Pada tahun 2023, Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Pagoh telah memulakan penyelidikan berkenaan Gaharu. Projek ini memberi tumpuan kepada pemprosesan minyak pati gaharu serta pembangunan produk hiliran berasaskan bahan ini. Projek ini diterajui oleh Prof. Madya ChM. Dr. Norazah Basar selaku Felo Penyelidik Bersekutu ICA, dan Ts. ChM. Dr. Norliza Abdul Latiff selaku Pegawai Penyelidik ICA. Ahli projek terdiri dari pelbagai skim perjawatan.
Bagi merealisasikan matlamat ini, sebuah Makmal Penyelidikan Gaharu telah diwujudkan di UTM Kampus Pagoh. Makmal ini menjadi pusat kepada pelbagai aktiviti penyelidikan termasuk proses penyulingan minyak pati, inovasi peningkatan hasil pengeluaran minyak pati, pengukuran kualiti minyak pati, serta pembangunan produk minyak wangi berasaskan gaharu.
Salah satu inisiatif penting dalam projek pembangunan produk minyak wangi berasaskan gaharu ini adalah membentuk pasukan Panel Penilai Deria Terlatih. Justeru itu, pelaksanaan latihan dan pemilihan panel penilai deria bau telah dilaksanakan dan seramai 10 orang staf UTM Pagoh dan pelajar pascasiswazah telah terpilih sebagai panel Panel Penilai Deria Terlatih ICA. Latihan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan penyelidikan sensori produk wangian berasaskan gaharu. Panel ini memainkan peranan penting dalam menilai kualiti aroma dan wangian produk yang akan dihasilkan ICA. Proses ini juga dilaksanakan dengan mematuhi garis panduan etika penyelidikan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Etika Penyelidikan UTM. Hasil usaha penyelidikan ini telah membuahkan hasil apabila prototaip produk minyak wangi berjaya dihasilkan dan kini sedia untuk dilesenkan di bawah jenama pengkomersialan “ICA Innovates”. Pelancaran jenama ini telah disempurnakan sempena Sambutan Hari Tanah Sedunia (World Soil Day – WSD) pada 5 Disember 2024. Komitmen penyelidik ICA tidak terhenti setakat ini sahaja kerana mereka kini giat membangunkan pelbagai inovasi produk hiliran berasaskan gaharu yang bukan sahaja hanya tertumpu kepada wangian semata-mata.
Projek ini diharap dapat memacu perkembangan industri minyak gaharu tempatan melalui inovasi teknologi dan penyelidikan berimpak tinggi. Dengan sokongan makmal dan tenaga pakar, UTM Kampus Pagoh berhasrat menjadi peneraju utama dalam penghasilan gaharu yang lestari, berkualiti, dan memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.
Penulis:
Ts. ChM. Dr. Norliza binti Abdul Latiff & Ariffi Suraya binti Rahmani
Pegawai Penyelidik,
Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA),
UTM Kampus Pagoh