Warisan Tradisional Seni Halus

Tembikar merupakan salah satu daripada hasil kraftangan Melayu tradisi. Ia diperbuat daripada tanah liat dan antara barang-barang yang diperbuat dari tembikar ialah cawan, mangkuk, pinggan, pasu dan sebagainya. Terdapat empat kawasan utama sebagai pusat kegiatan pengeluaran barangan tembikar iaitu di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan, di Sayong, Kuala Kangsar, Perak, di Kampung Pasir Durian, Hulu Tembeling, Pahang dan beberapa tempat di Sarawak. Salah satu barangan tembikar yang begitu popular di Malaysia ialah labu sayong. Cara menghasilkan tembikar juga dipanggil seramik di empat kawasan tersebut tidak banyak berbeza cuma jenis barangan yang dihasilkan dan rekacorak hiasan atau pengemasannya. Perbezaan ini wujud kerana pengaruh adat dan cara hidup masyarakat tempat serta daya cipta pengusahanya. Hal ini juga memberi gambaran bahawa barangan tembikar tradisional mengutamakan ciri fungsional dari ciri perhiasan.

Seni tekat termasuk dalam jenis tekstil yang dihasilkan dengan cara menyulam benang emas ke atas kain dasar jenis baldu. Tekat menekat ini juga disebut ‘sulaman timbul’ atau ‘suji timbul’. Asal usul penggunaan dan penciptaan tekstil tekat dianggarkan sama dengan penggunaan tekstil songket berdasarkan kepada bahan asasnya iaitu benang emas, kain baldu dan juga rupa bentuk ciptaannya. Di Malaysia pusat-pusat seni tekat berkembang di negeri Perak, Pahang dan Johor.

Motif tekatan terdiri daripada motif tumbuh-tumbuhan dan motif geometri.

Rupa bentuk tekatan terbahagi kepada dua iaitu dua dimensi dan tiga dimensi. Rupa bentuk dua dimensi ialah seperti tikar, kipas dan penyangkut kelambu, selempang dan tetampan (lapik dulang). Rupa bentuk tiga dimensi pula seperti tepak sirih, sarung bantal, kusyen, kasut dan tudung saji.

Tenunan kain pua atau dikenali juga sebagai tenunan ikat adalah seni tenunan yang dihasilkan oleh wanita Iban di Sarawak. Ia adalah hasil tenunan daripada benang kapas yang ditenun menggunakan ‘Kek Iban’. Pua Kumbu pula merupakan salah satu jenis kain pua yang popular di kalangan masyarakat Sarawak. Kain tenunan ini berwarna kemerah-merahan atau coklat tua. Rekacorak yang biasanya digunakan ialah anak kunci, lengkar, rombus, atau batu berlian dan panjang kain pua ini lebih kurang 40 hingga 50 cm. Rekacorak ini dipercayai dari pengaruh kebudayaan Annam (Vietnam) dalam abad ke-17 sebelum Masihi.

Pua kumbu ditenun oleh wanita yang sudah mahir menenun kerana pua jenis ini adalah paling rumit untuk ditenun. Bagaimanapun, motif-motif itu kerap dikaitkan dengan kepercayaan dan pantang larang mereka. Antara motif-motif yang digunakan ialah Motif Engkeramba, Motif Fauna dan Motif Flora.

Ribu-ribu adalah sejenis paku-pakis yang hidup liar terutama di kawasan belukar yang lembab. Terdapat beberapa jenis ribu-ribu iaitu ribu-ribu biasa, ribu-ribu besar/gajah dan ribu-ribu bukit/duduk atau akar sidin. Kegunaan utama ribu-ribu pada masa dahulu ialah sebagai bahan untuk dijadikan tali. Banyak rumah di Terengganu misalnya menggunakan tali ribu-ribu sebagai tali pengikat rabung kerana tali jenis ini tahan lama. Tetapi kini kegunaan ribu-ribu hamper terbatas kepada hasil kraftangan sahaja. Barang-barang yang diperbuat daripada ribu-ribu termasuk terendak, bekas tembakau, bekas sirih dan dompet.

Terdapat banyak kesan-kesan sejarah yang membuktikan bahawa seni ukiran batu telah lama wujud. Jika disorot kembali, seni ukiran batu merupakan hasil peninggalan sejarah kebudayaan Megalitik atau Zaman Kebudayaan Batu Hidup. Di Semenanjung Tanah Melayu, kesan-kesan awal mengenai kedatangan agama Islam yang dapat dipegang sebagai bukti ialah Batu Bersurat Terengganu bertarikh awal kurun keempat belas. Batu Bersurat tersebut dianggap sebagai satu bahan seni yang terawal dijumpai selepas agama Islam menjadi pegangan hidup orang-orang Melayu. Manakala batu-batu yang berbentuk kasar dan tidak berukir pula digunakan sebagai batu nisan atau kegunaan agama. Penggunaan-penggunaan ini boleh disifatkan sebagai bentuk arca yang awal. Peninggalan warisan ini merupakan karya seni yang tidak ternilai dan menjadi khazanah negara yang terpenting. Terdapat pelbagai jenis seni ukiran batu yang menjadi tinggalan warisan pengukir-pengukir masa lampau. Antaranya adalah Batu Menhir, Batu Pedang, Batu Kemudi, Batu Sudu dan Batu Nisan.

Penggunaan bahan logam dalam keperluan hidup manusia telah bermula sejak zaman purba lagi. Kepandaian menggunakan bahan logam di zaman purba adalah sesuatu yang sangat menarik kerana logam adalah bahan yang tidak boleh dipecah-pecahkan untuk menghasilkan sesuatu alat seperti alat-alat yang diperbuat daripada batu. Penggunaan alat-alat daripada logam yang berukir berterusan hingga kini. Orang-orang Melayu juga banyak sekali menghasilkan beraneka jenis alatan yang diperbuat daripada logam. Seni ukiran pada alat-alat logam yang dihasilkan oleh tukang-tukang Melayu dapat kita lihat pada senjata–senjata tradisional, peralatan rumah, perhiasan diri serta barangan-barangan lain.

Barang-barang tembikar mempunyai kegunaan yang paling meluas di kalangan peribumi Sarawak. Upacara-upacara gawai, perkahwinan dan pengebumian semuanya tidak lengkap tanpa bekas-bekas tembikar yang tertentu. Apalagi halnya dalam kehidupan sehari-hari. Barang-barang tembikar tradisional yang dihasilkan di Sarawak termasuk pinggan, mangkuk, tajau (sejenis tempayan besar), takar dan perkakas memasak. Sesetengah barang itu sangat dihargai hingga menjadikan sebahagian daripada hadiah perkahwinan oleh pengantin. Malah di kalangan kaum Kelabit, tajau bukan cuma dijadikan bekas penyimpanan mayat ketua mereka tetapi diterima sebagai galang ganti nyawa.

Cara untuk menghasilkan barang-barang tembikar tradisional ini pada dasarnya sama seperti cara yang digunakan di semenanjung. Yang berbeza cuma corak ukiran perhiasan pada barang-barang itu yang banyak menampilkan unsur-unsur daripada sistem kepercayaan mereka.

Pasu Sarawak kini terkenal di seluruh negara. Bentuk, warna dan corak hiasannya yang unik menjadikan hasil seni ini buah tangan yang istimewa bagi para pelancong yang melawat ke Bumi Kenyalang.

Gubahan manik merupakan satu seni kraftangan yang begitu popular di Sarawak. Sejak zaman berzaman kemahiran menggubah manik telah menjadi satu seni tradisi di kalangan masyarakat etnik Sabah dan Sarawak. Antara jenis manik yang dibuat ialah daripada jenis kaca, permata dan batu akik.

Manik sebenarnya dalah lebih tua usianya daripada zaman tamadun manusia dan manik-manik yang paling awal dahulu telah diperbuat daripada kulit kerang, gigi dan buah-buahan yang dilubangkan dan dicucukkan dengan tali. Menurut kajian, manik yang ada di Sarawak dibawa masuk dari Mesir, Greece, India dan China semenjak beratus-ratus tahun dahulu.

Kain songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak. Ia telah terkenal di Malaysia sejak abad ke-15 yang lampau. Perkataan songket berasal daripada perkataan sungkit iaitu teknik menyungkit. Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti di Terengganu dan Kelantan. Bunga atau hiasan di kepala kain ditenun mengikut citarasa penenun. Corak atau ragam hias tersebut dikenali dengan nama-nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya.

Kemahiran seseorang penenun itu mengambil masa selama enam minggu untuk menghasilkan sehelai kain songket yang panjangnya diantara 20 hingga 40 meter. Sesuatu yang mengkagumkan tentang seorang penenun mahir ialah dia tidak melakar corak songket di atas kertas sebelum kerja-kerja menenun dilakukan sebaliknya ia tercetus daripada daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik. Motif yang digunakan untuk menenun songket diilhamkan daripada alam semulajadi. Antara motif-motif songket ialah motif tumbuh-tumbuhan, motif binatang, motif alam/benda dan motif kuih. Corak kain songket lazimnya terdiri dari susunan bunga penuh, susunan bunga bertabur dan susunan bercorak.

Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Malaysia terutama bagi masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sabah dan Sarawak serta masyarakat Orang Asli. Seni ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran yang lain cuma berbeza dari segi cara dan teknik pengukirannya. Seni ini begitu berkembang luas kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hasil kayu-kayan yang banyak di mana terdapat bahan alam yang sangat sesuai untuk diukir dan boleh dipelbagaikan kegunaannya. Dalam bidang ini, fokus akan ditumpukan kepada seni ukiran masyarakat Melayu, masyarakat etnik Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

Bentuk ukiran juga ada tiga jenis utama iaitu bujang, lengkap dan pemidang.

Alat-alat yang digunakan untuk seni ukiran adalah seperti gergaji, ketam, tukul besi dan paling penting pahat. Motif ukiran kayu orang Melayu terbahagi kepada beberapa jenis iaitu motif makhluk halus, motif angkasa atau kosmos, motif geometri dan motif seni khat atau kaligrafi.