Slot K-sharing staf Perpustakaan UTM KL kali ini disampaikan oleh En. Muhammad Hanis Rahim. Beliau berkongsi beberapa maklumat penting berkenaan dengan Sejarah lagu Kebangsaan. Lagu kebangsaan Malaysia “Negaraku” adalah lagu rasmi yang menjadi simbol kepada sesebuah negara, dan ianya dapat membentuk identiti nasional sesuatu negara dan dapat digunakan sebagai ekspresi dalam menunjukkan nasionalisme dan patriotisme.
Pada tahun 1956, setiap negeri di Tanah Melayu mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Namun, Tunku Abdul Rahman yang menjadi Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri ketika itu telah membuat ketetapan lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka. Bagi memilih lagu kebangsaan, satu Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK) telah ditubuhkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sendiri. Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan diadakan. Sebanyak 514 buah lagu diterima dari seluruh dunia, namun begitu tiada satu lagu yang sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan. Jawatankuasa ini kemudian berpendapat satu cara lagi dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini iaitu Benjamin Britten, Sir WIlliam Walton, Gian Carlo Menotti dan Zubir Said.
Akhirnya, Jawatankuasa ini telah membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri yang sedia ada bagi mengenal pasti jika ada di antara lagu-lagu kebesaran negeri ini yang sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan. Setelah mendengar kesemua lagu negeri, Lagu Kebesaran Negeri Perak didengari adalah sangat sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan negara. Lagu ini dipilih untuk menjadi lagu Persekutuan Tanah Melayu kerana mempunyai unsur-unsur kemelayuan. Setelah lagu kebangsaan dipilih, satu pertandingan telah diadakan untuk mencipta seni kata buat lagu Negaraku yang akan menggunakan irama lagu negeri Perak. Kerajaan pada waktu itu telah mengeluarkan tawaran sebanyak RM 1000 kepada pemenang pertandingan itu. Pemenang pertandingan itu adalah En. Saiful Bahri. Secara umumnya beliau adalah seorang konduktor orkestra dan penulis lagu kebangsaan Indonesia sebelum datang dan terus menetap di Tanah Melayu ketika itu.
#MalaysiaMembaca
#UTMMembaca
#UTMRead
Disediakan oleh Puan Nurrull Huda Binti Abdul Wahid.