Buku rekod graduan Technical College Kuala Lumpur atau Maktab Teknik Kuala Lumpur ini telah berusia hampir 76 tahun. Ianya merekodkan maklumat seramai 1,767 orang graduan beserta dengan anugerah dalam bidang kejuruteraan dan teknikal bermula daripada tahun 1946 sehingga 1968.
Maktab Teknik Kuala Lumpur berasal daripada penaikan taraf Sekolah Teknik Treacher yang diambil sempena nama Sir William Treacher, Residen General Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada tahun 1941, Jawatankuasa Perancangan Pelajaran telah mencadangkan supaya Sekolah Teknik Treacher dinaik taraf kepada status sebuah kolej. Cadangan tersebut hanya dapat dilaksanakan pada tahun 1942 iaitu selepas perang dunia ke-2.
Artifak ini bersaiz 34 cm Panjang dan 23 cm lebar, berketebalan 4 cm, mengandungi 300 muka surat. Daripada keseluruhan muka surat, 184 helaian mengandungi catatan rekod graduan. Menariknya ianya ditulis dengan tulisan tangan berbentuk kaligrafi.
Di dalam buku rekod graduan ini, maklumat-maklumatnya telah disokong dan ditandatangani oleh Pesuruhjaya Tinggi British Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1950 sehingga 1953. Manakala Ketua Setiausaha Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1954, Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1956, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1958, Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1959 sehingga 1964 dan Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 1965 sehingga 1968.
Naskhah asal artifak ini boleh ditatap di dalam kabinet pameran bercermin manakala replika penduanya dipamerkan secara terbuka di GALERIUM UTM, aras 2, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, Perpustakaan UTM, UTM Johor Bahru.