Ladang Penyelidikan di Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA), yang terletak di UTM Kampus Pagoh, merupakan sebuah pusat penyelidikan yang berdedikasi dalam menyokong usaha penyelidik ke arah melaksanakan projek-projek berkualiti tinggi dalam bidang pertanian. Dengan memanfaatkan kemudahan terkini, teknologi canggih, serta tenaga pakar yang berkemahiran, ICA memainkan peranan penting dalam memajukan industri pertanian di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Ditubuhkan pada tahun 2017, ICA bertujuan untuk mempromosikan penyelidikan dan inovasi dalam bidang makanan dan pertanian. Pusat ini menyediakan platform unik kepada penyelidik, pelajar pascasiswazah, serta rakan industri untuk menjalankan penyelidikan termaju dalam bidang produk makanan bioaktif, makanan padat nutrien, dan teknologi pertanian mampan. ICA komited untuk membina komuniti pembelajaran, inovasi, dan penglibatan yang dapat memacu perubahan transformasi ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari.
Ladang Penyelidikan ICA merangkumi kawasan seluas 20 ekar yang dibahagikan kepada beberapa plot penyelidikan. Plot utama seluas 10 ekar dilengkapi dengan sistem pengairan kekal, manakala empat plot sampingan tanpa pengairan meliputi kawasan selebihnya. Salah satu plot ini telah mendapat pensijilan MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) daripada Jabatan Pertanian Malaysia, yang menandakan komitmen ICA terhadap amalan pertanian berkualiti.
Selain itu, Ladang Penyelidikan ICA turut mempunyai kolam tadahan buatan manusia seluas 1.8 ekar yang menjadi habitat pelbagai spesies ikan air tawar seperti Tilapia, Lampam, Kerai, dan Terbul. Ikan-ikan ini ditaja oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Kemudahan lain termasuk rumah hijau yang dilengkapi dengan sistem hidroponik NFT dan sistem fertigasi, menyediakan persekitaran ideal untuk penyelidikan dan inovasi teknologi pertanian.
Sebagai makmal hidup (“living laboratory”), Ladang Penyelidikan ICA menjadi platform untuk penyelidikan, penerokaan, pendidikan, dan jangkauan komuniti. Aktiviti-aktiviti ini memberi tumpuan kepada penilaian amalan dan inovasi baharu dalam rangka kerja saintifik serta menyebarkan pengetahuan kepada masyarakat. Ladang ini merupakan tapak dinamik yang berusaha mencari penyelesaian inovatif terhadap cabaran kelestarian, memberikan manfaat bukan sahaja kepada pelajar, penyelidik, dan masyarakat tetapi juga generasi akan datang.
Penulis:
En. Mohd Farid bin Ismail
Pegawai Penyelidik,
Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA),
UTM Kampus Pagoh