07-5610320 ja@utm.my

SEKOLAH TEKNIK TREACHER

Sejarah pendidikan teknikal bermula pada tahun 1904 dengan penubuhan Sekolah Teknik Treacher (Treacher Technical School) di Weld Road, Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Jalan Raja Chulan). Nama tersebut diambil sempena nama Sir William Hood Treacher (1849-1919) iaitu Residen Jeneral bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Keperluan untuk pengendalian infrastruktur semakin bertambah seperti jalan-jalan kampung, jalan kereta lembu dan landasan keretapi dari pusat-pusat perlombongan – Taiping di Larut, Kuala Lumpur di Selangor dan Seremban di Sungai Ujung – ke Selat Melaka telah melahirkan sebuah sekolah teknik yang juga merupakan tapak bermulanya sebuah Universiti Teknologi Malaysia.

Penubuhan sekolah ini pada awalnya bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja dalam bidang teknikal dengan pewujudan jawatan Pembantu Teknik. Jawatan diperlukan di jabatan-jabatan pemerintah seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur dan Jabatan Keretapi Tanah Melayu. Ketiga-tiga jabatan tersebut pada waktu itu dilihat penting oleh pemerintah British di Tanah Melayu kerana ia melibatkan usaha berkaitan pembangunan ekonomi Tanah Melayu terutamanya dalam sektor pengangkutan yang melibatkan industri pengeluaran bijih timah, getah dan juga hasil bumi yang lain.

Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Ukur berperanan menguruskan pembinaan jalan raya dan jalan kereta api di Tanah Melayu bagi menghubungkan kawasan pengeluaran hasil bumi dengan bandar serta pelabuhan utama. Justeru itu, Sekolah Teknik Treacher pada awal penubuhannya telah menawarkan kepada para pelajar mengikuti program latihan teknikal yang bersesuaian dengan keperluan jabatan masing-masing secara separuh masa.

Setelah beberapa tahun sekolah tersebut ditubuhkan, bilangan penduduk di Tanah Melayu semakin bertambah di samping tuntutan sektor pembangunan yang memerlukan lebih ramai tenaga mahir terlatih. Oleh sebab itu, Sekolah Teknik Treacher perlu diperbesar bagi menampung keperluan pelajar yang lebih ramai. Walau bagaimanapun hasrat tersebut telah tergendala ekoran meletusnya Perang Dunia Pertama (1914-1918). Pada tahun 1915, sekolah ini telah ditutup buat sementara waktu dan dibuka semula pada tahun 1918 sebagai Sekolah Latihan Teknik, di bawah pengawasaan Bahagian Kejurutetaan, Jabatan Keretapi.

Sekolah beralih tempat beberapa kali sehingga tahun 1925 apabila Jabatan Kerja Raya mengendalikan Sekolah Latihan Teknik ini di Jalan Brickfields (kini digelar Jalan Tun Sambanthan). Pada tahun 1930, sekolah ini telah diperluaskan di tapaknya yang baru di High Street, iaitu Jalan Bandar sekarang.

Pada Januari 1931, pengurusan sekolah telah berpindah kepada Jabatan Pendidikan. Pada tahun 1935, sekolah ini tidak lagi di bawah pengawasan Persekutuan tetapi di ambil alih oleh kerajaan negeri Selangor walaupun masih memberi khidmat kepada keseluruhan Semananjung. Sekolah latihan ini menyediakan kursus Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrikal dan Telekomunikasi serta Ukur.

Sumber :

Buku – Kepimpinan Berwawasan : Universiti Sanjungan Bangsa

Buku – Ilmu Menjulang Angkasa Budi Seharum Kasturi

 

Share this :