BATC sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Teknologi Lanjutan atau Business Advanced Technology Center (BATC). Ia bermula sebagai Pusat Keunggulan (CoE) pada tahun 1992 di bawah inisiatif yang dicetuskan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed. Ia merupakan satu-satunya institusi yang menawarkan program pengurusan eksekutif dan unik berasaskan teknologi terulung yang disokong sepenuhnya oleh Perdana Menteri pada ketika itu.
Ia telah dirasmikan pada 11 Disember 1992 oleh Yang Berhormat Datuk Amar Dr. Haji Sulaiman bin Haji Daud, Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu. Antara objektif penubuhan BATC adalah untuk memupuk pertukaran pengetahuan antara industri dengan ahli akademik dengan misi untuk membantu melatih pengurusan industri yang akan membantu dalam transformasi teknologi, serta memupuk pemindahan pengetahuan (knowledge transfer) dalam kejuruteraan, pengurusan, pembuatan dan teknologi dalam negara.
Pada Mei 2010, seiring dengan transformasi Kampus UTM Kuala Lumpur, Pusat Perniagaan dan Teknologi Lanjutan (BATC) telah dinaiktarafkan ke peringkat fakulti dan menukar namanya kepada menukar namanya kepada Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Lanjutan UTM Razak (Sekolah Razak UTM).
Pada 1 Julai 2018, Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Lanjutan UTM Razak (Sekolah Razak UTM), Sekolah Informatik Lanjutan (UTM AIS), dan Sekolah Sains, Teknologi, dan Dasar Inovasi Perdana (UTM Perdana School) digabungkan untuk membentuk fakulti baru yang dikenali sebagai Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (RFTI). Penggabungan ini merupakan sebahagian daripada transformasi UTM Synergy 4.0.