07-5610320 ja@utm.my

Pada 2 September 1992, UTM telah menubuhkan sebuah anak syarikat, Uni-Technologies Sdn Bhd (UTSB). Penubuhan UTSB adalah sebagai suatu badan komersial untuk menjaga kepentingan UTM di samping menjalankan urusan komersial untuk memanfaatkan pensyarah dan penuntut UTM amnya bagi memanfaatkan pengetahuan teknologi dan pengurusan yang sedia ada kepada sesuatu yang boleh dikomersialkan dan membawa keuntungan. Antara objektif awal penubuhan UTSB adalah menyediakan perkhidmatan sokongan dan sumber bagi inovasi dan pembangunan usahawan, menyediakan perkhidmatan perundingan pakar dalam bidang-bidang sains dan teknologi yang berkaitan, menyediakan perkhidmatan pengujian dan latihan secara komersil, dan menyediakan kemudahan serta bantuan bagi peningkatan profesionalisme dalam kalangan kakitangan akademik UTM.

Majlis telah meluluskan penubuhan UTSB dengan mengamanahkan dua orang wakil dari UTM yang terdiri daripada seorang ahli Majlis dan Yg. Bhg. Datuk Naib Canselor sebagai pemegang-pemegang saham UTSB. Hal ini dibuat memandangkan UTM sebagai sebuah organisasi pada ketika itu tidak dibenarkan menubuhkan syarikat.

Pada awal penubuhan UTSB, Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin bin Idrus yang juga merupakan Naib Canselor UTM pada ketika itu merupakan antara yang membarisi Lembaga Pengarah syarikat. UTSB telah menjadi penghubung utama antara UTM dan pemain industri besar tempatan dan antarabangsa antaranya Petronas, Shell, CIDB Malaysia, Johor Corporation, Telekom Malaysia, Sime Darby dan banyak lagi. Jabatan dan agensi kerajaan juga banyak menjalinkan kolaborasi bersama UTM melalui UTSB antaranya Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pertanian, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan lain-lain.

Majlis Perasmian Stesen Minyak Petronas milik anak syarikat UTM,
Uni-Technologies Sdn Bhd di Jalan Pontian – Skudai pada 2017

Antara jalinan kerjasama terawal UTSB bersama institut pengajian tinggi adalah kerjasama dengan Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) pada 1994. Kerjasama ini dijalinkan dengan membawa hasrat untuk bergabung dan berganding tenaga sumber dan kepakaran untuk melaksanakan program pengajian yang dikendalikan oleh ITTAR. Dua program permulaan yang dibincang untuk dilaksanakan adalah Diploma Perniagaan dan Pengurusan serta Diploma Perakaunan dan Kewangan.

Share this :