07-5610320 mhazim@utm.my

Taman Tropika Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan salah satu khazanah hijau yang menjadi tarikan penting di kampus Johor Bahru. Pembangunan taman ini bermula sekitar hujung  1990-an dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah kawasan penyelidikan, pendidikan dan rekreasi yang menekankan kepelbagaian flora tropika.

Taman Tropika telah dirasmikan oleh Canselor UTM pada ketika itu, Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultanah Zanariah ibni Almarhum Tunku Ahmad pada 20 November 2000. Taman yang berkonsepkan tropika ini juga telah diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultanah Zanariah sendiri. Taman Tropika ini mempunyai keluasan 10 ekar dan terletak di kawasan tasik UTM, berhampiran dengan laluan utama masuk ke kampus.

Sekitar Majlis Perasmian Taman Tropika UTM pada 22 November 2000

Taman Tropika terbahagi kepada empat zon iaitu Zon Laman Seni, Zon Laman Bistari, Zon Laman Menanti, dan Zon Laman Riadah. Zon Laman Seni terletak di kawasan bangunan Fakulti Alam Bina (FAB), Zon Laman Bistari pula terletak di seberang tasik dan berhampiran kawasan bangunan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC). Zon ini merupakan salah satu laluan utama pintu masuk ke kawasan Taman Tropika yang ditanam dengan pokok-pokok etnobotani.

Taman Tropika UTM dalam pembinaan pada awal tahun 2000

 

Zon Laman Menanti terletak di sudut timur iaitu berhampiran kawasan tempat letak kereta dan Zon Laman Riadah terletak di kawasan tempat perasmian Taman Tropika. Konsep Taman Tropika adalah untuk mengenengahkan sebuah taman yang melambangkan ciri-ciri keunikan timur. Pada awal pembukaan Taman Tropika, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya aktiviti memancing, aktiviti berkayak, pertandingan melukis serta beberapa aktiviti pembelajaran untuk pelawat dan pelajar. Aktiviti-aktiviti ini masih giat diteruskan sehingga kini menjadikan Taman Tropika ini terus hidup dengan kehadiran para pengunjung.

Sumber : Skudai Post Universiti Teknologi Malaysia, Bil. 1/2002

Terdapat dua bangunan utama di taman ini iaitu Rumah Tropika dan Galeri. Kedua-dua bangunan ini direka bentuk sebagai bangunan pavilion bagi mengurangkan kesan tapak binaan. Lokasi bangunan ini dipilih bagi mengelakkan penebangan pokok sedia ada. Pembinaan Galeri tersebut telah membentuk semula halaman di mana pemandangan Masjid Sultan Ismail dapat dilihat dari jauh. Kedua-dua bangunan ini telah dibangunkan melalui penyesuaian binaannya dengan persekitaran semula jadi. Selain Rumah Tropika, antara kemudahan lain yang disediakan di Taman Tropika adalah wakaf, tandas, ruang parkir kenderaan dan susur pejalan kaki untuk pengunjung membuat aktiviti larian.

Sumber : Jurnal Alam Bina, Jilid 8, No. 2/2006. No. panggilan: HT 169 M32 J87 waj. Lokasi rak: UTM Special Collection
Sumber : Laman Web UTM Geotourism:
https://dvcdev.utm.my/utmgeotourism/tamantropika/

Aktiviti riadah yang dijalankan di Taman Tropika UTM pada tahun 2002

Sebagai usaha berterusan memelihara warisan intelektual universiti, Jabatan Perpustakaan UTM menyeru seluruh warga universiti untuk bersama-sama berkongsi dokumen, maklumat, dan gambar berkaitan aktiviti di fakulti dan jabatan dalam UTM. Sumbangan ini amat penting bagi memastikan rekod sejarah dan perkembangan UTM terus terpelihara untuk tatapan serta rujukan generasi akan datang. Bahan boleh dihantar melalui sistem Institutional Knowledge Library Acquisition System (IKLAS) di pautan http://iklas.utm.my/

 

Bibliografi:

  1. Skudai Post. (2002). Universiti Teknologi Malaysia (Bil. 1/2002). Universiti Teknologi Malaysia.
  2. Ahmad, M. H. (2006). [Article in Jurnal Alam Bina, 8(2)]. Jurnal Alam Bina, 8(2). Universiti Teknologi Malaysia.
  3. Universiti Teknologi Malaysia. (n.d.). Taman Tropika. UTM Geotourism. Retrieved October 3, 2025, from https://dvcdev.utm.my/utmgeotourism/tamantropika/

Share this :