pernah terhenti buat seketika berikutan kekurangan tenaga buruh sehinggalah ianya diambil alih oleh seorang kontraktor warga Singapura bernama Onn Koon yang menggunakan tenaga banduan sebagai buruh binaan.

Reka bentuk masjid ini adalah hasil ilham Major Lomak iaitu salah seorang pengiring sultan yang kerap mengikut sultan membuat lawatan ke luar negara.

BANGUNAN MASJID JAMEK, MUAR

Bangunan Masjid Jamek Muar terletak di Jalan Petri dengan bahagian belakangnya menghadap Sungai Muar.

Keistimewaan pada masjid ini ialah kerana rupa bentuknya yang menunjukkan seni bina yang berbeza daripada seni bina masjid tempatan. Konsep reka bentuk masjid ini ialah gabungan daripada seni bina klasik Eropah dan seni bina Islam.

Bangunan masjid ini mengambil masa lima tahun untuk disiapkan iaitu bermula dari tahun 1920 hingga tahun 1925. Pelukis pelan bagi masjid ini ialah Encik Sulaiman Bin Alias.

BANGUNAN DATO’ JAAFAR, JOHOR BAHRU

Bangunan Dato’ Jaafar merupakan kediaman rasmi Menteri Besar Johor yang pertama iaitu Allahyarham Dato’ Jaafar bin Mohammad.  Bangunan ini telah dibina pada tahun 1893 dan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan iaitu pada 1896.  Bangunan ini terletak di atas Bukit Senyum, Johor Bahru.

Jurutera yang bertanggungjawab merekabentuk bangunan ini ialah Dato’ Yahya Bin Shaban Al Datar.  Konsep reka bentuk bangunan ini menyerupai rumah-rumah utama di England pada zaman Elizabethan.

Setelah kematian Dato’ Jaafar pada 1919, bangunan ini telah diambil alih oleh kerajaan negeri Johor pada 1920.  Bangunan ini pernah dijadikan sebagai Maktab Perguruan Bahasa yang pertama pada 1958.

BANGUNAN BALAI POLIS CENTRAL, JOHOR BAHRU

Bangunan Balai Polis Central terletak di antara Jalan Meldrum dan Jalan Tun Razak iaitu di tengah-tengah kawasan bandaraya Johor Bahru.  Bangunan ini telah menyaksikan perkembangan bandaraya Johor Bahru dari mula pembukaan bandar ini sehinggalah kemajuan yang dicapainya pada hari ini.

Bangunan ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan iaitu dari tahun 1912 hingga tahun 1914 dan dibina oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor. Konsep reka bentuk bangunan ini adalah British Kolonial.

BANGUNAN ISTANA BESAR (MUZIUM DIRAJA), JOHOR BAHRU

Bangunan Istana Besar Abu Bakar ini terletak di dalam kawasan Taman Bunga menghadap Selat Tebrau berdekatan pusat bandaraya Johor Bahru.  Bangunan ini mula digunakan sebagai tempat bersemayam baginda Almarhum Sultan Abu Bakar di samping menjadi pusat pentadbiran kerajaan Negeri Johor.  Pada akhir pemerintahan Sultan Ibrahim, bangunan ini hanya digunakan untuk majlis istiadat diraja sahaja manakala tempat bersemayam telah dipindahkan ke Istana Bukit Serene. 

Bangunan ini diilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar dan dibina oleh seorang jurutera iaitu Y.B. Dato’ Yahya Bin Awaluddin. Bangunan ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan (1884-1886). Setelah bangunan ini siap dibina, pusat pentadbiran negeri Johor yang pada ketika itu berada di Teluk Belanga, Singapura telah dipindahkan ke istana ini.

BANGUNAN SULTAN IBRAHIM, JOHOR BAHRU

Bangunan Sultan Ibrahim dibina di atas tanah seluas kira-kira 6.8 hektar di atas Bukit Timbalan, Johor Bahru. Bangunan ini berfungsi sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

Arkitek yang bertanggungjawab di dalam mereka bentuk bangunan ini ialah Tetuan Palmer dan Turner Architec, manakala syarikat kontraktornya ialah Tetuan United Engineers dan Tetuan Ah Hung and Company. Kos pembinaan menelan belanja sebanyak  RM2,067,209.00.

Bangunan ini telah dibina pada Mac 1940 dan siap dibina pada penghujung tahun 1941.

BANGUNAN ISTANA BUKIT ZAHARAH, JOHOR BAHRU

Bangunan Istana Bukit Zaharah terletak di dalam kawasan kebun bunga. Bangunan ini telah dibina pada tahun 1858 semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar. Konsep reka bentuk bangunan ini menunjukkan pengaruh seni barat.

Bangunan ini pernah dijadikan sebagai Balai Istiadat Diraja semasa pemerintahan Sultan Abu Bakar sebelum pembinaan Istana Besar Sultan Abu Bakar. Setelah Istana Besar Sultan Abu Bakar siap, baginda memindahkan tempat bersemayam ke istana baru dan bangunan ini telah ditinggalkan kosong.

Bangunan ini pernah digunakan sebagai Sekolah Agama Bukit Zaharah dari tahun 1970an hingga akhir 1980an. Apabila Sekolah Agama Bukit Zaharah berpindah ke bangunan baru di Jalan Yahya Awal, bangunan ini telah terbiar kosong sehinggalah ke hari ini.

BANGUNAN DATO ABDULLAH JAAFAR, JOHOR BAHRU

Bangunan Dato’ Abdullah pernah didiami oleh Menteri Besar Johor yang ketiga iaitu Dato’ Abdullah Jaafar. Bangunan ini terletak di Jalan Petrie, berhampiran dengan pusat bandaraya Johor Bahru.

Bangunan ini dibina sebelum penjajahan Jepun, lebih kurang dalam tahun 1920an. Reka bentuk keseluruhan bangunan ini mirip kepada reka bentuk Sini-Malay-Palladian.

Rumah ini pernah digunakan oleh tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, pejabat sementara RISDA dan asrama kakitangan serta pelajar-pelajar Jabatan Pendidikan. Pada 26 Januari 1994, bangunan ini telah dirasmikan sebagai Galeri Seni Johor iaitu tempat pengumpulan serta pameran barang-barang artifak yang bersejarah terutamanya artifak seni dan budaya Johor.

BANGUNAN HOSPITAL SULTANAH AMINAH, JOHOR BAHRU

Bangunan Hospital Sultanah Aminah terletak di persisiran Selat Tebrau, kira-kira 1 km daripada pusat bandaraya Johor Bahru. Bangunan ini merupakan bangunan yang amat penting di dalam memberi perkhidmatan perubatan kepada masyarakat di Johor Bahru.

Bangunan asal hospital ini telah dibina daripada kayu dalam tahun 1882. Pada tahun 1929, reka bentuk baru telah disediakan dan ianya telah digantikan dengan bangunan baru yang dibina daripada batu bata merah pada tahun 1938.

Bangunan ini siap dibina pada tahun 1941. Arkitek yang mereka bentuk bangunan ini ialah Tetuan Palmer dan Turner Architect, mengikut idea dari Dr. G. H. Garlick.

Semasa perang dunia kedua, hospital ini telah dijadikan hospital tentera manakala hospital awam dipindahkan ke hospital sakit otak, Tampoi. Hospital ini telah diambil alih oleh tentera Jepun untuk menempatkan anggota-anggotanya pada tahun 1945. Selepas perang tamat, tentera British telah mengambil alih pentadbiran hospital ini daripada kakitangan awam pada 1 April 1946.

BANGUNAN MAHKAMAH, JOHOR BAHRU

Bangunan Mahkamah ini terletak di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru di Jalan Sultan Ibrahim. Bangunan dua tingkat ini menempatkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Seksyen. Keunikan gaya seni binanya menjadi mercu tanda kepada bandaraya Johor Bahru.

Padang atau laman yang terdapat di hadapan bangunan ini pada suatu ketika dahulu telah menjadi saksi terhadap peristiwa bersejarah yang merupakan kesan peninggalan penjajahan sehingga ke hari ini.

Bangunan ini dibina semasa zaman penjajahan British. Bangunan ini direka dan dibina oleh bahagian binaan Jabatan Kerja Raya Negeri Johor. Pembinaannya bermula pada akhir tahun 1800 dan siap pada awal 1900.