07-5610320 mhazim@utm.my

Rancangan pemindahan UTM ke sebuah kampus baru telah dibuat sebaik sahaja Maktab Teknik diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada tahun 1972. Rancangan ini dibuat dengan rasional bahawa kampus di Jalan Semarak yang berkeluasan 45 ekar didapati terlalu kecil untuk sesebuah universiti. Justeru itu, satu tapak baharu untuk kampus UTM yang sesuai perlu diadakan untuk menampung kepesatan pembangunan dan pertambahan bilangan pelajar.

Tapak yang awal dikenalpasti dan dicadangkan adalah terletak dalam satu kawasan di Batu 8, Jalan Bentong, Gombak, Selangor. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh beberapa faktor tertentu, pada tahun 1973 kerajaan membuat keputusan supaya kampus baru UTM ditempatkan di negeri Johor. Pembangunan pesat di Johor menjadi salah satu faktor yang mendorong negeri Johor dipilih sebagai tapak kampus baharu UTM. Rancangan perindustrian negeri Johor dilihat akan dapat membantu perkembangan UTM dan begitu juga sebaliknya pembangunan UTM diharapkan dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan di negeri Johor.

Bangunan Pentadbiran/ Canseleri dan Bangunan Persatuan Pelajar di akhir pembinaan pada 1985

 

Bangunan asrama Kolej 14-17 sedang dalam pembinaan

Pada Januari 1974, UTM telah memohon kepada kerajaan negeri Johor untuk mendapatkan satu kawasan yang sesuai untuk dijadikan sebagai tapak kampus. Pada Februari 1974, kerajaan negeri Johor telah menentukan kepada UTM satu kawasan seluar 1,400 ekar yang terletak berhampiran Plentong. Pada masa yang sama, Perbadanan Kemajuan Negeri Johor (PKNJ) telah membuat satu kajian dengan bantuan sebuah badan perancang antarabangsa mengenai pembangunan negeri Johor. Hasil daripada kajian ini, PKNJ telah mencadangkan tiga kawasan yang sesuai untuk dijadikan tapak kampus baharu UTM. Dua daripada kawasan yang dicadangkan itu terletak di Kuala Sungai Plentong, manakala satu lagi ialah kawasan yang terletak berhampiran dengan Skudai.

Sebahagian daripada staf UTM yang terlibat dalam projek pembangunan pada peringkat awal

UTM kemudian telah memutuskan untuk memilih tapak yang terletak di Skudai untuk dijadikan tapak kampus baharunya. Memandangkan UTM memerlukan keluasan tanah yang lebih luas, maka UTM telah mengemukakan cadangan keperluannya kepada kerajaan negeri Johor. Permohonan ini telah diluluskan dan tanah seluas 2,829.9 ekar yang terletak di Ladang Linden, Skudai diperuntukkan untuk dijadikan kampus UTM. Tapak Kampus Skudai terletak di persimpangan lebuhraya Senai dan Jalan Pontian. Jaraknya dari bandar Johor Bahru ialah 18 km, manakala dari Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai ialah 14 km. Kedudukan yang strategik di antara bandar Johor Bahru dan lapangan terbang menjadikan titik tambah kepada pembangunan kampus Skudai.

Ladang Linden, Skudai tapak kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai

Tapak kampus baharu ini adalah bekas ladang getah Linden yang dibeli daripada kerajaan negeri pada tahun 1974. Topografi tapak ini berbukit-bukit dengan aras ketinggian 12 – 150 meter dari aras laut. Kawasan ini terdiri daripada bukit-bukit kecil terutama di bahagian tengah kawasan, manakala di sekitar bukit-bukit pula terdapat anak-anak sungai.

Sumber: 3 Dekad Pembangunan Kampus UTM

Share this :