07-5610320 ja@utm.my

MAKTAB TEKNIK

Pada tahun 1941, terdapat cadangan daripada Jawatankuasa Penasihat Sekolah Teknik dan Jabatan Pendidikan untuk menaik taraf Sekolah Teknik kepada kolej ataupun maktab. Oleh itu,  sebuah cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan agar mencari lokasi yang sesuai bagi membina maktab tersebut. Lokasi yang dicadangkan adalah di atas sebidang tanah seluas 47 ekar di Jalan Gurney, Kuala Lumpur (kini Jalan Sultan Yahya Petra; sebelum itu dikenali sebagai Jalan Semarak).

Akhirnya pada tahun 1942, Sekolah Teknik Treacher telah dinaik taraf menjadi Maktab Teknik. Namun usaha menaik taraf tersebut dari aspek fizikalnya terbantut berikutan meletusnya Perang Dunia II (1941-1945). Usaha tersebut hanya dapat dilaksanakan sepuluh tahun kemudian. Namun begitu, hasrat tersebut mula menampakkan sinarnya apabila pihak Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945 dan mengundurkan diri sekaligus menandakan berakhirnya kuasa penjajahan dan pentadbiran Jepun di Tanah Melayu.

Pada tahun 1949, kerajaan British telah memperkenalkan polisi baru dalam membangunkan pendidikan teknikal di negara-negara Komanwel.Ekoran itu, Jawatankuasa Tabung Kebajikan dan Pembangunan telah diwujudkan.  Menerusi tabung kebajikan dan pembangunan colonial, kerajaan British memperuntukkan sejumlah RM4.85 juta untuk membangunkan infrastruktur dan pelbagai kelengkapan lain di Tanah Melayu. Menerusi peruntukan tersebut, Jabatan Pendidikan dengan usaha sama Jabatan Kerja Raya telah membina Maktab Teknik yang baharu di kawasan seluas 47 ekar di Jalan Gurney, Kuala Lumpur pada tahun 1951.

Pada 1 Mac 1955, Maktab Teknik yang baharu telah dibuka secara rasmi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray (1906-1966). Beliau menjadi Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu pada 31 Mei 1954-31 Ogos 1957. Apabila Tanah Melayu mencapapi kemerdekaan, Maktab Teknik berperanan sebagai institusi pendidikan dan latihan tunggal negara dalam bidang professional untuk mengisi jawatan di jabatan-jabatan kerajaan dan seterusnya membangunkan kemudahan infrastruktur negara.  Maktab Teknik menawarkan kursus kejuruteraan di peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan awam, mekanik,elektrik dan radio serta diploma dalam bidang ukur, seni bina bangunan dan ukur bahan. Kursus kejuruteraan automobile turut ditawarkan khusus kepada Pegawai Pengangkutan. Pengambilan pelajar pada sesi pengajian 1958/1959 berjumlah seramai 320 orang.

Maktab Teknik mula menawarkan kursus kejuruteraan di peringkat ijazah sarjana muda pada tahun 1960. Para pelajar yang mengikuti kursus di peringkat ini berpeluang menduduki peperiksaan profesional yang dikendalikan oleh Institut Jurutera Awam dan Institut Mekanikal dari United Kingdom. Pelajar juga boleh mendaftar untuk menduduki peperiksaan di Royal Institute of Charterd Surveyors. Pelajar yang mendaftar untuk kursus profesional ini kebanyakannya adalah kakitangan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo dan Brunei. Syarat kelayakan minimum bagi kursus-kursus di Maktab Teknik ketika itu ialah Gred I dan Gred II Sijil Persekolahan Cambridge atau Sijil Persekolahan Malaya dengan mendapat kredit dalam Bahasa Inggeris dan Matematik Asas. Keutamaan diberi kepada pelajar yang mendapat kredit dalam mata pelajaran Sains.

Seramai 682 pelajar telah mengikuti pengajian sepenuh masa di Maktab Teknik pada sesi akademik 1965/1966. Pertambahan kemasukan pelajar adalah disebabkan oleh perubahan dasar kerajaan ketika itu yang menumpukan kepada aspek pembangunan ekonomi serta menekankan penggunaan teknologi. Permintaan sumber manusia dalam bidang teknikal telah meningkat dengan mendadak seiring dengan perubahan itu.

Sumber :
Buku - Kepimpinan Berwawasan : Universiti Sanjungan Bangsa 
Buku - Ilmu Menjulang Angkasa Budi Seharum Kasturi
Share this :