Sesi Read & Relax Siri 9/2020 telah berlangsung pada 04 Jun 2020 (Khamis) jam 11.00 pagi melalui aplikasi Cisco Webex dan dipancarkan secara terus melalui FB Live di Facebook Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia. Sesi Read & Relax diteruskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam usaha untuk terus menyebarkan ilmu dan menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga UTM khususnya. Sesi kali ini menampilkan dua orang pengulas iaitu Encik Dzulhelmi Bin Mohd Razali, Penolong Pendaftar Kanan, daripada Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa. Manakala yang kedua adalah Puan Saidatul Akmar Binti Mohd Sazali, Pegawai Tadbir daripada Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar.

En. Dzulhelmi Mohd Razali mengulas buku bertajuk Lahir untuk lari dari 7KM ke 42KM

 

Pengulas pertama, Encik Dzulhelmi Bin Mohd Razali telah berkongsi isi kandungan sebuah buku yang bertajuk Lahir untuk Lari dari 7KM ke 42KM karya Rezduan Bakar. Pengulas. Penulis yang merupakan seorang staf di Jabatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkongsi pengalaman tentang sukan yang diminatinya iaitu  berlari sehingga beliau digelar sebagai “pelari cukai”. Bertitik tolak daripada merentas desa sewaktu zaman persekolahan kerana tidak aktif di dalam sukan, penulis merasakan berlari adalah jiwanya. Bermula dengan larian sejauh 7km, beliau aktif menyertai fun run dan beberapa latihan untuk mengekalkan kadar kecergasannya sehinggalah beliau mampu berlari sejauh 42 km. Penulis banyak memberi tips dan kata-kata semangat kepada pembaca khususnya kepada mereka yang meminati sukan larian. Buku ini memberi pengajaran kepada pengulas tentang keupayaan diri sendiri. Kita tidak perlu berlari dengan tujuan untuk membandingkan diri  kita dengan orang lain kerana kemampuan setiap individu itu berbeza. Sebagai permulaan, ukurlah kemampuan dengan melihat sejauh mana larian kita dalam tempoh masa 30 minit. Yang penting adalah fokus untuk kita kekal cergas dan sihat. Ia melatih diri kita untuk kekal konsisten, berdisiplin, menepati masa dan meningkatkan keyakinan diri.

Puan Saidatul Akmar Binti Mohd Sazali telah berkongsi sebuah buku yang bertajuk Projek bibliofil (melawan mitos bangsa malas baca) karya Zahrah Yunos.

 

Pengulas kedua, Puan Saidatul Akmar Binti Mohd Sazali telah berkongsi buku yang bertajuk Projek bibliofil (melawan mitos bangsa malas baca) karya Zahrah Yunos. Buku ini sarat dengan tips serta motivasi untuk memupuk minat membaca dalam diri. Penulis turut berkongsi cadagan tempat-tempat yang paling strategik untuk membaca. Antaranya ialah rumah, perpustakaan, kedai buku yang berkonsepkan kafe, taman rekreasi atau di tepi pantai. Selain itu, penglibatan dalam kelompok atau kumpulan pencinta buku seperti Projek Kaki Buku boleh memberi motivasi yang berterusan untuk kekal mencintai buku. Pelbagai aktivti menarik  yang biasa dianjurkan seperti sesi ulasan buku dan bedah buku. Program ‘book exchange’ turut menjadi tumpuan pencinta buku di samping sesi bersama penulis.  Pengulas turut berkongsi petikan menarik daripada buku ini iaitu “Membaca bukan pilihan tetapi keperluan. Seperti kita perlu makan untuk menghilangkan lapar, kita membaca buku untuk ‘mengenyangkan’ minda. Seperti mana kita bersenam untuk mencergaskan tubuh, kita membaca buku untuk menyihatkan intelektual”

Disediakan oleh Puan Norashikin binti Johari.

 

 

 

Share this :