Seramai enam orang staf Perpustakaan UTM terlibat dalam program khidmat masyarakat di Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang, Kluang pada 23 November 2019 sinergi Perpustakaan UTM, Pusat Islam UTM, Pejabat Agama Islam Daerah Kluang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Selatan (PPMKS). Beberapa aktiviti telah dirangka bagi menjayakan slot seronok membaca di kalangan anak-anak orang asli. Antaranya ialah mewarna dan membuat origami. Hadiah turut disediakan kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Anak-anak  juga gembira apabila menerima bingkisan  hadiah hasil sumbangan  Bahagian Pembangunan Sumber dan Katalog (BPSK), Perpustakaan UTM.

Perpustakaan UTM juga telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan  sudut bacaan di Surau Kg Org Asli Sg Peroh. Persatuan Pustakawan Malaysia (Kumpulan Selatan), staf Perpustakaan UTM dan individu luar turut menyumbangkan bahan bacaan umum dan buku agama selain pakaian dan soft toys untuk kegunaan penduduk. Simbolik penyerahan UTM Reading Station telah disempunakan oleh Ketua Bahagian Pengurusan Koleksi, Encik Muhammad Nasir Bin Ibrahim kepada wakil penduduk.

Menariknya program ini, sukarelawan turut berkesempatan merasai sendiri pengalaman dan adat budaya masyarakat orang asli seperti menangkap ikan dan menyumpit selain menikmati juadah tradisional mereka iaitu ubi rebus dan kopi beras. Program ini diharap dapat memberi manfaat kepada komuniti orang asli dan memberi pendedahan kepada sukarelawan untuk terus berbakti kepada komuniti..

#MalaysiaMembaca
#UTMMembaca
#UTMRead

Artikel disediakan oleh Pn Liza Porijo

Share this :