Jemputan istimewa bagi siri 40/2019 Program Book Review di UTM Kuala Lumpur adalah tidak asing dalam kalangan staf iaitu Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang untuk berkongsi karya yang telah ditulis beliau sendiri  bertajuk “Membaca : Motivasi Dan Kaedah” yang diterbitkan buat pertama kalinya pada tahun 1993.

Dalam karya ini, beliau menyampaikan objektif buku tersebut iaitu membantu mewujudkan dan memupuk nilai-nilai seperti berilmu, berkhemah tinggi, berkeperibadian unggul dalam setiap individu masyarakat di Malaysia selain mencapai matlamat membaca lebih 30 naskhah buku dalam masa setahun menjelang tahun 2020.

Berdasarkan pengalaman dan penulisan, beliau mengambil peluang ini untuk berkongsi pendapat mengenai punca dan halangan utama untuk membaca adalah diri sendiri. Seseorang perlu mempunyai motivasi diri yang tinggi dan pembahagian masa amat penting untuk mengimbangi antara tuntutan hakiki dan peribadi supaya tidak ketinggalan dan sentiasa mengemaskini ilmu pengetahuan. Adalah diakui ia bukanlah perkara yang mudah, namun boleh dianggap sebagai cabaran untuk membiasakan perkara yang bukan rutin dalam diri.

Beliau turut menekankan, pembaca yang baik adalah pembaca yang dapat membaca dengan pantas dalam bacaannya serta memahami akan isi kandungannya. Antara impak atau sisi lain bagi pembaca tegar adalah menjadi lebih berani, yakin, teliti serta meningkatkan kemahiran dan teknik dalam membuat keputusan melalui ilmu dan pengetahuan yang diperoleh. Selain itu, beliau menyelitkan beberapa tips untuk menggalakkan aktiviti membaca, iaitu jangan berkira apabila ingin membeli buku serta jadikan amalan membaca buku sebagai tabiat dalam diri sepanjang menjalani kehidupan seharian kerana sedikit sebanyak rutin membaca akan mempengaruhi sikap, tingkah laku dan tutur kata.

Kesimpulannya sebagai individu yang bekerjaya, beliau mencadangkan agar membaca sekurang-kurangnya sepuluh ayat al Quran, sepotong hadis serta senaskah akhbar dalam sehari. Tidak ketinggalan untuk membaca buku fiksyen, buku bukan fiksyen dan senaskah majalah dalam masa seminggu.

#MalaysiaMembaca
#UTMMembaca
#UTMRead

Disediakan oleh Puan Nurrull Huda Abdul Wahid.

 

Share this :