Sejak ditubuhkan pada tahun 1972, Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan mercu tanda penting dalam perkembangan pendidikan dan penyelidikan universiti. Sejarah pembinaannya bermula seiring dengan usaha pemindahan kampus UTM dari Jalan Gurney, Kuala Lumpur yang bertempat di Bangunan Perpustakaan Kuala Lumpur ke Skudai, Johor Bahru, Johor pada awal tahun 1980-an. Perpustakaan pada ketika itu ditempatkan di Bangunan Canseleri sementara menunggu bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) siap dibina sepenuhnya. Dalam perancangan pembangunan kampus baharu ini, sebuah perpustakaan utama yang lengkap dan moden telah dianggap sebagai keperluan asas bagi menyokong aktiviti akademik, pengajaran dan pembelajaran di universiti.

Bangunan perpustakaan kampus Kuala Lumpur dalam pembinaan pada tahun 1980
Sumber : Pembinaan bangunan Perpustakaan baru UTM yang diambil gambar pada 13.9.1980. Call number: FTG 27 ra. Shelving location: UTM Special Collection.
Kerja pembinaan bangunan perpustakaan kampus Johor Bahru bermula pada tahun 1980 dan siap sepenuhnya pada tahun 1983. Reka bentuk bangunan ini menampilkan konsep moden yang menekankan keselesaan pengguna, keluasan ruang bacaan serta kemudahan penyimpanan bahan bercetak dan bukan bercetak. Perpustakaan ini juga dilengkapi dengan kemudahan carian maklumat dan ruang penyelidikan, sesuai dengan peranannya sebagai pusat sumber ilmu pengetahuan utama di universiti.

Aktiviti perpindahan perpustakaan dari Kampus Kuala Lumpur ke Skudai, Johor Bahru
Sumber : Kerja-kerja perpindahan Perpustakaan Kampus Kuala Lumpur ke Sekudai, 1985. Call number: FTG 335 ra. Shelving location: UTM Special Collection.
Rancangan perpindahan Perpustakaan ke Skudai telah dibuat melalui beberapa peringkat. Pada tahun 1981 apabila pengumuman berkenaan perpindahan kampus dibuat, Perpustakaan telah mula membuat duplikasi rekod bagi setiap bahan-bahan sedia ada. Setiap bahan mempunyai dua set rekod iaitu satu set disusun di katalog, dan satu set lagi disusun di dalam kotak sebagai persediaan untuk berpindah. Pada Februari 1984, Jawatankuasa Perpindahan (Perpustakaan) telah ditubuhkan untuk merancang urusan perpindahan ini.
Dianggarkan sebanyak 25,000 buah buku dan majalah, ratusan filem dan beberapa ribu slaid akan dipindahkan ke kampus Skudai. Projektor dan mesin-mesin khusus kegunaan di Perpustakaan juga merupakan antara barangan yang terlibat dalam perpindahan ini. Pada 17 Mei 1985, Perpustakaan telah mula memindahkan sebahagian barangan terlibat menggunakan empat buah lori treler disusuli dengan dua lagi buah lori treler pada 10 Jun 1985. Pada Julai 1989, sejarah baharu bermula untuk Perpustakaan UTM dengan rasminya Perpustakaan Kampus Skudai diberi taraf Perpustakaan Induk sementara Perpustakaan di Kampus Kuala Lumpur menjadi Perpustakaan Cabang (Cawangan).

Plaque pemasyhuran yang disempurnakan oleh DYMM Sultanah Zanariah
Majlis perasmian dan pemasyhuran Perpustakaan Sultanah Zanariah telah diadakan pada 3 Februari 1991 yang telah disempurnakan sendiri oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Zanariah binti Almarhum Tunku Ahmad, yang ketika itu merupakan Sultanah Johor. Sempena perasmian tersebut, perpustakaan ini secara rasmi dinamakan Perpustakaan Sultanah Zanariah sebagai tanda penghargaan kepada baginda atas sokongan terhadap pembangunan pendidikan tinggi di negeri Johor.

Suasana Perpustakaan Sultanah Zanariah sekitar tahun 1990-an
Sumber : Perpustakaan Sultanah Zanariah. Call number: FTG 911.01-911.13 ra. Shelving location: UTM Special Collection.
Sejak perasmiannya, PSZ terus berkembang seiring kemajuan teknologi dan keperluan akademik semasa. Kini, perpustakaan ini bukan sahaja berperanan sebagai pusat rujukan akademik, tetapi juga sebagai hab digital dan penyelidikan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan maklumat berasaskan teknologi. Dengan visi menjadi peneraju kecemerlangan dalam penyebaran ilmu, PSZ terus komited menyokong misi UTM ke arah universiti penyelidikan bertaraf global.

Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah baru siap dibina
Sumber : Pandangan dari hadapan dan belakang bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Call number: FTG 1109.01-1109.15 ra. Shelving location: UTM Special Collection.
Selaras dengan perkembangan Universiti Teknologi Malaysia sebagai Universiti Penyelidikan, perkhidmatan Perpustakaan UTM terus diperkukuh melalui pembinaan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) yang berkonsepkan perpustakaan penyelidikan. Bangunan PRZS telah dirasmikan pada 30 September 2014 dalam Majlis Pemasyhuran yang disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim. Terletak di bahagian barat daya kampus UTM, perpustakaan ini dibangunkan khusus bagi menyokong aktiviti penyelidikan dan dinamakan sempena Canselor UTM keempat, Raja Zarith Sofiah.

Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah
Sumber : Laman web Jabatan Perpustakaan UTM | https://library.utm.my/about-us/
Selaras dengan peluasan perkhidmatan perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia ke kampus satelit, penubuhan Perpustakaan UTM Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) merupakan langkah strategik dalam memastikan akses sumber ilmu yang menyeluruh kepada warga akademik. HPTP dibangunkan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mewujudkan hab pendidikan tinggi bersepadu di Pagoh, Muar, Johor, melalui kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi awam antaranya Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Politeknik Tun Syed Nasir. Bagi menyokong keperluan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di kampus ini, Perpustakaan Gunasama diwujudkan sebagai pusat rujukan akademik yang menyediakan kemudahan maklumat, ruang pembelajaran kondusif serta akses kepada sumber digital. Penubuhan perpustakaan ini melengkapkan jaringan perkhidmatan perpustakaan UTM dalam mendukung pembangunan ilmu di pelbagai lokasi kampus.

Bangunan Perpustakaan Gunasama di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh
Sumber : Facebook Pagoh Education Hub | https://www.facebook.com/pagoheduhub
Bibliografi:
- Universiti Teknologi Malaysia. (1991). Laporan tahunan Universiti Teknologi Malaysia 1990/1991 (LG 173 K85 U54 wra n.1). Pejabat Pendaftar UTM.
- Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia. (1985). Rintik (Jilid 3, No. 2; Z 675 .U5 U53 1983-87 wra c.2). Terbitan Perpustakaan UTM.
- Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia. (1990). Laporan tahunan perpustakaan: Julai 1989 – Jun 1990. Perpustakaan UTM.
- Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia. (1991). Laporan tahunan perpustakaan: Julai 1990 – Jun 1991. Perpustakaan UTM.
Sebagai usaha berterusan memelihara warisan intelektual universiti, Jabatan Perpustakaan UTM menyeru seluruh warga universiti untuk bersama-sama berkongsi dokumen, maklumat, dan gambar berkaitan aktiviti di fakulti dan jabatan dalam UTM. Sumbangan ini amat penting bagi memastikan rekod sejarah dan perkembangan UTM terus terpelihara untuk tatapan serta rujukan generasi akan datang. Bahan boleh dihantar melalui sistem Institutional Knowledge Library Acquisition System (IKLAS) di pautan http://iklas.utm.my/
