Membuka tirai 2020, buat julung kalinya Program Book Sharing UTM Kuala Lumpur diadakan sinergi antara Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Oleh itu, sebagai simbolik perasmian satu acara memotong reben pada bunting Program Book Sharing UTM KL telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Pro Naib Canselor UTM Kuala Lumpur diiringi Ir. Dr. Pauziah Muhamad, Pengarah Hal Ehwal Pelajar UTM Kuala Lumpur serta Puan Nik Masriza Zakaria, selaku Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin memotong bunting sebagai simbolik perasmian program.

Pengulas pada program kali ini adalah terdiri daripada tiga (3) orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) iaitu Mohd. Nasharudeen Bin Adenan, Nur Fazreen Binti Azman, dan Mohamad Sufri Mohd Shukor.

3 orang pelajar selaku penyampai Program Book Sharing yang terdiri daripada wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) iaitu Mohd. Nasharudeen Bin Adenan, Nur Fazreen Binti Azman dan Mohamad Sufri Mohd Shukor.

Pengulas pertama iaitu Mohd. Nasharudeen Bin Adenan, memilih buku bertajuk “When I Was A Kid 5” yang ditulis oleh Chee Ming Boey. Buku ini menghimpunkan pelbagai nota pantang larang yang disenaraikan oleh ibu penulis disamping kisah kehidupan peribadi penulis. Turut disentuh di dalam buku ini adalah pengalaman beliau semasa berdepan dengan kematian dalam keluarga dan kefahaman untuk melalui situasi sukar pada ketika itu. Kesimpulannya, buku dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan untuk memahami adat, adab dan cara budaya masyarakat Cina serta pantang larang.

Manakala, pengulas kedua iaitu Nur Fazreen Binti Azman telah memilih buku bertajuk “Kerna Syurga Bukan Percuma 3” yang ditulis oleh Najmi Fetih. Menurut pengulas, terdapat tiga (3) ujian utama yang dihuraikan di dalam buku iaitu percintaan sesama manusia, fitnah dan sihir. Menariknya tentang buku ini adalah di setiap bab turut disertakan dengan hadith bagi mengukuhkan pendapat atau sebab sesuatu situasi tersebut berlaku. Selain itu pengulas memaklumkan pembaca perlu berfikir secara kritis bagi menghayati pembacaan dan mencapai kefahaman maksud penceritaan buku.

Pengulas seterusnya iaitu Mohamad Sufri Mohd Shukor yang telah berkongsi buku yang bertajuk “Business Plan Guide” ditulis oleh Brian R. Ford, Jay M. Bomstein dan Patrick T. Pruitt. Buku ini mengariskan lapan bahagian yang perlu ada dalam kertas kerja untuk memulakan sesuatu perniagaan yang berjaya iaitu latar belakang perniagaan, produk dan bahan, tips pasaran bagus yang memerlukan analisa, strategi yang padu, keperluan pelanggan dan demografi serta keprluan merancang kewangan dan rangka promosi untuk pemasaran. Kesimpulannya, pengulas menyarankan untuk membaca buku ini sekiranya ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan tidak kira secara kecil-kecilan atau perniagaan berskala besar.

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain Binti Abdul Shukor

Share this :