Setiap tahun, tanggal 23 April merupakan satu tarikh yang dinanti-nantikan oleh warga yang bergelumang dengan buku. Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf tarikh tersebut sebagai Hari Buku dan Hari Hakcipta Sedunia. Sambutan ini dibuat bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada buku-buku dan para penulis serta mempromosikan budaya membaca, penerbitan dan hak cipta. Saban tahun, semua instituisi yang melibatkan buku terutamanya perpustakaan akan merancang pelbagai aktiviti yang melibatkan buku dan pembacaan pada hari tersebut. Sehinggalah tercetusnya “Program Jom Baca 10 Minit” iaitu berhenti seketika untuk membaca pada jam 11.00 – 11.10 pada hari tersebut. Program ini telah menjadi acara tahunan rakyat Malaysia dalam usaha untuk meneruskan kelestarian budaya membaca dalam kalangan masyarakat kita.

Oleh itu, pada 23 April 2020 Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (UTM KL) telah mengambil peranan dalam mengadakan aktiviti yang bersesuaian dengan program Jom Baca 10 Minit. Atas situasi semasa yang berlaku ketika ini iaitu COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan di seluruh Malaysia, Perpustakaan UTMKL telah mengadakan tiga (3) aktiviti menarik yang sesuai dilakukan di rumah bersama keluarga dan anak-anak.

Aktiviti pertama adalah Sesi Bersama Penulis: Perlunya Coaching & Mentoring Di Abad Ke 21 Ini. Sesi yang diadakan secara langsung di Facebook ini adalah usahasama perpustakaan bersama penulis buku tersebut iaitu Dr. Shaker Mustafa. Tajuk dan kupasan ini berjaya menarik penonton dari warga UTM khasnya sehinggakan siaran langsung ini berlanjutan selama 1 jam. Sepanjang sesi tersebut kami menerima (913 views, 237 likes dan 116 comments, 35 shares). Peluang ini digunakan sebaiknya oleh para penonton yang mengikuti siaran langsung ini untuk mendapatkan input dan seterusnya pelbagai soalan diajukan.

Selain itu, perpustakaan telah menganjurkan dua (2) program secara serentak untuk Program Jom Baca ini iaitu Let’s Read Together Photo Challenge dan Book Sharing Challenge secara atas talian dengan menggunakan medium Facebook dan Instagram. Penyertaan adalah terbuka kepada semua, di mana mereka hanya perlu ’like atau follow’ Facebook dan Instagram perpustakaan, dan seterusnya mereka layak untuk menyertai cabaran ini. Pihak Perpustakaan UTM KL telah menerima 35 penyertaan untuk Let’s Read Together Photo Challenge dan 27 penyertaan untuk Book Sharing Challenge.

Apa yang menarik mengenai program ini, mereka berjaya memupuk budaya membaca dan sekaligus berkongsi buku yang mereka baca kepada rakan-rakan mereka. Atas usaha dan kesungguhan ini, setiap penyertaan telah diberikan sijil penyertaan. Tahniah dan terima kasih atas sokongan anda semua.

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain Bt Abdul Shukor.

 

 

 

 

Share this :