Sesi Read & Relax Siri 1/2019 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 17 Januari 2019 di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Sesi kali ini menampilkan tiga orang pengulas iaitu Encik Zul Izuan bin Hanafiah, Cik Fadzleena binti Siam dan Puan Noraini binti Yahya.

En Zul Izuan bin Hanafiah mengulas buku bertajuk “Gear Automatik“.

Pengulas pertama iaitu Encik Zul Izuan bin Hanafiah telah memilih untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan beliau melalui bacaan di Internet mengenai gear automatik. Di awal penceritaan, penyampai menerangkan apa itu gear automatik dan cara penjagaannya. Penyampai juga turut berkongsi tip cara penggunaan gear automatik yang betul, kos penjagaan dan penukaran gear sekiranya menghadapi masalah pada masa akan datang. Di akhir perkongsian, penyampai berharap agar hadirin dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi dan dapat mengunakan gear automatik dengan lebih mudah.

Cik Fadzleena binti Siam mengulas buku bertajuk “Magnet Diri”.

Pengulas kedua iaitu Cik Fadzleena binti Siam memilih buku yang bertajuk “Magnet Diri” karya Amin Idris.Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu analogi, energi dan sinergi. Bab analogi ini menerangkan anjakan paradigma, perkara asas, prinsip dan falsafah. Manakala bab energi menjelaskan persoalan penerimaan diri dan bagaimana mengoptimumkan prestasi serta potensi diri. Bab sinergi pula menerangkan teknik menjadikan diri kita lebih menarik sekali gus membuatkan orang lain rasa tertarik apabila bersua dengan kita. Setiap tajuk di dalam buku ini disertakan dengan cadangan tindakan susulan sama ada dalam bentuk tip, kesimpulan, senarai tindakan dan ringkasan. Selain itu, terdapat juga beberapa aktiviti interaktif melalui borang aktiviti dan teori dalam bentuk realistik. Buku ini memaparkan tip-tip berpengaruh daripada individu berpengaruh. Apa yang dikongsikan dalam buku ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Malah falsafah, petua dan tip yang terkandung dalam buku ini adalah sesuatu yang fitrah dan diketahui umum, tetapi ianya semakin dilupakan. Hal ini disebabkan oleh peredaran zaman dan perkembangan teknologi maklumat yang pantas menyebabkan kita kadangkala terlupa perkara yang fitrah. Buku ini mempersembahkan fitrah itu dengan pendekatan baharu, segar dan disusun semula secara sistematik bagi memudahkan pembaca mengikuti seterusnya mempraktikkan ilmu dalam buku ini. Pengulas merasakan buku ini dapat membantu menambahbaik cara kehidupan harian dengan perkara yang positif berdasarkan kekuatan magnet dalam diri. Pengulas juga berharap para pendengar dapat mengenalpasti kekuatan magnet dalam diri terhadap persekitaran sekeliling dan juga dapat menambah baik potensi dalam diri serta dapat mengimplimentasikan segala potensi yang ada untuk penambahbaikan sistem kehidupan.

Puan Noraini Yahya mengulas buku bertajuk “Khasiat Kurma Ajwa dan Kisah-kisah Nyata”.

Pengulas ketiga iaitu Puan Noraini binti Yahya telah memilih buku yang bertajuk “Khasiat Kurma Ajwa Dan Kisah-kisah Nyata” karya Dr Ahmad Jumaily. Buku ini menceritakan sejarah kurma ajwa dan manfaat serta kebaikan kurma ajwa. Turut diselitkan juga tentang bagaimana kurma ajwa boleh dimanfaatkan untuk kegunaan harian. Pengulas berharap perkongsiannya sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para hadirin tentang pengetahuan baharu mengenai kurma ajwa dan seterusnya mengunapakai manfaat yang ada pada kurma ajwa untuk kegunaan harian.

Disediakan oleh Encik Ahmad Nurul Fahmi bin Mohammad Zajuli.

 

 

Share this :