07-5610320 ja@utm.my

Dewan Sultan Iskandar telah dinamakan sempena nama Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Canselor ke-2 UTM dan penamaan ini telah diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultanah Hajah Zanariah binti Almarhum Tengku Ahmad, Canselor ke-3 UTM pada 9 Disember 1989 ketika Majlis Konvokesyen ke-13 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru. Konvokesyen ini merupakan Majlis Konvokesyen yang pertama diadakan di Dewan Sultan Iskandar yang mana sesi-sesi terdahulu diadakan di Kuala Lumpur. Sebelum diberikan nama Dewan Sultan Iskandar, dewan utama UTM ini dikenali sebagai Dewan Besar dan sehingga kini, dewan keramat UTM ini telah menjadi saksi kepada penganugerahan ijazah graduan dan kecemerlangan kakitangan universiti.

Dewan Sultan Iskandar dalam fasa pembinaan

Dewan ini telah direka hasil kepakaran arkitek universiti dan mengambil konsep seni bina Melayu. Dewan ini merangkumi dua tingkat, tingkat bawah sebagai ruang utama yang dibahagikan kepada tiga bahagian; bahagian teres, datar dan pentas. Tingkat atas dewan ini menempatkan sebuah galeri dan kawasan khas yang dikenali sebagai Anjung Diraja untuk digunakan oleh tetamu khas universiti.

Ruang di tingkat atas adalah lebih besar daripada tingkat bawah dan di bahagian tepinya dikelilingi oleh bendul yang menerapkan konsep rumah Melayu. Latar belakang pentas diperbuat daripada ukiran kayu dan disulami dengan tenunan emas melambangkan teknologi tradisional Melayu. Permaidani bewarna merah pulasan dan emas yang digunakan sebagai latar belakang pentas digunakan untuk dipadankan dengan warna jubah konvokesyen yang mempunyai tenunan songket emas. Reka bentuk bumbung yang bertingkat-tingkat dapat disesuaikan dengan iklim di negara ini yang sentiasa mengalami musim hujan dan panas sepanjang tahun.

Pentas utama di dalam Dewan Sultan Iskandar

Dinding dewan ini dibina daripada konkrit tetulang yang menyerupai penyambungan struktur kayu rumah Melayu. Pintu utama diukir dengan corak bermotifkan lada hitam yang juga merupakan hasil utama pertanian negeri Johor. Dewan Sultan Iskandar mampu memuatkan seramai 3,456 orang pada satu-satu masa.

Share this :