Sesi Read & relax Siri 14/2019 telah diadakan di Ruang Read & Relax Corner pada 15 Ogos 2019 jam 11.00 pagi. Tiga (3) orang pengulas yang terdiri daripada Cik Nur Amalina Mohamad, Cik Nur Ashilah Abd Razak dan Puan Nurliyana Hasssan telah mengulas buku pilihan masing-masing.
Pengulas pertama iaitu Puan Nurliyana Hassan dengan tajuk bukunya, Makna Pada Rasa berkongsi novel bacaannya yang mengisahkan pengalaman seorang wanita bernama Puteri Zulaika yang hilang kepercayaan bukan sahaja terhadap kaum adam tetapi juga institusi perkahwinan. Jelas yang bahagia itu bukan letaknya di tangan lelaki! Pengalaman hidup sendiri dan derita para wanita yang tampil memohon bantuan Women’s World Today (WWT), sebuah pertubuhan yang memperjuangkan nasib kaum hawa membuatkan Puteri Zulaika hilang kepercayaan. Cerita ini banyak menyentuh tentang cinta, kemanusiaan dan kebergantungan manusia kepada Yang Maha Berkuasa. Penulisannya banyak menggambarkan keindahan Istanbul yang membuatkan pembaca tertarik untuk merasai keindahan itu sendiri.
Pengulas kedua pula ialah Cik Nur Amalina Mohamad. Buku yang telah diplih oleh beliau berjudul Adab Kepada Al-Quran. Buku ini menggariskan akan adab-adab yang perlu dijaga oleh setiap muslim untuk memelihara kesucian kalam Allah swt ini. Ia mengupas tentang adab-adab membaca Al-Quran khusus untuk pembaca, pelajar, pengajar Al-Quran dan sifat-sifat para penghafaz. Dihuraikan juga keterangan tentang keutamaan membacanya, menjaga, memuliakan dan menghormatinya. Yang paling utama ialah beramal dan menjalankan tuntutan dan hukumnya supaya para penuntut ilmu mendapat manfaat yang banyak daripadanya.
Pengulas terakhir ialah Cik Nur Ashilah Abd Razak dengan tajuk bukunya Jeriji Besi : Biarkan Aku Sengsara Di Sini. Buku tersebut adalah mengenai pengalaman seorang kakitangan penjara yang melalui berbagai pengalaman perit dan getir sepanjang berada bersama-sama banduan dan kakitangan penjara yang lain. Pengalaman berharga itu telah mengajarnya erti sebuah kehidupan yang sebenar.
Disediakan oleh Puan Syazwani Syamimi Mat Pauzi.