07-5610320 mhazim@utm.my

Sejak sedekad lalu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melalui beberapa fasa perubahan dalam identiti korporat, khususnya melalui penggunaan tagline rasmi. Tagline bukan sekadar slogan, tetapi juga sebagai cerminan falsafah, hala tuju, dan imej yang ingin dipaparkan kepada masyarakat. Evolusi tagline UTM antara tahun 2009 hingga 2025 memperlihatkan transformasi universiti ini daripada penekanan kepada pemupukan minda kreatif kepada usaha menghasilkan penyelesaian inovatif berteraskan kelestarian.

Tagline “Menjana Minda Kreatif dan Inovatif” telah dilancarkan pada April 2009 dan telah digunakan sebagai tema bagi Perutusan Naib Canselor 2011. Menurut tulisan yang dibuat oleh Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini bin Ujang melalui bukunya bertajuk Menjana Minda Kreatif dan Inovatif, tema ini dipilih kerana terdapat kepentingan untuk menerapkan perubahan minda sebagai elemen kritikal untuk memajukan universiti, bangsa, agama dan negara. Perubahan minda adalah langkah pertama sebelum seseorang melangkah lebih jauh ke hadapan.

Inovasi merupakan pemacu utama kepada pembangunan ekonomi moden yang berasaskan pengetahuan. Dalam dunia yang semakin kompetitif, inovasi tidak lagi terhad kepada penemuan saintifik atau penghasilan produk baharu, sebaliknya merangkumi aspek ekonomi, sosial dan pendidikan. Melalui konsep ekonomi inovasi, kemajuan dan kekayaan negara dijana melalui nilai tambah hasil kreativiti dan idea baharu. Menurut Perutusan Naib Canselor 2011, inovasi ditakrifkan sebagai perubahan positif yang menghasilkan nilai tinggi serta menggabungkan elemen kewangan dengan harta intelek. Oleh itu, peranan UTM sangat kritikal untuk memastikan universiti terus relevan sebagai sebuah universiti terkemuka dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di negara ini.

Sumber : Menjana Minda Kreatif & Inovatif. Nombor panggilan: LG 173 .K85 Z345 2011 a. Lokasi rak: UTM Special Collection.

Penggunaan tagline inovatif • entrepreneurial • global telah diperkenalkan pada tahun 2012 dalam Majlis Amanat Tahun Baru 2012 oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini bin Ujang pada 9 Januari 2012 bagi menggantikan tagline sebelum ini iaitu “Menjana Minda Kreatif dan Inovatif”. Berikut merupakan penjelasan dan keterangan bagi tagline ini:

  1. Inovatif iaitu pendekatan strategik dalam berhadapan dengan transformasi yang lebih dinamik untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar
  2. Entrepreneurial iaitu minda keusahawanan dan penglibatan strategik yang unik, luar biasa dan bermakna ke arah akademia baru yang mampu mencipta nilai dan berimpak tinggi
  3. Global di mana keperluan kepada perspektif global perlu di dalam membina persepakatan dan hubungan UTM dengan rakan antarabangsa secara strategik untuk manfaat bersama ke arah pencapaian yang boleh meningkatkan imej UTM di peringkat global.

Sumber: Pekeliling Pentadbiran Bil. 7/2012: Penggunaan Tagline dan Cogan Kata Pada Format Surat Rasmi UTM

Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang dalam Majlis Amanat Tahun Baru 2012

Pada tahun 2023, UTM telah memperkenalkan perubahan tagline terbaru kepada “Menginovasi Penyelesaian” atau dalam versi Bahasa Inggeris “Innovating Solutions“. Tagline ini telah dilancarkan secara rasmi dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail pada 2 Februari 2023. Pengenalan tagline ini mencerminkan aspirasi universiti untuk terus kekal sebagai institusi Pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia. Melalui aspirasi “Menginovasi Penyelesaian”, UTM telah menunjukkan komitmennya dalam menawarkan perkhidmatan akademik dan penyelidikan yang seiring dengan keperluan industri serta masyarakat masa kini.

Tagline ini turut memperkukuh pelaksanaan Visi dan Misi UTM, selain menyokong hala tuju Pelan Strategi enVision UTM 2025. Ia menggambarkan usaha universiti untuk memperkukuh kedudukannya sebagai Universiti Penyelidikan terulung, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan iaitu bidang tujahan yang menjadi teras kepada Pembangunan ilmu dan kemajuan negara.

Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2023

Lebih daripada sekadar slogan, tagline baharu ini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga UTM agar berani meneroka idea dan mencipta penyelesaian yang memberi manfaat kepada manusia sejagat. Ia melambangkan semangat inovaasi yang berterusan, seiring dengan peranan UTM sebagai peneraju dalam pembentukan masa depan yang lestari dan berimpak tinggi.

Sumber: Pekeliling Pentadbiran Bil. 7/2023: Penggunaan Tagline Baharu dan Cogan Kata Pada Format Surat Rasmi UTM

Pada 14 April 2025, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti Bil. 6/2025 telah meluluskan penggunaan tagline korporat baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu “Menginovasi Penyelesaian Lestari” atau dalam versi bahasa Inggerisnya, “Innovating Sustainable Solutions”.

Perubahan ini menandakan satu lagi langkah penting dalam evolusi identiti korporat UTM. Ia mencerminkan aspirasi strategik universiti untuk menjadi peneraju dalam pembangunan penyelesaian yang bukan sahaja unggul dari segi teknologi dan inovasi, tetapi juga berteraskan tanggungjawab sosial serta kelestarian alam sekitar.

Penambahan elemen “lestari” dalam tagline baharu ini memperkukuh komitmen UTM terhadap agenda pembangunan mampan — sejajar dengan matlamat nasional dan global, termasuk kerangka Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Tagline ini secara rasmi mula digunakan pada 21 Julai 2025, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam perjalanan universiti menuju masa depan yang lebih berimpak dan berdaya tahan.

Sumber: Pekeliling Pentadbiran Bil. 35/2025: Perubahan Tagline Korporat Universiti Teknologi Malaysia

Bibliografi

  1. Universiti Teknologi Malaysia. (2012). Pekeliling Pentadbiran Bil. 7/2012: Penggunaan tagline dan cogan kata pada format surat rasmi UTM. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.
  2. Universiti Teknologi Malaysia. (2023). Pekeliling Pentadbiran Bil. 7/2023: Penggunaan tagline baharu dan cogan kata pada format surat rasmi UTM. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.
  3. Universiti Teknologi Malaysia. (2025). Pekeliling Pentadbiran Bil. 35/2025: Perubahan tagline korporat Universiti Teknologi Malaysia. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.
  4. Zaini Ujang. (2011). Menjana minda kreatif & inovatif: Penerbit UTM Press.

Sebagai usaha berterusan memelihara warisan intelektual universiti, Jabatan Perpustakaan UTM menyeru seluruh warga universiti untuk bersama-sama berkongsi dokumen, maklumat, dan gambar berkaitan aktiviti di fakulti dan jabatan dalam UTM. Sumbangan ini amat penting bagi memastikan rekod sejarah dan perkembangan UTM terus terpelihara untuk tatapan serta rujukan generasi akan datang. Bahan boleh dihantar melalui sistem Institutional Knowledge Library Acquisition System (IKLAS) di pautan http://iklas.utm.my/

Share this :