07-5610320 mhazim@utm.my

Projek Penyelidikan Sistem Penternakan Ikan Kelah Dan Spesis Ikan Tempatan merupakan projek yang diketuai oleh Dr Mohd Adib bin Sarijari,  Felo Penyelidik Bersekutu di Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA), UTM Kampus Pagoh. Projek ini adalah satu inisiatif inovatif  yang bertujuan untuk mengangkat ekonomi komuniti melalui pemerkasaan digital dalam bidang ternakan ikan kelah. Ikan kelah atau lebih dikenali sebagai Raja Sungai merupakan ikan yang sangat lasak dan lincah kerana ia hidup di kawasan ekologi yang mempunyai air yang deras. Selain itu, ikan kelah juga mempunyai nilai pasaran yang tinggi dari segi ekonomi menjadi fokus utama projek ini. Melalui projek ini, komuniti serta penduduk setempat dapat melibatkan diri secara tidak langsung dalam mempelajari teknik ternakan ikan kelah dengan menggunakan teknologi digital.

Projek penyelidikan ini menggunakan platform digital secara tidak langsung mengikut peredaran semasa bagi memberi kemudahan kepada peserta komuniti untuk mengikuti latihan secara atas talian, mengkases data-data penting mengenai pembiakan dan penjagaan ikan kelah serta memantau perkembangan ternakan secara maya. Melalui kemudahan pembelajaran atas talian dan aplikasi pemantauan jarak jauh ini, projek ini mampu memudahkan peserta dalam menguruskan ternakan, di samping meningkatkan kemahiran digital para peserta mengikut perederan era modenisasi.

Tiga buah kolam ikan telah dibina di ICA, UTM Kampus Pagoh  sekitar Ogos 2024 serta sebanyak 2000 ekor anak benih ikan kelah dan 1000 ekor anak benih ikan talapia telah ditempatkan di dalam kolam ini pada bulan September 2024 yang lepas.  Penyelidik di ICA, UTM Kampus Pagoh, Encik Mohamad Azzuan Bin Rosli yang juga merupakan ahli penyelidik projek ini telah memantau tumbesaran ikan ini serta telah memasang sistem Internet of Things (IoT) bagi pemantauan kolam dari jarak jauh. Dibawah seliaan ICA juga, projek ini bertujuan untuk membentuk komuniti yang lebih mandiri dan berdaya saing dalam bidang akuakultur. Selain daripada memperkasakan ekonomi komuniti, projek ini turut menyumbang kepada pemuliharaan spesies ikan kelah di habitat semula jadi, membantu mengekalkan biodiversiti dan ekosistem tempatan.

Penulis:
Mohamad Azzuan bin Rosli
Penolong Pegawai Penyelidik,
Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA),
UTM Kampus Pagoh

Share this :