Pada Oktober 1992, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menubuhkan pusat kecemerlangan dalam pendidikan berterusan. Pusat ini diberi mandat untuk menyediakan peluang pendidikan kepada seluruh lapisan masyarakat, tanpa mengira usia atau latar belakang. Hal ini demikian kerana, pembelajaran merupakan proses sepanjang hayat, dan sesiapa sahaja yang mempunyai aspirasi serta semangat untuk menimba ilmu harus diberi peluang berbuat demikian.
Justeru itu, pada Julai 1993, The School of Professional and Continuing Education (SPACE) ditubuhkan. Pada peringkat awal, SPACE memberi tumpuan kepada program jangka pendek seperti kursus pendek, seminar, bengkel, dan latihan dalaman untuk organisasi.

Prof. Omar Munir, Dekan SPACE pertama yang dilantik daripada 6 Julai 1993 hingga 25 Julai 1995
SPACE memulakan operasinya di Pejabat Pendaftar UTM di Aras 4 Bangunan Pentadbiran sebelum berpindah ke pejabat sendiri di Aras 2 bangunan yang sama pada tahun 1995. Pada tahun yang sama, SPACE turut meluaskan operasinya ke Kampus UTM Kuala Lumpur.
Menjelang sesi akademik 1995/1996, SPACE mula menawarkan 8 program akademik arus perdana UTM secara separuh masa khusus untuk golongan profesional yang bekerja merangkumi 3 program diploma dan 5 program sarjana muda. Seterusnya, dalam sesi akademik 1996/1997, SPACE diberikan tanggungjawab untuk menguruskan program francais UTM bersama institusi pendidikan tinggi swasta.
Selain itu, SPACE turut memperkenalkan program kerjasama khas dengan beberapa organisasi besar seperti Celcom, Kementerian Pertahanan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Telekom Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Yayasan Negeri Pulau Pinang, dan PERDAUS (Singapura).
Menjelang tahun 1998, SPACE dilantik sebagai sekretariat bagi program pembelajaran jarak jauh (PJJ) UTM. Pada sesi akademik 1999/2000, melalui satu langkah penstrukturan semula, SPACE menumpukan sepenuh operasinya kepada program separuh masa dan PJJ untuk peringkat diploma serta ijazah sarjana muda.
Pada tahun 2000, pejabat pentadbiran SPACE berpindah ke lokasi baharu di Taman Universiti, Skudai, Johor. Sejak itu, SPACE terus berkembang dengan peningkatan mendadak dalam jumlah pelajar serta permintaan tinggi daripada masyarakat terhadap program akademik dan pembangunan profesional yang ditawarkan.
SPACE telah melalui beberapa fasa penjenamaan semula. Pada awal pengoperasian SPACE, logo berikut telah digunakan untuk memperkenalkan SPACE:

Logo pertama SPACE
Pada tahun 2006, SPACE memperkenalkan imej korporat baharu bagi mencerminkan usaha berterusan dalam mencapai visi dan misinya. Berikut adalah logo baharu yang digunakan pada tahun tersebut:

Logo SPACEUTM yang digunapakai mulai 2006
Pada tahun 2009, SPACEUTM sekali lagi melalui proses penjenamaan semula. Imej korporat baharu yang diperkenalkan adalah seperti berikut:

Logo UTMSPACE pada tahun 2009
Dalam logo ini, identiti UTM diberi keutamaan, diikuti dengan nama “School of Professional and Continuing Education (UTMSPACE)”. Perubahan ini selari dengan inisiatif penjenamaan semula UTM secara menyeluruh, bertujuan untuk mengukuhkan imej jenama universiti di peringkat nasional dan antarabangsa.
Pada tahun 2011, UTMSPACE Kuala Lumpur secara rasmi memulakan operasinya di Bangunan UTMSPACE Kuala Lumpur yang mempunyai 14 tingkat dan UTMSPACE telah didaftarkan sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan di bawah UTM. Dengan status ini, UTMSPACE berfungsi sebagai salah satu entiti perniagaan UTM yang menumpukan kepada penyediaan pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat. Status ini juga membolehkan UTMSPACE mengurus sumber kewangan dan bakatnya secara lebih fleksibel dan berdaya saing.
Sebagai sebahagian daripada proses ini, UTMSPACE memperkenalkan logo baharu seperti berikut:

Logo terbaharu UTMSPACE yang digunakan bermula 2011 sehingga kini

Foto waktu awal pengoperasian SPACE yang sempat dirakam

Foto waktu awal pengoperasian SPACE yang sempat dirakam
Pada tahun 2022, UTMSPACE telah dikurniakan anugerah The Malaysia Influential Intellectual Property Brand Award 2022 oleh Majlis Tindakan Pengguna Negara (National Consumer Action Council). Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada syarikat-syarikat cemerlang yang telah menyumbang dalam industri harta intelek negara.

UTMSPACE Kuala Lumpur

UTMSPACE Johor Bahru

UTMSPACE Pulau Pinang

UTMSPACE Kuching, Sarawak
Bibliografi:
- UTM School of Professional and Continuous Education. (2018). Making space for life long learners: 25 years and beyond. UTM School of Professional and Continuous Education.
- Universiti Teknologi Malaysia. (n.d.). UTMSPACE. https://utmspace.edu.my/
- Universiti Teknologi Malaysia. (n.d.). UTMSPACE. https://space.utm.my/
- Universiti Teknologi Malaysia. (n.d.). UTMSPACE [Facebook page]. Facebook. https://www.facebook.com/utmspaceofficial