Julung kalinya Pandu Puteri UTM telah menganjurkan program Empower Yourself! dan bersinergi bersama Perpustakaan UTM, Pandu Puteri Johor Bahru dan Pandu Puteri Pasir Gudang pada 12 Oktober 2019 (Sabtu), jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Ianya dihadiri oleh seramai 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan guru di sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Pendaftaran program diadakan di Foyer Perpustakaan Sultanah Zanariah bermula jam 8.15 pagi. Tepat jam 8.35 pagi, pengerusi majlis memulakan program dengan bacaan doa diikuti dengan kata-kata aluan Ketua Pesuruhjaya Daerah Johor Bahru, Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Seterusnya diikuti dengan ucapan perasmian oleh Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM iaitu Pn Noraziah Sharuddin. Majlis perasmian ini dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian oleh ahli Pandu Puteri UTM.

Sejurus selesai majlis perasmian, para peserta mengambil tempat menghadiri bengkel “Action on Body Confidence 1 & 2” yang dikendalikan oleh guru dan dibantu fasilitator dikalangan Pandu Puteri UTM. Tujuan utama bengkel ini adalah untuk meningkatkan keyakinan diri peserta dalam mengharungi cabaran dan rintangan yang bakal dilalui di masa hadapan. Pelbagai aktiviti turut diadakan secara berkumpulan bagi memupuk kerjasama dikalangan peserta sepanjang bengkel ini. Seterusnya pada jam 2.30 petang berlangsung sesi Biblioterapi yang dikendalikan oleh Dr. Siti Nisrin Mohd Anis dengan matlamat merawat emosi melalui pembacaan buku-buku yang bersesuaian. Bengkel terakhir yang dikendalikan oleh Pn Syahranah A. Raqi bertajuk Young Librarian Workshop telah memberikan pendedahan ringkas berkaitan bidang keperpustakawanan bagi menarik minat pelajar untuk menceburi bidang berkenaan.

Diakhir program, penyampaian sijil penyertaan dan cenderahati disampaikan kepada pemenang dan peserta disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Daerah Johor Bahru, Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Artikel disediakan oleh Pn Liza Porijo

Share this :