Sejarah bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula sejak penubuhan Technical School Kuala Lumpur pada tahun 1904, yang bertujuan melatih tenaga teknikal bagi memenuhi keperluan sektor awam dan pembangunan infrastruktur negara. Institusi ini kemudiannya berkembang menjadi Technical College pada tahun 1946 dan seterusnya dikenali sebagai Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) pada tahun 1960. Dalam tempoh ini, bidang kejuruteraan mula menjadi teras utama pengajian, sejajar dengan keperluan negara yang sedang pesat membangun.
Penubuhan UTM secara rasmi pada tahun 1975 menandakan satu fasa baharu dalam perkembangan pendidikan kejuruteraan negara. Seiring dengan itu, beberapa fakulti kejuruteraan awal telah ditubuhkan bagi memperkukuh pengajaran, penyelidikan dan latihan profesional, termasuk Fakulti Kejuruteraan Awam.

Bangunan Fakulti Kejuruteraan Awam di Kampus Kuala Lumpur
Sumber : Bangunan Fakulti Kejuruteraan Awam, Kampus UTM, Jalan Gurney, Kuala Lumpur. Call number: FTG 127 ra. UTM Special Collection
Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), yang dikenali sebagai FKA, merupakan salah satu jurusan terbesar di negara ini, di mana UTM merupakan pengeluar graduan kejuruteraan awam terbesar di Malaysia. Penubuhannya bermula sebagai sebuah jabatan di bawah Fakulti Kejuruteraan pada tahun 1972, sebelum dinaik taraf sebagai sebuah fakulti penuh pada tahun 1975. Pada tahun 1989, FKA telah berpindah ke kampus induk UTM di Skudai, Johor Bahru, Johor, sekali gus menyokong perkembangan kampus dan kemudahan akademik yang lebih komprehensif.

Bangunan Fakulti Kejuruteraan Awam di Skudai, Johor Bahru sekitar tahun 1990-an
Sumber : Bangunan Fakulti Kejuruteraan Awam. Call number: In process. UTM Special Collection
Pada peringkat awal penubuhannya, FKA menubuhkan empat jabatan akademik utama pada tahun 1976 yang mewakili cabang teras kejuruteraan awam, iaitu Jabatan Struktur dan Bahan, Jabatan Hidraulik dan Hidrologi, Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan, serta Jabatan Kejuruteraan Alam Sekitar. Penubuhan jabatan-jabatan ini membolehkan pengkhususan pengajian dan penyelidikan dilaksanakan secara lebih sistematik dan berfokus.
Pada peringkat awal penubuhannya, Fakulti Kejuruteraan Awam bermula dengan seramai sebelas orang pensyarah dan lapan orang penolong pensyarah. Sebahagian daripada tenaga akademik terawal ini dipinjamkan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan agensi teknikal kerajaan.
Antara tokoh akademik dan profesional yang menjadi perintis serta memainkan peranan penting dalam membangunkan fakulti ini ialah Profesor Dato’ Aziz Din, Tan Sri Ir. Jamilus Hussein (bekas Pengarah Urusan KLIA Bhd.), Dato’ Profesor Ir. Dr. Mohd. Noor Haji Salleh (bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia), Tan Sri Dato’ Ir. (Dr.) Wan Abdul Rahman Wan Ya’acob (bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya), serta Profesor Ir. Ishak Abdul Rahman, bekas Pengarah UTM Kampus Kuala Lumpur. Sumbangan dan kepimpinan tokoh-tokoh ini amat signifikan dalam meletakkan asas kukuh bagi pembangunan akademik, penyelidikan dan reputasi Fakulti Kejuruteraan Awam UTM.
Profesor Dato’ Aziz Din merupakan Dekan pertama Fakulti Kejuruteraan Awam, yang mentadbir fakulti ini dari Mei 1975 hingga Ogos 1979. Di bawah kepimpinannya, struktur pentadbiran fakulti telah dibangunkan secara sistematik, selain pembentukan kurikulum program kejuruteraan awam yang kukuh sehingga berjaya memperoleh pengiktirafan ijazah daripada Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia), Institution of Engineers Malaysia (IEM) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau turut mempelopori pelantikan pemeriksa luar dan moderator luar bagi memastikan kualiti akademik serta penilaian program sentiasa menepati piawaian profesional dan antarabangsa. Sumbangan ini telah meletakkan asas kukuh terhadap jaminan kualiti pengajaran dan pembelajaran di Fakulti Kejuruteraan Awam UTM.

Potret Profesor Dato’ Aziz Din, Dekan pertama FKA
Sumber : Laman web Fakulti Kejuruteraan Awam UTM | https://civil.utm.my/
Selain jabatan akademik, pada awal penubuhannya FKA turut menempatkan lima Pusat Kecemerlangan bagi menyelaras dan mengoptimumkan kepakaran luas yang dimiliki oleh fakulti. Pusat-pusat ini ialah Coastal and Offshore Engineering Institute (COIE), Steel Technology Centre (STC), Construction Technology and Management Centre (CTMC), Institute of Environmental and Water Resources Management (IPASA) serta Forensic Engineering Centre (FEC).
Terkini pada tahun 2025, FKA diperkuatkan dengan lima pusat kecemerlangan iaitu Centre for River and Coastal Engineering (CRCE), Centre for Environmental Sustainability and Water (IPASA), UTM Construction Research Centre (UTM CRC), Forensic Engineering Centre (FEC), dan Centre of Tropical Geoengineering (GEOTROPIK). Melalui pengukuhan fungsi pusat-pusat ini, FKA berhasrat untuk meningkatkan kualiti penyelidikan, kerjasama akademik dan sumbangan ilmu secara berterusan.
Bibliografi:
1. Laporan Tahunan 2009, Fakulti Kejuruteraan Awam. Call number: LG173.K85 U736 wra 2009
2. Universiti Teknologi Malaysia, Fakulti Kejuruteraan Awam. (n.d.). Faculty of Civil Engineering. https://civil.utm.my
Sebagai usaha berterusan memelihara warisan intelektual universiti, Jabatan Perpustakaan UTM menyeru seluruh warga universiti untuk bersama-sama berkongsi dokumen, maklumat, dan gambar berkaitan aktiviti di fakulti dan jabatan dalam UTM. Sumbangan ini amat penting bagi memastikan rekod sejarah dan perkembangan UTM terus terpelihara untuk tatapan serta rujukan generasi akan datang. Bahan boleh dihantar melalui sistem Institutional Knowledge Library Acquisition System (IKLAS) di pautan http://iklas.utm.my/
