Kamera Proses ini dikeluarkan oleh Syarikat Hunter Penrose Ltd. yang berpusat di United Kingdom untuk edaran serata dunia sekitar tahun 1890 sehingga 1962. Kamera ini adalah hadiah daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang digunakan sejak zaman Inggeris.
Model awal ini adalah mekanikal sepenuhnya dan ia memudahkan pelajar untuk memahami prinsip dan prosedur produksi fotografi. Ia adalah jenis KLIMSCH ‘horizontal process camera’ yang digunakan di Jabatan Kartografi, Fakulti Ukur Tanah pada awal tahun 1980-an sehingga akhir 1990-an.
Para pelajar yang mengambil bidang ukur tanah membuat lakaran peta di atas kertas atau kertas surih dengan menggunakan pen teknikal bagi penghasilan peta dan grafik secara konvensional. Lukisan akhir ini merupakan manuskrip yang dianggap sebagai dokumen saintifik yang boleh digunakan untuk pelbagai aplikasi khususnya dalam perancangan dan pembangunan yang berkaitan dengan tanah atau rupabumi.
Hasil lakaran dipaparkan pada satu lokasi yang menjadi titik fokus lensa kamera. Plat dan filem yang mengandungi imej lakaran kontur mukabumi diproses bagi menghasilkan peta hitam-putih atau peta berwarna. Peta topografi bercetak adalah berstatus ‘SULIT’ dan ‘TERHAD’ untuk rujukan pengajaran dan pembelajaran di fakulti sahaja.
Penggunaan Kamera Proses ditamatkan pada awal tahun 2004 disebabkan oleh penggunaan teknologi digital. Uniknya, Kamera Proses ini adalah model terakhir yang menggunakan badan daripada kayu oleh syarikat pengeluarnya dan ia hanya tinggal beberapa unit sahaja di dunia ketika ini.