Program Read & Relax Sesi 11/2019 di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah diteruskan lagi pada 4 Julai 2019 bertempat di ruangan Relax & Relax Corner, jam 11.00 pagi. Sesi pada kali ini melibatkan 2 orang pengulas yang terdiri daripada staf Perpustakaan UTM iaitu Pn Nor Syuhada Shafie dan En. Faizal Fadzil.

Pn. Norsyuhada Shafie mengulas buku bertajuk Kisah Orang Menang

Buku tulisan ikon yang tidak asing lagi dalam bidang fotografi iaitu Saiful Nang yang memuatkan kompilasi tulisan beliau dari blog dan media sosial sejak tahun 2007. Buku ini sarat dengan kata-kata motivasi dan pengalaman kisah hidup beliau yang memulakan perniagaan dengan hanya bermodalkan RM90 sahaja. Mesej disampaikan melalui gaya penulisan yang mudah difahami dan santai beserta gambar-gambar yang menarik dan kata-kata motivasi untuk dijadikan panduan kepada pembaca. Antara petikan menarik tulisan beliau: “Jikalau anda berjaya tetapi anda diamkannya dan anda bangga orang panggil anda low profile, anda sebenarnya SELFISH. Jikalau anda berjaya, beritahulah kejayaan anda dengan baik supaya kejayaan itu menjadi inspirasi dan motivasi kepada mereka yang masih tercari-cari jalan. Bantulah mereka untuk naik sehingga mereka lebih berjaya daripada anda sendiri walaupun anda digelar “bongkak dan berlagak.” Janganlah pula menunjukkan kejayaan anda untuk dilihat tetapi anda menjauh diri apabila ada yang bertanya kepada anda.”

En. Faizal Fadzil mengulas buku bertajuk Kewajipan Berzakat

Buku terbitan Majlis Agama Islam Negeri Johor yang memberi maklumat kepada umat Islam khususnya mengenai zakat. Dari sudut pengertian bahasa zakat bermaksud suci dan subur, termasuk bersih dan berkat. Manakala dari segi syarak bermaksud mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu kepada golongan tertentu. Melaksanakan zakat adalah fardhu ain ke atas setiap orang Islam yang telah memenuhi syarat-syarat wajib. Antara hikmah Allah SWT mensyariatkan zakat adalah untuk mengagihkan sebahagian kecil pendapatan kepada golongan yang memerlukan yang secara tidak langsung dapat membersih dan menyuburkan harta pembayar zakat. Selain itu dapat mewujudkan kesatuan di kalangan umat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan yang diredhai Allah SWT.

 

Disediakan oleh Syazwani Syamimi Mat Pauzi

Share this :