Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia (Kumpulan Selatan) – PPMKS beriltizam di dalam meneruskan inisiatif memasyarakatkan budaya membaca di kalangan komuniti selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca pada tahun 2030. Justeru itu, sebanyak 500 naskhah buku kategori bacaan umum telah berjaya disumbangkan kepada Pusat Sumber Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Pulai, Skudai, Johor. Daya usaha ini merupakan satu permulaan bagi program sumbangan khidmat bakti perpustakaan UTM kepada masyarakat sekitar bagi tahun 2020.

Langkah wajar ini sedikit sebanyak diharap dapat menyokong proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah ini selain menarik minat pelajar untuk membaca bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Impak yang jelas daripada pertambahan jumlah bahan bacaan di pusat sumber ini adalah dapat memberi lebih banyak pilihan bahan bacaan yang berlainan genre atau kategori.

Simbolik penyerahan buku sumbangan telah disempurnakan pada 21 Januari 2020 (Selasa) oleh Pn Zaleha Atan, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan), bertempat di Bilik Seminar 3, Aras 4, Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM Johor Bahru kepada Nur Adilea Adriana Eddie Idzwan, Pengawas Pusat Sumber dan Pn Noraini Ahmad, Guru Pusat Sumber semasa Sesi Bicara Karya: Sejarah Parti Komunis Malaya.

 

Disediakan oleh Puan Liza Porijo.

 

Share this :